10 January 2011

Erti Sanah (Tahun) Baharu di Berita Minggu, 9 Januari 2010

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

ALHAMDULILLAH, sajak pembuka tirai tahun 2011 sebagaimana tajuk di atas menghiasi dada Sanggar Kreatif Berita Minggu, Ahad, 9 Januari 2010.

Petang semalam saya mendapat mesej pesanan ringkas daripada kanda Salman Sulaiman, seorang aktivis dan penulis sastera yang tidak asing lagi dalam jagat kesusasateraan tanah air.

Tulis beliau, "Assalamualaikum, tahniah! Sajak dalam Berita Minggu. Cepat tersiar, tulis 7 haribulan (Januari); hari ini sudah tersiar."

Saya tersenyum, mahu tergelak pun ada.

Saya lantas menelefon beliau dan selepas berbalas salam dan bertanya khabar, saya kemudian dipujinya berkenaan tersiarnya sajak saya itu kerana baginya sangat cepat. 7 Januari tulis, 9 Januari sudah disiarkan. 

Dalam kekek tawa saya bertanya kembali kepada beliau, "Abang Salman sudah baca sajak tersebut?"

Jawabnya, "Sudah."

Saya kembali bertanya, "Sudah tengok betul-betul tarikhnya?"

Dia seakan kepelikan, "Mengapa?"

Saya menjawab sambil mahu tergelak, "Tarikh saya karang sajak itu adalah 7 Januari 2010, bukannya 7 Januari 2011. Sudah setahun dua hari umurnya, hari ini baru tersiar."

Kami tergelak besar. Dia tidak menyangka, kemudian saya jelaskan bahawa sajak itu sudah lama saya hantar ke pihak Sastera Berita Harian.

Apapun, alhamdulillah. Penantian dan kesabaran yang berbaloi akhirnya. Sajak yang saya karang untuk sambutan tahun hijri tahun sudah akhirnya disiarkan pada tahun baru masihi tahun ini. Semoga mesej dihadam lumat oleh para pembaca.

Terima kasih kepada pihak editorial bahagian Sastera Berita Harian yang dikemudi Bonda Salbiah Ani.

Di sini saya titipkan kembali sajak tersebut:

Erti sanah (tahun) baharu?

Qamar baharu hijri menyapa
Sebelum seketika qamar masihi berlabuh
Masih tertanya apakah maksud
Merdeka di watan ini.

Apakah terlunas dengan
deretan tuan besar seagama sebangsa
melaungkan azimat keramat
Hidup Melayu!
Hidup Melayu!
HIdup Melayu!

Sekelompok pula teriak nyaring
Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!

Tandanya peranakan ibu pertiwi
Sedang bersatu?

Hakikatnya…
Perangai itu bergantung pada
diri sendiri.
Pesan Za’ba sang pendeta jagat bangsa.

Hemburkanlah segala kudrat
gembeling sedaya umat
Pastikan Melayu tidak hilang ‘Me’nya
Lantas jadi kulai ‘layu’
Hamka, ulama sasterawan nusantara
Mengungkap lafaz tazkiah.

ZAHIRUDDIN ZABIDI
7 Jan 2010
Wangsa Maju, KL

Berita Minggu, 9 Januari 2010

1 comment:

Azizah Aling said...

Wah! Hebat ustaz.