15 September 2009

Kalam Hikmah 20

BERSYUKURLAH KEPADA ALLAH ATAS NIKMAT AGAMA, AQAL, KESIHATAN, PAKAIAN, PENDENGARAN, PENGLIHATAN, REZEKI, KELUARGA, SERTA SEGALA NIKMATNYA YANG LAIN


Salah satu sifat hamba Allah yang soleh ialah bersyukur. Dengan kata lain mereka yang tidak pandai dan mahu bersyukur ialah mereka yang boleh digelar sebagai golongan yang kufur nikmat.

Baginda Rasulullag SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.ha telah bersembahyang sehingga bengkak kedua kaki Baginda, pabila ditanya mengapa Baginda bersusah payah bersembahyang sunat sedangkan Baginda adalah kekasih Allah yang maksum dari segala cela dosa maka katanya: "Salahkah aku menjadi hambanya Tuhanku yang bersyukur?"

Apakah mampu kita menandingi akhlak manusia agung ini, jawapannya tidak. Namun apakah tidak boleh langsung kita cuba untuk mengikut dan mencontohi sunnah Baginda SAW. Sememangnya itulah yang dituntut. Sebab itu Rasulullah juga diutuskan dari kalangan manusia, supaya kita sebagai umatnya sedar yang baginda juga seperti kita dari sudut fitrah kemanusiaan.

Baginda makan, tidur, beristeri, berehat, bersosial, sedih dan tidak terlepas dari segala sifat sebagai seorang manusia. Namun yang paling ketara perbedaan sifat Baginda sebagai seorang Rasul dengan kita sebagai umatnya ialah sifat syukur Baginda.

Apakah tidak mampu untuk Baginda doakan supaya orang Islam menjadi kaya raya, bahkan pernah ditawarkan kepadanya agar ditukar bukit itu kepada emas-emas namun ditolak. Apakah tidak boleh didoakan agar dilaknat dan dihancurkan kaum kuffar Quraish Mekah seperti kaum Nabi Lut, diazad seperti kaum A'ad dan Tsamud malah Firaun dan konco-konconya. Jawapannya boleh, namun tidak dilakukan kerana Baginda tetap sahaja sebagai hamba yang bersyukur dan redha dengan mehnah ujian dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

Saya pernah mengajukan soalan tanpa mengharapkan jawapan kepada para pendengar kuliah saya, saya kata: "Agak-agaknya kalau Allah swastakan segala nikmat yang Dia bagi pada kita, terutama nyawa yakni nafas yang kita duk sedut hari-hari ni, agak-agak mampu ke tidak kita bayar?" tambah saya lagi: "Kalu kata sekali sedut 1 sen sahaja, sehari kita bernafas berapa kali, bagaimana pula dengan tunggakan selama kita hidup dulu? Kalau saya 25 tahun, tuan-tuan yang dah berumur 30, 40, 50 malah 60 tahun berapa agaknya yang perlu dijelaskan?"

Muka pendengar agak kelat mendengar analogi itu, kebetulan pada masa itu tarif eletrik oleh TNB (Tenaga Nasional Berhad) baru dinaikkan selain minyak petrol yang hangat diperkatakan, itu pun sudah cukup merimaskan malah menyesakkan lantas menyeksakan rakyat sekaliannya. Makanya, jika nafas yang disedut setiap saat ini yang telah diberikan samada kepada yang beriman atau kufur, yang soleh atau derhaka adalah dengan percuma, apakah lagi alasan kita untuk tidak bersyukur!

Direkodkan dari Anas bin Malik r.a:

‏ينا رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ذات يوم بين أظهرنا إذ أغفى إغفاءة ثم رفع رأسه متبسما فقلنا ما أضحكك يا رسول الله قال ‏ ‏أنزلت علي ‏ ‏آنفا ‏ ‏سورة فقرأ ‏
(‏بسم الله الرحمن الرحيم ‏إنا أعطيناك الكوثر فصل لربك وانحر إن ‏ ‏شانئك ‏ ‏هو ‏ ‏الأبتر)
‏ثم قال أتدرون ما الكوثر فقلنا الله ورسوله أعلم قال فإنه نهر وعدنيه ربي عز وجل عليه خير كثير هو حوض ترد عليه أمتي يوم القيامة آنيته عدد النجوم ‏ ‏فيختلج ‏ ‏العبد منهم فأقول رب إنه من أمتي فيقول ما تدري ما أحدثت بعدك

Maksudnya:

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w bersama-sama kami, tiba-tiba baginda tersengguk-sengguk seperti mengantuk, kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Kami bertanya: Apakah yang melucukan kamu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Baru seketika aku diturunkan satu surah, lalu baginda membaca: بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الْأَبْتَرُ Yang bermaksud: Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang diingininya. Kemudian baginda bertanya: Kamu tahukah, apa yang dimaksudkan dengan Al-Kausar? Kami menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda: Ia adalah sungai yang dijanjikan oleh Tuhanku, ianya mempunyai berbagai kebaikan. Ianya juga berbentuk sebuah kolam yang dikunjungi oleh umatku pada Hari Kiamat nanti iaitu untuk mengambil airnya. Disediakan bekas sebanyak bintang di langit. Kemudian salah seorang dari umatku ditarik dari kumpulan mereka. Lantas aku berkata: Wahai Tuhanku, dia adalah salah seorang umatku. Lalu Allah berfirman: Kamu tidak mengetahui apakah yang telah dilakukannya selepas kewafatanmu.

Banyak sekali perkataan syukur di dalam al-Quran, kadang maksudnya berbunyi: "...semoga kamu bersyukur," ada pula yang berbentuk menyoal: "..apakah kamu tidak mahu bersyukur?" dan banyak lagi.

Di sini saya kepilkan salah satu ayat lengkap mengenai syukur, Allah SWT berfirman dalam surah Ali-'Imran ayat 144 dan 145 yang berbunyi:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ۬ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِهِ ٱلرُّسُلُ‌ۚ أَفَإِيْن مَّاتَ أَوۡ قُتِلَ ٱنقَلَبۡتُمۡ عَلَىٰٓ أَعۡقَـٰبِكُمۡ‌ۚ وَمَن
يَنقَلِبۡ عَلَىٰ عَقِبَيۡهِ فَلَن يَضُرَّ ٱللَّهَ شَيۡـًٔ۬ا‌ۗ وَسَيَجۡزِى ٱللَّهُ ٱلشَّـٰڪِرِينَ (١٤٤) وَمَا ڪَانَ لِنَفۡسٍ أَن
تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَـٰبً۬ا مُّؤَجَّلاً۬‌ۗ وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلدُّنۡيَا نُؤۡتِهِۦ مِنۡہَا وَمَن يُرِدۡ ثَوَابَ ٱلۡأَخِرَةِ نُؤۡتِهِ
ۦ مِنۡہَا‌ۚ وَسَنَجۡزِى ٱلشَّـٰكِرِينَ (١٤٥
Maksudnya:
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu). (144)
Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah) dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur. (145)

No comments: