09 September 2009

Kalam Hikmah 19


INGATLAH, BAHAWA TUHAN MAHA LUAS KEAMPUNANNYA, MAHA MENERIMA TAUBAT DAN MAHA MENGAMPUNI DOSA-DOSA HAMBANYA. DAN BERKENAN MENGGANTI AMAL BURUK HAMBANYA
DENGAN KEBAIKAN.


Pernah kita baca atau dengar kisah masyhur yang diuntaikan dari bait-bait hadith Baginda Rasulullah SAW, yang menceritakan tentang seorang lelaki di zaman dahulu yang telah membunuh 99 orang, lantas dia mahu bertaubat dan telah merujuk kepada seorang alim.

Namun orang alim itu telah memberikan jawapan yang kurang berhikmah dengan terus menghukumnya seolah tiada guna lagi dia bertaubat, kerana dosa-dosanya tidak akan diampunkan oleh Allah SWT. Natijahnya orang alim itu adalah mangsanya yang ke-100.

Namun kesungguhan si fulan itu untuk bertaubat dan berubah tidak terhenti di situ sahaja, maka didatangi pula orang alim yang lainnya. Kali ini, jawapan yang diterimanya amat berhikmah. Setelah memberitahu keadaannya yang telah membunuh genap 100 orang termasuk orang alim sebelumnya, maka orang alim yang baru ditemui dengan penuh hikmah menerangkan bahawa pintu taubat dan keampunan Allah adalah amat luas. Tiada siapa yang boleh menghalang Allah dari memberi keampunan kepada hamba-Nya yang bebar-benar ingin bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Namun si fulan itu dinasihatkan agar ke satu daerah di mana penduduknya merupakan mereka yang soleh yang taat kepada perintah Allah, ini adalah kerana suasana dan keadaan di tempat asalnya adalah tidak sesuai dan mendorong untuk sesiapa sahaja melakukan kejahatan.

Berpuas hati dengan jawapan dan saranan orang alim tadi maka dia pun dengan segera berangkat menuju ke tempat yang dimaksdukan, takdir Allah SWT menentukan bahawa dia akan mati dalam perjalanan, maka si fulan menghembuskan nafasnya yang terakhir di tengah perjalanannya menuju daerah taubatnya.

Konflik kemudiannya timbul antara 2 malaikat yang datang untuk mengambil roh si fulan. Kedua malaikat itu berebut untuk membawa roh si fulan samada ke syurga atau neraka. Masing-masing dengan hujah masing-masing. Yang pertama katanya si fulan terlampau banyak dan besar dosanya, maka selayaknya hanya ke neraka. Yang kedua berhujah bahawa si fulan sudah bertaubat dan dosanya yang lampau sudah terhapus maka selayaknya dia ke syurga.

Ketidaksefahaman antara dua malaikat ini menyebabkan Allah SWT memerintah malaikat Jibril turun kepada mereka dan menjadi penimbang tara.

Sebagai jalan penyelesaian, kedua malaikat diminta untuk mengukur jarak tempat si fulan itu menghembuskan nafas terakhir dan manakah yang lebih dekat. Makanya dengan takdir qada' dan qadar Allah ta'ala roh si fulan telah dijemput oleh malaikat ke syurga dek kerana keinginan taubatnya, walaupun belum dia melakukan amal ibadat lain yang disyariatkan.

Umar al-Khattab sebelum memeluk Islam amat terkenal dengan kebengisan dan kegarangannya bahkan paling dahsyat dalam memerangi golongan yang mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW, namun setelah memeluk Islam segalanya ditumpahkan dalam memperjuangkan Islam secara total. Serta pernah direkodkan yang dia menimbus hidup-hidup anak perempuannya, walaupun fakta ini disanggah oleh sesetengah pihak, namun al-Quran menjelaskan bahawa memang menjadi perangai Arab Jahiliyyah untuk menanam anak perempuan hidup-hidup untuk tidak mengaibkan keluarganya, namun kesohehan cerita Umar al-Khattab masih diragui.

Bagaimana pula Ikrimah bin Abu Jahal, Khalid bin al-Walid, Abdullah bin Salam dan ramai lagi telah menerima dakapan rahmah dan keampunan Allah setelah mendapat hidayah dan petunjuk dari-Nya.

Persoalannya, kita mahu diampunkan Allah atau tidak? Tepuk dada tanya iman kita wahai umat akhir zaman.

Allah SWT telah berfirman dalam surah 'Ali-'Imran ayat 133 yang berbunyi:

۞ وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٍ۬ مِّن رَّبِّڪُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ
Maksudnya:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.
Di dalam surah Al-Tahrim ayat ke 8 dengan begitu ditir sekali Allah SWT menggambarkan betapa taubat itu adalah akhlak dan amalan orang-orang yang beriman malah Allah menggesa orang-orang beriman untuk bertaubat kepada-Nya dengan sebenar-benar taubat yakni taubat Nasuha.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ تُوبُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِ تَوۡبَةً۬ نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمۡ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَيُدۡخِلَڪُمۡ
جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ يَوۡمَ لَا يُخۡزِى ٱللَّهُ ٱلنَّبِىَّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَعَهُ ۥ‌ۖ نُورُهُمۡ يَسۡعَىٰ بَيۡنَ
أَيۡدِيہِمۡ وَبِأَيۡمَـٰنِہِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَتۡمِمۡ لَنَا نُورَنَا وَٱغۡفِرۡ لَنَآ‌ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Zahiruddin Zabidi

No comments: