20 January 2011

Pakatan Rakyat perlu rasional dalam menangani isu Interlok

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

MINGGUAN MALAYSIA bertarikh 9 Januari 2010 di bawah tajuk Novel Interlok Dibakar yang melapor kira-kira 100 orang berketurunan India melakukan demontrasi membakar naskhah novel Interlok di samping gambar Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Turut hadir dalam demontrasi itu adalah Dr. Mariah Mahmud, ahli parlimen Kota Raja dan M. Manoharan, adun Kota Alam Syah. Turut dilaporkan para demontran turut mencaci maki kepada SN Abdullah Hussain dengan kata-kata yang kasar dan tidak beradab.

Saya sebagai salah seorang penyokong PAS dan juga merupakan seorang pendatang baru dalam dunia penulisan ingin merakamkan rasa kecewa dengan tindakan Dr. Mariah Mahmud yang menghadiri acara tersebut sekaligus menzahirkan sokongan beliau terhadap tindakan kelompok tersebut.

Saya dan ramai rakan penulis berasa terhina dan terguris dengan tindakan beliau yang pada kami tidak patut sama sekali. Namun dengan jelas, demi kelangsungan politik di kawasan beliau yang memerlukan undi kaum India, beliau kelihatan merelakan malah menyokong tindakan tersebut.

Barang diingatkan bahawa isu Interlok masih di peringkat perbincangan dan masih belum ada keputusan rasmi daripada mana-mana pihak. Tidak bersetuju dengan kandungan novel tersebut adalah satu isu khusus yang masih terbuka bagi dibahas, dibincang dan diperdebatkan secara wajar dengan mana-mana pihak berwajib.

Malah, pihak persatuan penulis di peringkat Nasional seperti Persatuan Penulis Nasional (PENA) sekalipun sentiasa menanti dengan tangan yang terbuka bagi membincangkan isu ini. Panggil sahaja mereka, nescaya ada yang secara sukarela menawarkan diri mewakili suara penulis.

Namun tindakan membakar naskhah novel Interlok di khalayak umum, sekaligus dengan tindakan membakar gambar dan memaki hamun penulis yang sudah tidak kita nafikan sumbangannya dalam korpus kesusasteraan Melayu dan negara itu adalah satu tindakan yang tidak beradab malah tidak bertamadun mengikut perkiraan para sarjana.

Berkenaan sedikit frasa yang menimbulkan krisis itu, kita boleh merujuk kepada kes yang sama berlaku kepada pemenang bersama tempat ketiga Sayembara Novel 10 Tahun Merdeka (1968) tersebut iaitu SN Arena Wati. Menurut Dr. Roosfa Hashim dalam karya terbarunya bersama Dr. Jeniri Amir yang bertajuk Bukuku Kubuku: Sebuah Wacana Perbukuan dan Penerbitan di bawah tajuk Arena Wati, Sandera dan Nasionalisme Melayu, muka surat 343 menyatakan:

Pada penghujung 1970 Arena Wati terperanjat apabila menerima panggilan telefon daripada Saroja, isteri SN Abdullah Hussain yang memberikan ucapan tahniah kepada atas kemenangan Sandera di tempat ketiga, tiada pemenang pertama dan kedua.

Menurut Arena Wati, beliau kemudian dinasihatkan, kononnya menurut kehendak Tun Abdul Razak, supaya watak orang Inggeris dalam Sandera dibuang semuanya daripada peranan awal hingga akhirnya. Sebagai tanda setia, Arena Wati menurut nasihat tersebut dan mengerjakan pembetulan seperti yang dikehendaki.

Nah, jelas di sini para sasterawan bukanlah seorang yang ultra kiasu dan akan mempertahankan karya mereka secara totok. Di sana juga masih ada tatacara dan toleransi yang boleh dibawa berbincang secara lunak dan baik. Sehingga kini, saya kira tiada seorang pun wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan jauh sekali menterinya yang berkunjung bertemu dengan SN Abdullah Hussain bagi berbincang perkara tersebut. Begitu juga si timbalan menteri yang nyaring melalak dalam dewan rakyat tempoh hari.

Apakah sesuatu yang sangat payah jika kamu semua pergi menjenguk seorang Sasterawan Negara yang sudah berada dalam hayat emasnya itu. Dilaporkan beliau sekarang punya masalah kesihatan termasuk tidak boleh berjalan dan sudah kabur pendengaran. Benar, perkataan adab sudah tidak maujud dalam kamus para politikus yang menjadikan kelangsungan politik semata-mata sebagai nadi nafas mereka.

Kepada para pemimpin Pakatan Rakyat, janganlah kita meneladani sikap dan sifat pihak sebelah sana yang sudah sirna lenyap akhlak serta adab muluknya. Saya yakin dengan sedikit perbincangan dan pujukan, SN Abdullah Hussain pasti akan bersetuju demi kepentingan bersama meng’hazaf’kan (memansuhkan) beberapa frasa yang punya perkataan ‘pariah’ itu. Dan saya sekali lagi yakin, tindakan membakar yang dilakukan hanya akan menambahkan kekacauan sementelah para penulis adalah jambatan masyarakat.

Teladanilah Rasulullah yang sentiasa rasional dan merujuk kepada yang lebih mengetahui dalam persoalan yang baginda tidak ahli. Sementelah Allah juga pernah berpesan dalam al-Quran, “Bertanyalah kepada ahlinya andai kamu tidak mengetahui….”

_______________________________________________________________

Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Sastera Budaya, Harakah, edisi Isnin, 17-20 Januari 2011. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah.

No comments: