20 November 2009

Wang Bukan Segala-galanya, Namun Hampir Segala-galanyanya Memerlukan Wang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Artikel ini diambil dari blog Pengerusi Eksekutif PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd. Artikel ini boleh dicapai di alamat http://universitipts.com/index.php/site/comments/risiko_menggunakan_wang_sebagai_pendorong_kreativiti/

Risiko Menggunakan Wang sebagai Pendorong Produktiviti dan Kreativiti

Motivasi adalah suatu cabang ilmu psikologi yang sudah lama mempunyai disiplin sains empirikalnya sendiri. Sains motivasi paling banyak digunakan dalam persekitaran di tempat kerja.

Sains motivasi berkembang jauh di hadapan amalan-amalan motivasi, sehingga hal ini menjadikan apa yang dilakukan oleh ketua-ketua pejabat dan majikan-majikan merupakan sesuatu yang bukan hanya salah dari sudut sainsnya, malah amat merugikan organisasi, di mana semakin banyak wang dikeluarkan, semakin rendah prestasi yang dihasilkan.

Banyak majikan menggunakan cara-cara yang salah apabila mahu memotivasi para pekerjanya. Mereka menggunakan wang, sebagai contoh sistem bonus dan komisen, bagi mendorong peningkatan produktiviti, maksudnya supaya pekerja mahu bekerja dengan lebih kuat dan lebih rajin.

Namun kajian-kajian saintifik mendapati, di kalangan pekerja yang berkelulusan tinggi, wang tidak dapat meningkatkan keseronokan dan kekhusyukan pekerja semasa melaksanakan kerja-kerja mereka. Ganjaran wang hanya dapat meningkatkan produktiviti selagi kerja yang dilakukan itu adalah kerja-kerja mekanikal, seperti menyusun bata, membelah kayu api, memotong rumput, dan lain-lain kerja yang tidak menggunakan ilmu.

Namun, banyak majikan masih menggunakan strategi pengurusan yang salah dari sudut sains psikologinya ke atas pekerja yang berkelulusan tinggi. Jika wang dapat menaikkan prestasi pekerja manual, maka wang juga digunakan bagi mendorong pekerja berkelulusan tinggi.

Hasil-hasil kajian sains motivasi mendapati semakin banyak wang ditawarkan kepada golongan berpendidikan tinggi sebagai ganjaran prestasi tinggi, semakin rendah pencapaian yang dihasilkan.

Syarahan tentang kelemahan strategi motivasi dengan menggunakan wang sebagai alat mendorong pekerja supaya bekerja lebih produktif dapat diikuti di sini http://www.mattjmcd.com/2009/11/daniel-pink-on-the-science-of-motivation/

Dalam sains psikologi, wang adalah sejenis ganjaran ekstrinsik. Gaji, bonus, komisen dan lain-lain adalah penting pada peringkat asas bagi menjalankan kerja-kerja asas. Wang tidak lagi mendorong apabila keperluan-keperluan asas sudah dipenuhi.

Bagi pekerja berilmu yang melaksanakan kerja-kerja yang menggunakan ilmu sebagai bahan mentah utamanya, mereka hanya terdorong bekerja dengan khusyuk dan seronok apabila kerja-kerja yang diserahkan kepada mereka mampu memberikan ganjaran-ganjaran intrinsik.

Contoh ganjaran intrisik adalah seperti mereka mempunyai kuasa membuat keputusan berkenaan kerjanya sendiri, mempunyai kebebasan menentukan cara bagaimana dia mengurus tugas-tugasnya, dan lain-lain.

Apabila pekerja pintar menerima ganjaran intrinsik (contohnya rasa kepuasan kerana diberikan kuasa membuat keputusan), dengan sendirinya prestasi mereka meningkat, dan dengan sendirinya keuntungan syarikat datang sendiri, dengan tidak perlu menabur janji-janji ganjaran kewangan sebagai umpan.

Contoh kuasa yang paling asas adalah kuasa meluluskan cuti orang bawahan. Jika dalam hal sekecil meluluskan cuti pun seseorang pegawai kanan tidak diberi kuasa, situasi begitu akan dipersepsi oleh si pegawai kanan sebagai dirinya tidak diberi kuasa langsung, kerana dia diberi kerja dan beban tugas tanpa diberi kuasa. Dia akan melihat dirinya sebagai seorang kecil yang tidak penting. Lebih serius lagi, dia melihat ketuanya tidak meletakkan kepercayaan langsung kepada dirinya kerana kuasa sekecil meluluskan cuti pun tidak mahu diberikan kepadanya. Kerana tidak berkuasa meluluskan cuti mereka, si pegawai kanan malu kepada orang bawahannya sendiri.

Isu siapa yang berkuasa meluluskan cuti ini mungkin dilihat perkara remeh, tetapi perkara remeh itu boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati terhadap orang atasan yang kini berkuasa meluluskan cuti orang bawahannya, dan orang atasan yang tidak mahu memberikan kuasa meluluskan cuti kepada pegawai kanannya akan dipersepsi sebagai orang yang tamak-kuasa.

Tidak ada pekerja berkelulusan tinggi yang seronok bekerja di bawah penyeliaan orang atasan yang mereka sudah labelkan sebagai orang yang tamak-kuasa. Itulah sebabnya isu delegasi kerja dan delegasi kuasa wajib dilaksanakan serentak. Ini bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja berkelulusan tinggi.

Skim-skim gajaran ekstrinsik (seperti bonus tambahan) tidak dapat membuang persepsi dan label tamak-kuasa terhadap ketua-ketua yang mencipta skim ganjaran ekstrinsik itu. Ia malah berisiko dilihat sebagai alat-kerja yang digunakan oleh orang yang tamak-kuasa bagi memanipulasi orang-orang bawahan supaya bekerja lebih kuat demi kepentingan orang atasan itu sendiri, kerana prestasi orang atasan bergantung kepada prestasi orang bawahan.

NOTA: (Nabi Muhammad tidak menjanjikan ganjaran kewangan....)

No comments: