07 September 2009

Kalam Hikmah 18


JANGAN SEKALI-KALI MEMBACA BUKU-BUKU YANG BOLEH MENIMBULKAN PRASANGKA BURUK, PUTUS ASA DAN HILANG HARAPAN

Wahyu pertama dari Allah SWT kepada kekasih-Nya ialah 'iqra' yakni bacalah. Sehingga diulang-ulang sebanyak tiga kali, dan setiap kali ditanya Baginda hanya akan menjawab: "Aku tidak tahu membaca." Sehinggalah kemudiannya Rasulullah SAW mengikut apa yang dituturkan oleh Sayyidina Jibril dengan keadaan yang amat ketakutan kerana Baginda telah didatangi dan dipeluk dari belakang oleh sesusuk tubuh yang Baginda sendiri tidak kenal, amat asing baginya keadaan itu. Sesak nafas Baginda dipeluk si fulan yang tidak dikenalinya pada waktu itu.

Kemudiannya, dalam keadaan gementar yang amat sangat Baginda terus sahaja berlari turun dari Gua Hirak menuju ke rumah isteri Baginda yang tercinta, Sayyidatina Khatijah binti Khuwailid r.ha. Begitulah coretan sirah penurunan wahyu pertama yang telah diwahyukan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW sekaligus sebagai watikah pengisytiran kerasulan Baginda sebagai Nabi dan Rasul Allah yang terakhir dan untuk sekalian alam.

Maka dapat kita singkapkan pengajaran di sebalik penurunan wahyu yang pertama ialah perintah untuk membaca, disusuli dengan ayat yang menggambarkan pengiktirafan kita kepada Allah sebagai pencipta, lantas pula dinyatakan di situ kejadian manusia yang hanya merupakan segumpal darah pada peringkat awalnya.

Ulama' tafsir menjelaskan bahawa yang diperintah untuk kita baca itu ialah tidak lain tidak bukan melainkan al-Quran itu sendiri. Malah bukan hanya baca, maksud 'iqra' itu juga ditafsirkan sebagai faham, perhati, kaji lantas menterjemahkannya dan seterusnya mengamalkannya dan menyampaikannya.

Maka benarlah al-Quran itu perlu:

1. Dibaca dan faham maksudnya.
2. Difaham dan diamalkan isinya.
3. Diamal dan disampaikan isinya.

Maka sehingga itu, apakah masih perlu kita membaca bahan-bahan bacaan yang melaghakan kita dengan citra warna maksiat yang membusut di dalamnya. Apakah perlu kita tenggelam dalam metafora khayalan para novelis yang telah menyalahgunakan fitrah cinta sebagai modal karya mereka.

Digambarkan dengan hebat dan agung sekali watak-watak khayalan mereka sehingga para pembaca terpaksa membaca lantas memerah otak untuk membayangkan ke alam realiti jalan cerita yang begitu sekali mengusik hati dan perasaan malah kadang tersampai ke peringkat menjolok-jolok nafsu syahwat pembacanya.

Tiba-tiba pembaca tersedar dari lamunan dan kembali ke dunia nyata dan mendapati segala khayalan yang digambarkan begitu sekali telah membohongi kota minda akal dan perasaan mereka. Mereka lantas kecewa, kerana tahu kesempurnaan yang didapati dalam ceritera adalah mustahil untuk diasimilasikan dalam kenyataan hidup mereka, akhirnya tinggallah kelompok ini sebagai kelompok yang hampa dan sentiasa terus suka yang selesa dibuai khayalan buana, dunia mereka sendiri.

Namun sebenarnya adalah mereka telah hampa. Dalam mengejar kesempurnaan yang tiada. Makanya kembalilah kita kepada keindahan dan kemukjizatan malah kerealitian kalimah-kalimah Allah. Bacalah, fahamilah, hayatilah setiap bait kalam-kalam itu. Nescaya akhirnya bukan sahaja kita mengenal diri kita sendiri malah Allah juga akan dekat dengan kita kerana kita sentiasa mendekatkan diri kita kepda Allah SWT.

Manisnya, indahnya, asyiknya bilamana Allah sudah kita kenal. Apatah lagi bila kita yakin dan sedar bahawa Allah sentiasa dekat dengan kita. Allahu-Akbar.

Firman Allah SWT:


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ(٣

( ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥

Maksudnya:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)


Zahiruddin Zabidi

1 comment:

ummu said...

assalamualaikum dan salam ramadhan & aidilfitri
terima kasih atas entry ini..teguran untuk saya juga.