26 August 2009

Kalam Hikmah 14

BACALAH SEJARAH, FIKIRKANLAH KEAJAIBAN-KEAJAIBANNYA; RENUNGKANLAH KEANEHAN-KEANEHANNYA; DAN NIKMATILAH CERITA-CERITA DAN KHABAR-KHABARNYA.
Sejarah ialah fakta yang boleh dicabar.

Hujah saya kepada para pendengar kuliah dan sahabat-sahabat apabila kami membincangkan tentang sejarah. Tidak kiralah apa jua sejarahnya sekalipun. Termasuk sejarah awal Tanah Melayu dan negara yang kita cintai Malaysia.

Bermulanya coretan sejarah Rasulullah SAW yang lebih dikenali sebagai Sirah Nabawiyyah. Ataupun sejarah Rasul dan Nabi sebelumnya. Malah sejarah-sejarah kegemilangan Islam selepas kebangkitan khilafah Islam Madinah, semuanya mempunyai nilai yang tidak mampu dibayar dengan kertas wang malah jongkong emas sekalipun.

Sejarah kebangkitan dan kejatuhan empayar-empayar pemerintahan agong dahulukala. Sebab dan penyebab serta kesannya. Begitu sekali mampu menanam roh perjuangan malah membangkitkan semangat cintakan agama Islam itu sendiri khususnya.

Kitab suci al-Quran juga begitu sekali mencatatkan hampir seribu ayat lebih hanya tentang sejarah dan kisah umat lampau. Tiada lain tujuannya untuk menjadi panduan dan pedoman kepada umat terkemudian iaitu umat nabi Muhammad SAW. Diceritakan bagaimana kaum-kaum yang telah mendustakan, mensyirikkan malah kufur kepada Allah ini akhirnya hancur musnah diazab dengan dahsyat sekali oleh Allah. Dan kesan sejarahnya masih dapat dilihat pada hari ini.

Kisah keangkuhan Firaun, kesombongan Qarun, kejelikan kaum-kaum yang zalim kepada tuhan mereka yakni Allah termasuk kaum A'ad, Tsamut malah Bani Israel yang sememangnya sinonim dengan putar-belit mereka sejak dari dahulu, kini dan selamanya. Sudah jelas direkod di dalam al-Quran. Tidak lebih dari perlunya kita mengambil pengajaran daripada segala kisah yang dilembarkan dalam al-quran itu.

Tidak kurang juga kisah-kisah kaum yang taat kepada Allah dan akhirnya redha Allah bersama mereka, lantas Allah menatijahkan syurga kepada mereka, namun bilangannya sedikit berbanding yang kufur.

Salah satu maddah yang perlu dipelajari semasa saya belajar dahulu ialah IKTIBAR SEJARAH RASUL yang dikendalikan oleh Prof Madya Dr Ali bin Hasan. Kami berbincang dan membahaskan segala persoalan yang amat kritikal, dan banyak persoalan yang muncul dek kerana terdapat percanggahan-percanggahan yang jelas malah tersembunyi di sebalik lembaran-lembaran sejarah itu. Jelas sejarah itu fakta yang masih boleh dicabar.

Tidak kurang juga elemen Israeliyyat yang memang menjadi intipati penambahan ke dalam riwayat-riwayat sejarah lampau. Biarpun ada kisah Israeliyyat yang mempunyai kebenaran kerana diakui bahawa di dalam Taurat dan Injil terlebih dahulu merekod kisah-kisah yang juga diwahyukan dalam al-Quran. Bahkan perkhabaran tentang kelahiran baginda Rasulullah SAW juga terlebih dahulu telah direkod dalam kitab-kitab sebelumnya. Makanya golongan ini pernah berkata: "Kami mengenali Muhammad lebih daripada anak kami sendiri."

Namun yang jelas adalah, bukannya fakta tentang kesohehan riwayat-riwaayat itu yang menjadi tujuan segala wahyu al-Quran itu. Namun sejarah itu mahu memberitahu bahawa JANGAN KAMU BERANI MENJADI SEPERTI KAUM-KAUM YANG ENGKAR INI, PILIH DAN IKUTILAH KAUM-KAUM YANG SOLEH SEBELUM KAMU, KAMU TIDAK AKAN RUGI!

Rasulullah SAW bersabda:

‏ ‏عمران بن حصين ‏ ‏يحدث ‏ ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال: ‏ ‏إن خيركم قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم قال ‏ ‏عمران ‏ ‏فلا أدري أقال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏بعد ‏ ‏قرنه ‏ ‏مرتين ‏ ‏أو ثلاثة ‏ ‏ثم يكون بعدهم قوم يشهدون ولا يستشهدون ويخونون ولا يؤتمنون ‏ ‏وينذرون ‏ ‏ولا يوفون ويظهر فيهم السمن

Hadis dari Imran bin Husain r.a berkata Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksian tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan sukakan kemewahan.
(Soheh Muslim: 4603)
ZahiruddinZabidi

No comments: