25 August 2009

Kalam Hikmah 13

KITA HARUS BERGERAK DAN BEROLAHRAGA. JAUHI SIFAT MALAS DAN KETIDAKBERDAYAAN. TINGGALKAN KEKOSONGAN DAN PENGANGGURAN.



Masih saya ingat bilamana keputusan temuduga SPA (Suruhajaya Perkhidmatan Awam) keluar setelah beberapa bulan saya hadir temuduga di Wisma Persekutuan Kota Bharu. Alhamdulillah dan segala puji yang selayaknya untuk Allah atas kurniaan rezeki-Nya. Saya dan Azaruddin lulus temuduga dan bakal menjadi penjawat Awam sedikit masa lagi. Manakala sahabat saya Roslan sekali lagi gagal menempatkan diri walaupun itu bukan kali pertama beliau hadir temuduga.

Ucapan tahniah daripada kawan-kawan pejabat (pada masa itu bekerja sebagai Pembantu Perangkaan sambilan di Jabatan Perangkaan Malaysia bertempat di bangunan Tabung Haji Kota Bharu), sambung menyambung ucapan tahniah mereka diselangi dengan gurau senda mereka, tidak lupa juga bos-bos, kakak-kakak dan abang-abang serta pakcik-makcik yang senior.

Saya pernah berkata, jika dapat kerja tetap dengan kerajaan yang pertamanya saya akan kahwin dan yang keduanya saya akan sambung belajar untuk habiskan Ijazah saya yang tersangkut dahulu.

Saya hanya mampu untuk melafazkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah saat itu. Lorong rezeki telah dibuka oleh-Nya. Itulah hakikatnya.

"Untunglah engkau, dah dapat kerja tetap." kata seorang rakan.

"Pakai 'kabel' apa?" soal seorang lagi.

"Tak sangka ye, minta sekali je, temuduga dan terus dapat. Memang betul bertuah la engkau ni." kawan yang lain pula berkata.

"Hmm..ye la, aku ni bukan je nak dapat, temuduga pun tak pernah panggil. Permohonan dah beberapa kali kena perbaharukan." seakan kecewa bunyinya kawan yang ini.

Pertamanya saya jelaskan kepada mereka kejadian ini tidak lebih dari hanya ketetapan Allah kepada saya. Qada' dan qadar-Nyalah tersurat dan tersirat segala natijah hidup ini.

Cuma yang mahu dijelaskan, saya hanya mengikut apa yang perlu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan. Dan sebenarnya ini adalah temuduga keempat untuk tahun yang sama setelah ketiga-tiga sebelumnya gagal. Silap jika katakan, rezeki itu datang bergolek. Ternyata ada secebis usaha yang perlu digarapkan.

Setelah beberapa kali menghadapi temuduga sebelumnya, ternyata pengulangan 'mood' temuduga itu banyak membantu saya. Kesilapan yang dilakukan pada sesi temuduga lepas mengajar saya untuk lebih bersedia menghadapi temuduuga seterusnya. Persiapan tanggapan pertama melalui pemakaian, laras percakapan dan sebagainya. Ternyata saya sudah bersedia dan tahu apa yang perlu dicakapkan dan tidak perlu dicakapkan.

Selain itu saya juga sedaya upaya mendapatkan surat sokongan Jabatan Perangkaan untuk menjadi penguat bahawa saya sudah berpengalaman dalam sistem kerja sektor kerajaan. Akhirnya persediaan rapi dibuat terhadap data-data, sijil-sjil yang perlu dibawa dan ditunjukkan semasa temuduga. Alhamdulillah, Allah membalas usaha saya setimpalnya setelah beberapa kali gagal sebelumnya.

Allah berfirman dalam surah Al-A'raf ayat 147:


هَلۡ يُجۡزَوۡنَ إِلَّا مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
Maksudnya:
Mereka tidak diberikan balasan melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan.

Maka dengan itu Sunnatullah adalah selari dengan Syariatullah. Tidak mungkin untuk sesuatu hasil itu berlaku tanpa ada usaha. Untuk memperolehi cahaya mata, seseorang lelaki dan perempuan wajib berkahwin dahulu. Bahkan proses untuk berkahwin, bertunang malah bertemu dengan jodoh itupun memerlukan usaha yang bukan kepalang. Tidak cukup berpegang dengan 'jodoh itu ketentuan Allah dan sudah ditetapakan oleh-Nya.

Soalnya siapa jodoh kita kalau kita tidak berusaha mencarinya, malah mana mungkin jodoh itu hadir kalau tiada keinginan pada diri seseorang itu untuk berkahwin. Begitu juga rezeki, sang papa maupun hartawan. Adakah mereka tahu kadar peruntukan rezeki yang sememangnya Allah dah tetapkan ketikamana di alam rahim ibu mereka lagi? Ternyata tanpa usaha yang digalangi konsep Syariatullah ternyata hasilnya yakni Sunnatullah (qada' dan qadar Allah SWT: yang baik maupun sebaliknya) tidak akan kedapatan.

Makanya berusahalah dengan kadar 100% dan seterusnya tawakkal kepada Rabb juga 100% pasti yang terbaik Allah tetapkan untuk kita. Menjadi kesilapan jika keduanya dibahagi sama rata kerana ianya hanya menyebabkan umat ini malas dan terus alpa dari berusaha.

ZahiruddinZabidi

No comments: