31 March 2010

Kisah 1 - Tidak Percayakan Tuhan

Kepercayaan Ateis telah lama wujud di dunia ini, apakah ateis? Ateis bermaksud fahaman yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Ada sebuah cerita yang diceritakan begini, di dalam sebuah negeri di Tanah Arab ada seorang manusia yang mulhid (ateis). Dia percaya bahawa Tuhan itu tidak wujud, manusia dan alam semesta terjadi dengan sendirinya.

Pada suatu hari...

“Nampaknya dia sudah melampau, kalau dibiarkan bimbang pula masyarakat kita yang kurang ilmu agamanya akan terpengaruh,” getus Abdullah kepada ketua kaum, Tuan Amir namanya.

“Benar, saya juga perasan yang dia sudah berani bercakap secara terang-terangan tentang ajaran tiada Tuhannya itu di khalayak ramai,” Rauf menambah, dia lebih muda daripada Abdullah.

Tuan Amir kelihatan termenung, pandangannya dilemparkan nun jauh ke dada langit.

Beliau kemudian bersuara, “Jadi bagaimana, kalian ada perancangan?”

Ungkapan itulah sebenarnya yang dinanti-nantikan oleh mereka berdua. Abdullah dan Rauf tersenyum.

Abdullah memandang Tuan Amir dengan muka yang serius, dia lantas bersuara, memberi saranan lebih tepat, “Begini, saya sudah berbincang dengan Rauf dan kami rasa yang sebaiknya kita adakan satu majlis debat terbuka.”

Tuan Amir mengangguk-angguk, tangannya mengelus-ngelus janggut dan jambang yang semakin memutih itu.

“Soalnya siapa yang akan mewakili kita?” Dia bertanya mahukan kepastian.

“Itu sudah kami uruskan, insya-Allah orang yang kami maksudkan mampu untuk menggalas amanah ini.” Rauf menjelaskan.

“Jika begitu mulai buat persiapan dan segera bertindak, ini adalah maruah agama kita.” Tingkah Tuan Amir serius.

Abdullah dan Rauf segera melakukan tugasan yang sepatutnya.

Hari perdebatan kini menjelang, semua telah hadir termasuk si lelaki mulhid yang sememangnya sangat awal memunculkan diri. Yang merisaukan mereka pula adalah, lelaki atau lebih tepat orang alim yang dijemput mereka tidak juga sampai-sampai.

Si Mulhid sudah mula tersengih sinis, dia lantas bersuara lantang kepada orang ramai. “Tengok, si alim yang kalian wakilkan untuk menentang saya sudah lari entah kemana, dia telah takut untuk berdebat dengan saya pada hari ini.”

Dia kemudiannya menambah, “Dia tahu yang dirinya akan mengalami kegagalan jika berdebat dengan saya. Maka kamu semua percayalah kepada saya, percayalah kalian bahawa dunia ini tiada Tuhan.”

Si mulhid ketawa terbahak-bahak.

Angkuh sekali gayanya. Para penonton tidak ambil peduli, mereka masih menanti kemunculan orang alim tersebut. Ini adalah kerana, di bahunyalah terpikul maruah agama Islam. Ada yang berdoa, ada yang memejam mata dan ada yang sibuk memutar tasbih di tangan.

Tiba-tiba.

“Assalamualaikum!” Ada suara memberi salam dari belakang himpunan orang ramai. Sekalian yamg hadir menjawab salam itu. Rupanya orang alim tadi baharu sampai, hadirin bersorak girang.

Hampir serentak mereka menjawab salam, “Wa’alaikumussalam.”

Orang alim itu pun berjalan dengan tenang dan berhati-hati menuju ke pentas, apabila sudah berada di atas pentas, dia berkata, “Maafkan saya kerana terlewat, ada beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan telah berlaku sejurus sebentar tadi.”

Orang ramai mengangguk-angguk seakan menerima permohonan maaf daripadanya. Namun, lain pula ceritanya pada si ateis, dia sudah naik meluat melihat gelagat si alim itu.

Si ateis berkata keras, “Nampak sahaja alim, tapi janji tidak ditepati. Kamu sudah lewat, kemana kamu pergi!?”

Si alim dengan tenang mendapatkan tempat duduknya, setelah bertafakur beberapa ketika, berdoa kepada Allah, dia memulakan bicara.

Si ateis semakin marah, radang dia melihat sikap si alim yang acuh tidak acuh itu.

“Dalam perjalanan kemari tadi, saya perlu menyeberangi sebatang sungai yang agak luas dan dalam. Namun pada ketika itu saya dapati tiada satu pun perahu yang ada untuk membawa saya,” tingkah si alim, semua senyap, mendengar.

Sambungnya lagi, “Saya agak kerisauan kerana saya mungkin sahaja akan lewat, dan saya tahu tuan semestinya mengatakan bahawa saya takut untuk berdepan dengan tuan lantas melarikan diri. Tiba-tiba...”

Semua orang membeliakkan biji mata, suasana bening sekali dan hanya suara orang alim itu sahaja yang kedengaran.

“Tiba-tiba timbul beberapa keping papan dari dasar air sungai tersebut, papan-papan tersebut kemudian bergerak dan bercantum sesama sendiri tanpa alat bantuan dengan pantas sekali. Hanya beberapa saat, siaplah sebuah sampan yang cukup sempurna dan kukuh buatannya.”

Hadirin terkesima. Antara percaya atau tidak.

“Dengan itu dapatlah saya datang ke sini dengan mudah.” Si alim menghabiskan ceritanya sambil tersenyum manis.

Si ateis yang dari tadi sedang menahan marah lantas bangun dan berhujah, dia seakan sudah mendapat kemenangan dengan penyataan si alim tadi. Fikirnya si alim itu bukan tandingannya kerana dia telah bercerita kisah yang karut.

“Sungguh lelaki yang kamu sangka alim ini adalah sakit otaknya, lebih tepat dia ini sudah gila.” Kata si ateis dalam tawa terbahak-bahak.

“Kalau dia dan kamu semua berfikiran waras, manakan mungkin sebuah sampan itu terjadi dengan sendirinya!? Tentunya ia memerlukan tukang untuk membuat dan menyiapkannya dengan sempurna.” Dia menambah dengan yakin.

Jawapan sebegitu sememangnya yang diharapkan oleh orang alim itu, sambil tersenyum dia segera bangun menjawab.

“Maka kamu yakin perahu itu tidak mungkin tercipta dengan sendirinya.”

“Benar. Masakan mungkin, orang gila pun tidak akan percaya, apatah lagi orang yang waras.”

“Sedarkah kamu secara fitrahnya kamu telah mengakui kewujudan Tuhan.”

“Mana mungkin?”

“Apakah kamu kira alam semesta yang luas dan indah ini terjadi tanpa penciptanya? Sedangkan kamu sendiri mengaku sampan yang kecil dan mudah itu mesti ada yang menciptakannya?” Keras suara orang alim itu.

Si ateis mulai kaget, dia sudah sedar kesilapannya. Keangkuhannya sudah memakan diri. Peluh mula menjelwap pada badannya.

“Secara fitrahnya, kamu sudah mengakui kewujudan Tuhan, namun secara zahirnya kamu ingkarkan. Sungguh kamu adalah dari kalangan mereka yang sesat dan rugi, bertaubatlah saudara,” kata si alim dengan nada memujuk.

Si ateis tidak terkutik, dia terduduk terjelepuk.

Kini dia terpaksa mengakui bahawa pemikirannya selama ini adalah salah!
____________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

24 March 2010

'DBP pulangkan manuskrip'

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my
2010/03/24

Terlalu lewat dicetak sedangkan buku Bahasa Melayu laris di pasaran

FORUM Permasalahan Sastera Masa Kini di Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Kuala Lumpur, baru-baru ini, menyarankan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memulangkan manuskrip yang belum berpeluang dicetak dan menamatkan perjanjian dengan pengarang yang buku mereka yang tersadai di gudang.

Ini kerana forum anjuran Persatuan Penulis Selangor (PPS) itu mencadangkan manuskrip itu diserahkan kepada penerbit lain, manakala judul buku yang tidak terjual dapat dipasarkan di kedai buku termasuk rangkaian kedai buku besar atau buku elit apabila pengarang menandatangani perjanjian dengan penerbit lain.

Forum yang dihadiri kira-kira 30 peserta itu turut didedahkan dengan perkembangan industri penerbitan buku dalam bahasa Melayu mengalami peningkatan berbanding penjualan buku bahasa Inggeris yang mendatar sejak 2002, sekali gus membuktikan buku bahasa Melayu mampu dijual sekiranya menggunakan strategi yang tepat.

Berdasarkan senario mutakhir itu, Pengerusi PTS, Ainon Mohd, menyarankan DBP membuka ikatan yang disifatkan merugikan semua pihak itu dengan mengembalikan karya berkenaan untuk diletakkan di tempat yang sepatutnya terutama sebahagian daripadanya karya bermutu tinggi.

“Harta intelek yang terperangkap dalam stor Pencetak dan Pengedar Buku Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (Dawama) adalah harta nasional yang menjadi modal ekonomi yang boleh mencipta kekayaan.

“Sekiranya senario manuskrip yang tidak dapat dicetak atau buku yang tersadai di gudang berterusan, ia bukan saja memberi kesan buruk kepada pengarang, bahkan turut menjejaskan perkembangan sastera,” katanya ketika berucap pada forum yang dipengerusikan Setiausaha Dua Persatuan Penulis Budiman, Ariff Mohamad.

Ainon mendedahkan kebanyakan kedai buku elit memilih untuk memasarkan buku bahasa Melayu kerana mendapat permintaan tinggi, iaitu antara 5,000 hingga 6,000 sebulan, berbanding buku dalam bahasa Inggeris yang hanya sekitar 500 hingga 600 unit sebulan.

“Pasaran buku bahasa Melayu sudah menjadi talian hayat kepada kebanyakan kedai buku khususnya kedai buku elit meskipun komitmen sesetengah pihak dalam memperkasakan bahasa Melayu masih rendah kerana lebih mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris.

“Malah, rangkaian kedai buku terbesar Indonesia, Gramedia mensasarkan pembukaan 10 cawangannya di negara ini dengan memperuntukkan 60 peratus ruangan di setiap rangkaiannya untuk sudut buku bahasa Melayu,” katanya.

Senario itu, tegas Ainon, membuktikan industri buku Melayu adalah industri kalis gawat sehingga syarikat luar menaruh minat besar untuk mengembangkan industri itu di negara ini, sekali gus penerbit tempatan wajar memanfaatkan perkembangan berkenaan.

Bagaimanapun, forum itu melihat perkembangan industri buku bahasa Melayu itu seolah-olah tidak diterjemahkan ke dalam dunia sastera apabila bidang itu masih mengalami kekurangan peminat tetap khususnya dalam aktiviti sastera.

Pengasas laman e-Sastera.com, Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas, berkata bahan karya sastera dalam bahasa Melayu sudah berkembang daripada medium bercetak sehingga memanfaatkan internet, namun penyertaan khalayak sastera hanya terhad kepada golongan penulis dan peminat sastera yang kecil.

“Kita seharusnya memandang berat terhadap permasalahan ini kerana sastera akan terbantut sekiranya hanya berlegar di kalangan kelompoknya saja.

“Justeru, orang politik yang mempunyai pengaruh kuat perlu diyakinkan untuk memartabatkan sastera kerana ia mampu membantu memperkembangkan tamadun,” katanya yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan di Universiti Malaya (UM).

Dr Wan Abu Bakar berkata, internet memainkan peranan penting untuk menarik minat orang ramai terutama generasi muda yang lebih gemarkan budaya penulisan berbentuk interaktif.

“Ini boleh dilihat pada kejayaan e-Sastera yang mampu mendekatkan komuniti sastera tempatan dan luar negara melalui perbincangan terbuka yang memberi peluang kepada setiap komuniti memanfaatkan hasil perbincangan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, pengarang yang juga Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, menyarankan perkembangan industri buku berbahasa Melayu itu diterjemahkan dalam bentuk promosi di laman web dan blog untuk mendapatkan reaksi yang lebih interaktif.

“Saya berharap kewujudan laman web dan blog sebegini diperbanyakkan untuk membincangkan karya daripada penulis bakat baru dan mapan, sekali gus bertukar pandangan sesama sendiri.

“Bagi merealisasikan impian ini, setiap anggota masyarakat seharusnya memainkan peranan menggerakkan jentera perkongsian karya interaktif ini dan pada masa sama ia disokong tokoh sastera yang juga sanggup memberi peluang kepada orang ramai mengkritik karyanya secara terbuka,” katanya.
____________________________________________

Rujukan: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DBPpulangkanmanuskrip_/Article

Nota: Alhamdulillah saya hadir ke acara yang serba sederhana itu.

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

Majlis Perjumpaan PTS Litera Utama dengan Penulis


Pada hari Sabtu bersamaan 27 Februari 2010 yang lalu, tim PTS Litera Utama buat pertama kalinya mengadakan Majlis Perjumpaan dengan Penulis.

Pada majlis yang singkat tetapi signifikan itu, tim PTS Litera Utama berpeluang berkenalan dengan lebih baik dan bertukar-tukar pandangan dengan barisan penulis yang selama ini memberikan komitmen jitu kepada syarikat ini. Penulis-penulis yang hadir termasuklah Tuan Ashadi Zain, Tuan A Razak Adam, Tuan Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, Tuan Azman Ahmad (Ibn Ahmad al-Kurauwi), Puan Lily Haslina Nasir, Puan Rose Harissa dan Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah. Hadir sama, Tuan Bahruddin Bekri yang juga editor di PTS Litera Utama sendiri.

Majlis bermula dengan sesi memperkenalkan tim editor PTS Litera Utama sendiri dengan tugas masing-masing. Tetamu yang hadir berpeluang mengetahui lebih lanjut dan bersoal jawab dengan editor bertugas perihal produk-produk terbitan PTS Litera Utama. Selepas sesi minum pagi, majlis bersambung pula dengan sesi memperkenalkan diri oleh barisan tetamu yang ada. Selain tim editor sendiri, ianya juga membuka jalan silaturahim antara sesama penulis. Sedar tidak sedar, tiga jam berlalu begitu pantas. Majlis diakhiri dengan makan tengah hari.

Maklum balas yang kami terima adalah para penulis mahu supaya majlis seumpama ini diadakan lebih kerap lagi. Berikut adalah petikan tulisan blog penulis baharu bagi genre Novel Sejarah Islam kami, Tuan Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi:

"...kami dari kalangan para penulis sebenarnya sangat berharap jika program-program seperti ini diperkerapkan lagi agar kami dapat menetapkan dasar atau sasaran kerja kami selaras dengan dasar sasaran pihak PTS Litera khususnya dan PTS umumnya. Mungkin patut pertemuan sebegini diadakan dalam tempoh sebulan sekali."

Insya-Allah!

(Foto: Pn Asma Fadila Habib (berpakaian serba putih) bersama-sama para penulis yang hadir

Nota: Dipetik dari laman rasmi PTS Litera
__________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

21 March 2010

Berjumpa orang hebat

Akhirnya saya berpeluang berjumpa dengan orang-orang hebat dalam sastera. Antaranya ialah Datuk Dr Anwar Ridwan, Tuan Haji Faisal Tehrani dan Prof Dr Wan Abu Bakar@Dr Irwan. Ini berlaku ketika berlangsungnya acara forum anjuran Persatuan Penulis Selangor di Rumah Gapena pada 20 Mac 2010.

Forum bertajuk ‘Permasalahan Sastera Masa Kini’ menampilkan Puan Ainon Mohd (pengerusi eksekutif PTS), Saudara Faisal Tehrani (pensyarah Aswara) dan Prof Dr Ir Wan (pengelola E-Sastera). Forum dipengerusikan oleh pensyarah bahasa dari UPSI, saudara Arif Mohd.

Tidak mampu saya catatkan di sini butiran mengenai perbincangan forum kerana para panel yang tentunya hebat-hebat belaka itu mendatangkan hujah dan persona fakta yang pelbagai. Prof Dr Irwan dengan ideologi E-sasteranya, Puan Ainon Mohd dengan Bahasa Melayu sebagai bahan mentah yang mampu menjadi produk kreatif industri dan saudara Tuan Haji Faisal Tehrani dengan masalah klise dalam pengkaryaan. Banyak lagi sebenarnya.

Apapun seperti biasa kehadiran hanya berlegar di kalangan peserta lazim sahaja. Rasanya saya seorang sahaja yang paling asing di situ. Ada dua orang pelajar Aswara yang saya hubungi dalam FB untuk bertemu di sana, tambahan pula mereka adalah pelajar kepada Tuah Haji Faisal Tehrani. Jadi mereka juga hadir, beberapa wakil media juga ada, sibuk mengambil gambar dan mencacat butiran.

Saudara Naimisa yang sememang dari awal lagi menyatakan kehadirannya, sementelahan beliau adalah salah seorang ahli E-Sasterawan kelolaan Prof Dr Irwan. Ada juga buku-buku keluaran E-Sasterawan yang nyaris menjadi habuan saya, namun entah mengapa tidak terbeli pula. Saudara Naimisa juga baharu menerbitkan karya sulungnya yang bertajuk ‘Misteri Sebuah Manuskrip’ dengan Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Apapun, input yang sangat eksklusif telah diketengahkan oleh para panel dan secara langsung ianya terus mendorong saya untuk terus berkarya. Insya-Allah.
_______________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

18 March 2010

Sasterawan Russia akui keagungan Islam, al-Quran Oleh Dr Victor A Pogadaev

Hampir setiap kali saya menyedari tokoh akademik dari luar negara yang menjadi pensyarah bahasa Melayu di Universiti Malaya ini amat positif dalam pandangannya terhadap kesusasteraan Islam sekaligus Melayu itu sendiri.

Setelah membeli Berita Harian pada hari ini, terpampang tulisan dibawah ini. Begitu mengujakan saya dan sangat bermanfaat. Mungkin jika berpeluang saya ingin berjumpa dengan beliau suatu hari nanti insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/
______________________________________________

Keindahan nilai budaya, peradaban masyarakat diterjemah menerusi hasil karya novel, puisi klasik

PADA pertengahan kedua abad ke-15, saudagar, pengembara dan duta Russia mula menerbitkan dokumen dan kesannya terhadap Islam. Saudagar Russia, Afanasy Nikitin dalam bukunya Pengembaraan ke Rantau Tiga Laut secara objektif melukiskan kehidupan orang Islam, tetapi masih tertanya-tanya, patutkah orang Nasrani menjunjung tinggi agama lain.

Beliau mungkin menjadi orang Russia pertama melawat India (30 tahun lebih awal daripada pengembara Portugis, Vasco da Gama ‘membuka’ India), Parsi, Habsyah dan Arabia pada abad ke-15. Antara lain Nikitin melukiskan juga bagaimana Khan Junnar di India memujuknya memeluk Islam sambil menjanjikan kepadanya ganjaran berjumlah seribu duit emas dan bagaimana beliau pernah berpuasa bersama orang Islam, walaupun selalu khuatir sama ada bertentangan dengan agamanya sendiri.

Saudagar Russia lain iaitu Fedot Kotov dalam bukunya Pengembaraan ke Negara Parsi (1623) mengisahkan selok-belok perayaan Islam di situ, juga terpaksa mencatatkan bahawa dia menulis buku itu bukan untuk ‘mengagungkan Islam’.

Tokoh yang mula-mula merujuk kepada Islam dengan menunjukkan penghormatan tinggi terhadapnya ialah penyair Russia Gavrila Derzhavin (1743-1816) yang berbangga dengan salasilahnya, bermula daripada Khan Bagrim, yang menghabiskan masa kecilnya di daerah Islam, bandar Kazan.

Segala nostalgia terhadap kampung halamannya dinyatakan dalam baris puisinya berbunyi: ‘Bahkan asap ialah sedap dan manis jika itu asap di tanah air sendiri.’ Bandingkan misalnya dengan peribahasa Melayu ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri.’

Penyair lain juga merenungkan unsur persamaan antara orang Nasrani dan orang Islam. Maka terbitlah terjemahan karya penyair Islam dan karya penulis Barat yang menggemari negara Timur.

Antara karya asli Russia yang paling menonjol ialah novel bersajak Sarang Merpati oleh Pavel Katenin (1792-1853) ketika lahirnya Islam dijunjung tinggi dan dikatakan bahawa penyebaran agama itu di tengah-tengah orang Arab ialah kebaikan untuk rakyat.

Minat kepada Islam dinyatakan juga oleh penyair Russia, Griboedov (1795-1829), Vyazemsky (1792-1878) dan Muravyev (1794-1866).

Budaya Islam mengilhamkan penyair genius Alexander Pushkin (1799-1837) yang pernah mengaku dalam satu daripada sajaknya: Menghayatilah Aku Keindahan Al-Quran ... . Beliau memaparkan pengalaman peribadinya melalui pergaulan dengan orang Islam di bahagian selatan Russia dalam puisi Pancuran Bakhchisarai dan Tahanan Kaukasia.

Tema agama dalam karya itu berdampingan dengan tema etnik. Dalam puisi kecil Tasit diceritakan mengenai dendam darah orang Chechen dan unsur adat yang dijalinkan dengan unsur Islam.

Kemuncak kreativiti Pushkin berunsurkan Islam ialah puisi Mengimbas Al-Quran (1824). Yang menarik bagi Pushkin ialah aspek falsafah dan nilai akhlak kitab suci itu.

Beliau pernah mengakui bahawa banyak hakikat akhlak dipaparkan dalam Al-Quran secara amat meyakinkan dan bergaya puitis. Tafsiran watak Nabi Muhammad SAW oleh Pushkin sama sekali berbeza daripada tafsiran ahli falsafah Perancis, Voltaire (1694-1778) yang dalam satu teaternya melukiskannya sebagai seorang fanatik yang mahu merebut kuasa. Pushkin membantah tafsiran Voltaire itu dengan menyatakan ‘bukan darah orang yang tak terbela disukai langit, tetapi kasih dan kepercayaan”.

Penulis ternama Russia, Dostoevsky (1821-1881) pernah menulis bahawa Pushkin mempunyai kebolehan unik untuk memahami inti sebenar tamadun Timur. Penulis Barat apabila menceritakan mengenai bangsa lain menggunakannya hanya sebagai bahan eksotik dan etnografi.

Sedangkan Pushkin berusaha mengekalkan cara berfikir bangsa lain. Dengan merujuk kepada Mengimbas Al-Quran khususnya, Dostoevsky tertanya-tanya: “Bukankah kita nampak di sini seorang Muslim, semangat sejati al-Quran dan pedangnya, keagungan kepercayaan dan kekuatannya yang perkasa?”

Dua tahun kemudian Pushkin kembali dengan tema Islam dan menulis puisi Prorok (Penyair Peramal) dengan melukiskan lahirnya seorang penyair. Allah memberi kepadanya mata untuk melihat segala-galanya, tetapi dia masih bukan penyair.
Allah memberi kepadanya telinga untuk mendengar segala-galanya, tetapi dia masih bukan penyair. Allah menggantikan jantungnya, tetapi dia masih ‘jenazah di padang pasir’. Allah memberi kepadanya kebolehan memahami Allah dan baru selepas itu dia menjadi penyair.

Kehidupan orang Islam pernah dilukiskan oleh Bestuzhev-Marlinsky (1797-1837) dan Polezhaev (1805-1838) (Ammalat-Bek, Harem, Sultan dan yang lain). Bayangan alam Timur Islam dengan keindahannya yang mempesonakan, menjadi punca ilham bagi banyak puisi penyair Russia, Lermontov (1814-1841).

Masalah takdir nasib manusia dan penciptaan alam oleh Yang Berkuasa disentuh oleh penulis Alexei Tolstoy (1882-1945) dalam Catatan Krimea. Watak indah seorang jelita Timur diciptakan oleh Nikolai Nekrasov (1821-1877) dalam puisinya Wanita Turki.

Penulis, Nikolai Gogol (1809-1852) juga banyak menulis mengenai Islam. Beliau tertarik akan seni bina Islam. Menurutnya, seni bina itu ‘seluruhnya terdiri daripada bunga.’ Dalam rencana Al-Mamun, dia mengagumi masa pemerintahan tokoh itu (813-833) di Baghdad.

Islam dan peradaban Islam menarik perhatian ahli falsafah ternama Russia, Vladimir Soloviev (1853-1900). Beliau berusaha memikirkan mengenai Islam dengan berlatarbelakangkan falsafah. Beliau menilai tinggi
peranan Nabi Muhamad dan Islam dalam peradaban dunia dengan kata-kata: “Islam pasti akan berkembang dan tersebar lagi kerana ‘susu rohaniah’ al-Quran sangat diperlukan umat manusia”.

Penilaian tinggi terhadap al-Quran dan budaya Islam pada amnya pernah diberi oleh penulis Leo Tolstoy (1828-1910) yang mengkaji tradisi Islam dan keperibadian Nabi Muhamad. Untuk memahami Islam, beliau pernah mengutus surat kepada Muhammad Abduh (1849-1905). Hero utama novelnya Haji Murat (diterbitkan dalam bahasa Melayu oleh DBP pada 2001; cetakan kedua 2007), memperlihatkan banyak sifat mulia orang Islam pergunungan Kaukasia.

Pada awal abad ke-20 tema Islam disinggung dalam puisi pemenang Hadiah Novel, Ivan Bunin (1870-1953). Beliau menyelidik karya mengenai negara Islam dan tertawan oleh ‘keindahan masjid, menara masjid dan kubah berseni tinggi’.

Beliau sangat menghargai sifat bangga dan jati diri orang Islam yang menghadapi penjajah Barat. Dalam sebuah sajak beliau pernah menyatakan: “Terkutuklah seseorang yang tidak mendengar arahan al-Quran/terkutuklah seseorang yang menolak doa dan perang suci”.

Orang kata, Ivan Bunin selalu membawa bersamanya sebuah antologi puisi penyair terkenal Parsi Saadi (1184-1291) yang sangat mempengaruhi kreativitinya. Tidak boleh disangkal bahawa dalam sajaknya seperti Malam Al Kadr, Jenazah Suci, Bunin tampil sebagai seorang sufi.

Penyair lain iaitu Nikolai Gumilev (1986-1921) sangat berhasrat melawat negara Islam. Kerana terpengaruh oleh Islam, beliau pernah mengarang teater bersajak Bani Allah (1917) satu bab yang mana ditulis dalam bentuk pantun berikat.

Sergey Esenin (1895-1925) dalam puisinya Lagu-Lagu Parsi menggambarkan dirinya sebagai seorang sufi yang mengembara.

Dr Victor A Pogadaev ialah sarjana Russia, kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya
_________________________________________

Sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SasterawanRussiaakuikeagunganIslam_al-Quran/Article

16 March 2010

Rencana sempena PBAKL 2010

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan menjengah kembali, bak sahabat karib yang hanya kunjung ke Malaysia sekali dalam masa setahun, ianya amat dinantikan oleh para sahabatnya yang setia.

Sahabat setia yang taat kepada PBAKL sudah sekian ramai, namun hakikatnya sahabat-sahabat karib ini akan bertambah saban tahun. Dari anak-anak kecik yang baharu belajar membaca sehinggalah mereka yang menghasilkan buku bacaan tersebut semuanya tidak akan melepaskan peluang untuk berkerumun ke sana.

Seakan punyai magnet yang sangat ajaib. Para penerbit akan bersorak sorai kerana persediaan yang dibuat hampir setahun sudah merapati kemuncaknya. Mereka masing-masing sudah berkira-kira pencak silat jenis apa tahap hikmatnya yang akan kita aplikasikan sepanjang berlansung pesta ini. 19-28 Mac 2010 merupakan penentuan.

Saya sendiri yang hanya mengenali PBAKL bermula tahun lepas sudah jatuh hati pandang pertama dengannya. Tahun sudah saya hanya sempat beli Trilogi karya murabbi kesayangan, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Buah tangannya yang bertajuk Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Siri Travelog: Rindu Bau Pohon Tin.

Tanpa disangka tahun ini saya juga menjadi salah seorang penyumbang di syarikat yang sama iaitu Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Cumanya karya saya masih di tahap pembikinan dan insya-Allah akan menjumpai para pembaca tepu karya bahasa Melayu kreatif di PBAKL 2011. Itupun jika ada belas ihsan Allah, nadi ini masih bergedik.

Rencananya

PTS begitu agam sekali dengan lambakan karya kreatif Islami dan karya bukan kreatifnya. Berderetan lot-lot tapak pameran menjadi hak mereka dalam masa seminggu itu. Pun begitu karya saya tidak sempat juga diperagakan pada rak mereka kerana sudah kelewatan walaupun hampir siap sebenarnya. Tidak mengapa, buat apa mahu gelojoh. Nanti jadi tidak senonoh pula.

Rencaan saya ialah, memperuntukkan RM1000 untuk membeli buku-buku yang patut sahaja terutama dari Indonesia. Ataupun sepatutnya saya ke Indonesia sahaja, soalnya bila! Fokusnya untuk belian bahan rujukan karya-karya sejarah Islam selepas ini. Akan menyusul selepas Rabiatul Adawiyah ialah Aminah: Bonda Rasulullah, kemudian Khadijah: Kasih pedagang yang agung dan keempat untuk sasaran tahun ini ialah Aisyah: Ummahatul Mukminin. Insya-Allah.

Selain daripada itu saya juga akan cuba melengkapkan koleksi karya-karya Buya Hamka, Datuk Dr Anwar Ridwan dan Profesor Emiritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, karya-karya sastera dari Indonesia dan banyak lagi. Namun mungkin sahaja jangkaan ini akan meleset apabila sudah sampai ke sana nanti. Siapa tahu bahawa tiada satu pun yang akan dibeli dan mungkin juga yang hendak melebihi apa yang dirancang. Kita tunggu dan lihat sahaja.

Namun semuanya hanya perancangan dari seorang insan yang lemah, masih tertakluk pada ruang kemampuan yang terbatas. Nanti akhirnya, semua pengharapan itu hanya pada Allah. Jadi atau tidak jadi, baik atau buruk natijahnya kelak bukan ukurannya. Sifat redalah penawarnya. Bukan radang hampa kecewa sehingga terungkap sekalipun terniat yang tidak baik padaNya, jangan! Reda… Allah tahu yang terbaik untuk kita.

Saya mungkin akan ke PBAKL setiap hari, siapa tahu. Mungkin juga hanya mampu pergi sekali sahaja ditambah pula dengan masa yang terhad. Ini pastinya mengganggu proses hibernasi daripada orang yang biasa-biasa kepada luar biasa. Daripada penulis yang biasa-biasa kepada penulis yang luar biasa.

Maksud saya dengan penulis yang luar biasa ialah, hasil nukilan mata pena kita setelah disantap oleh pembaca akan membuahkan kesan dan kecenderungan untuk berubah kearah kebaikan. Lihat sahaja impak para remaja yang membaca ‘Aku Terima Nikahnya’? Ruh yang dilempiaskan daripada aksara-aksara kutub itu sangat mujarab dengan izin Allah.

Kita juga mengharapkan agar tulisan-tulisan kita dalam bentuk novel, cerpen, esei, artikel mahupun puisi memberi kebaikan kepada pembaca dan diri kita sendiri. Itulah pada kita seorang penulis yang luar biasa.

Dan insya-Allah, karya-karya saya akan menyusul di PBAKL 2011. Hanya dengan keizinan Allah, kita jumpa tahun hadapan.
_________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

12 March 2010

Sinopsis karya kedua: Emel untuk Carolynn Josephene

Carolynn Josephene, gadis 22 tahun itu adalah anak kepada pegawai diplomatik kerajaan British yang pernah berkhidmat di Malaysia selama 10 tahun. Ayahnya sering bercerita tentang Malaysia selain pandai bercakap bahasa Melayu. Carolynn juga pernah tinggal di Malaysia sehingga umurnya 5 tahun.

Carolynn yang melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana mudanya telah mengambil kursus kajian bahasa dan mengfokuskan pengkajian dalam bahasa Melayu, ini menyebabkan Carolynn telah terbang ke Malaysia untuk berkursus bahasa Melayu di fakulti bahasa moden UPM selama 3 bulan.

Di sana Carolynn telah didedahkan dengan pembelajaraan kesusasteraan Melayu dan sejarah Tanah Melayu. Perkaitan dengan penjajahan British dan kesannya kepada Tanah Melayu, secara tidak langsung Caroline mula terdedah dan tertarik kepada Islam.

Ketika di UPM, Carolynn cuba rapat dengan seorang pemuda yang menjadi fasilitator program tersebut. Pemuda bernama Rihazuddin bin Habibuddin atau Rihaz itu adalah pelajar tahun akhir fakulti tersebut, dia berasal dari Kelantan.

Rihaz lebih dikenali sebagai ‘ustaz’ kerana kebolehan dan kefahamannya dalam agama selain selalu berceramah dan berkuliah, ini adalah kerana Rihaz adalah lulusan diploma dalam bidang Usuluddin sebelum mengambil keputusan menyambung ijazah sarjana muda dalam bahasa Melayu kerana kecintaannya kepada kesusasteraan Melayu yang sangat akrab dengan kesusasteraan Islam itu sendiri. Rihaz juga aktif berpesatuan dan merupakan mantan setiausaha agung PMIUPM. Kini Rihaz banyak memfokuskan tarbiyah adik-adik pelapis melalui aktiviti usrah selain sibuk berkarya.

Carolynn banyak berbincang mengenai Islam selain tentang bahasa Melayu itu sendiri. Sebenarnya Carolynn sudah lama memendam perasaan ingin tahu tentang Islam namun tidak disuarakan kerana tidak tahu kepada siapa ingin dia bertanya. Pertemuan dengan Rihaz merupakan serampang dua mata bagi Carolynn, selain boleh dirinya merujuk dan bertanya tentang masalah bahasa Melayu sekaligus perbincangan agama menjadi kelaziman mereka.

Hal ini berterusan walaupun selepas Carolynn kembali ke Britain setelah tamat berkursus selama tiga bulan, perbincangan mereka semakin rancak dan mereka saling berbalas emel sehinggalah….

Nantikan kesudahannya.
______________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

10 March 2010

Menulis kerana duit?

Saya amat tertarik dengan artikel tulisan ketua editor bahagian sastera Berita Harian, Puan Salbiah Ani. Dalam ruangan Sastera hari Khamis, 4 Mac 2010, yang bertajuk “Saya mata duitan, anugerah no. 2: Ainon”.

Saya sudah mengikuti ruangan Sastera BH ini sejak beberapa lama dahulu dan saya juga perasan yang Puan Salbiah Ani tidak lekang dari menyebut tentang PTS walaupun sedikit hampir dalam semua artikelnya. Ketika berlangsungnya bengkel bersama Puan Ainon bt Abdullah tempoh hari, saya sempat bertanya kepada beliau mengenai perkara itu.

Jawapan Puan Ainon ialah, “Puan Ani bersama kita, beliau mendukung perjuangan kita.” Baharulah saya faham. Makanya tidak mustahil mengapa Puan Salbiah Ani agak bias kepada PTS, malah pernah memuji dengan membanding-bandingkan PTS dengan syarikat penerbitan lain bahkan Dewan Bahasa dan Pustaka sekalipun.

Artikel puan Salbiah Ani semalam melaporkan tentang kenyataan puan Ainon sewaktu berlangsungnya program bual bicara dengan pihak DBP. Puan Ainon dengan terang berkata, “Kami tidak kisah karya-karya terbitan kami tidak mendapat hadiah atau anugerah asalkan royalti para penulisnya banyak. Ini sudah terbukti apabila ada penulis PTS pada tahun ini bakal mendapat royalti melebihi RM seratus ribu namun karyanya tidak pernah mendapat anugerah.”

Saya melihat kepada diri dan bertanya, mengapa dan untuk apakah saya menulis. Lama bermenung akhirnya saya dapati ada beberapa jawapan yang menyinggah di benak ini. Dan ianya telah dan akan berubah mengikut masa, keadaan dan ketika.

Pada mulanya ketika saya mendapati diri ini sangat minat menulis, saya sudah menyimpan angan-angan untuk melihat nama sendiri dicetak pada kulit buku. Tidak dapat dibayangkan nikmat dan kepuasannya apabila melihat nama sendiri tercetak di kulit buku karya kita sendiri, di samping berharap penulisan saya itu dibaca dan memberi manfaat kepada orang ramai serta menyumbang kepada pahala yang berpanjangan.

Keinginan untuk menulis seakan sedikit terubat apabila saya mula berjinak-jinak dengan blog dan kemudiannya terjumpa dengan laman web interaktif Islam tersohor http://www.iluvislam.com/. Saya semakin giat menulis dan sering menghantar artikel ke laman tersebut dan alhamdulillah respon pembaca kepada artikel juga positif.

Kemudian pula saya diperkenalkan dengan laman web http://www.saifulislam.com/ kelolaan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, kebetulan ketika itu bukunya yang pertamanya baharu terbit, buku berjudul ‘Aku terima nikahnya’ itu adalah semata-mata himpunan artikel yang ditulis dalam blognya.

Saya terfikir, begitu sekali penulisan memainkan peranan. Selepas selesai Ustaz Hasrizal berkuliah, para jemaah akan diperkenalkan dengan laman web tersebut dan mereka nanti boleh terus menerus membawa buah fikiran daripada ustaz bahkan berinteraksi dan bertanyakan soalan dalam masa yang sama. Ini menyebabkan talian ilmu terus memanjang dan tidak akan putus.

Saya juga bercita-cita untuk menjadi seperti beliau, selain bermanfaat dalam dakwah bil kaul, juga perlu ada kesinambungan dalam dakwah bil kalam. Itu azam saya.

Minat untuk menjadi penulis terus membawa saya kepada kajian dan penemuan yang saya tidak ketahui sebelum ini. Internet begitu memudahkan kita untuk mendapat sebarang maklumat yang kita perlukan. Saya kemudian mendapat tahu bahawa menulis merupakan salah satu sumber untuk menjana pendapatan.

Saya juga perasan bahawa hampir semua personaliti yang hebat dalam semua bidang di Malaysia semuanya adalah penulis. Bermula dari bekas Perdana Menteri Malaysia ke-empat, Tun Dr Mahathir Muhamad, pernah menjadi kolumnis dengan nama pena Che Det. Sehingga sekarang pun beliau masih lagi menulis di blog peribadinya. Boleh kata semua orang yang hebat, dari bidang politik hingga ke bidang akademik, dari bidang ekonomi hingga ke bidang motivasi, ramai yang menjadi penulis.

Saya simpulkan bahawa, mereka yang mempunyai buku tulisan dirinya sendiri, tidak kira ianya fiksyen atau bukan fiksyen, mereka ada kelas mereka yang tersendiri. Kerana bukan semua orang boleh jadi penulis, namun semua orang mampu menjadi pembaca. Buku laku dijual atau tidak, berapakah royaltinya, adakah perlu dijual sendiri, dan segala macam persoalan lagi tidak saya hiraukan. Yang penting saya ingin menulis, sehingga saya punya karya sendiri dalam bentuk buku.

Sehinggalah saya bertemu dengan PTS dan menghadiri bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan secara gratis oleh mereka. Setelah bergurukan Puan Ainon bt Abdullah sendiri segala persepsi saya berubah. Saya Nampak ada peluang yang lebih menarik dalam dunia penulisan. Saya juga mendapat tahu ramai penulis mapan adalah penulis sepenuh masa dan menyara kehidupan dengan hasil penulisan mereka sahaja. Makah ada yang menjadi kaya raya dan hidup mewah dengan menulis, saya terpana.

Saya diajarkan, apakah salahnya jika kita berusaha untuk membuat sesuatu perkara yang baik bertujuan kerana Allah untuk mendapat pahala, dalam masa yang sama bermanfaat sesama manusia seterusnya mendapat habuan daripada hasil jerih perih usaha kita itu. Tidak salah! Yang salahnya apabila niat melakukan kerja tersebut semata-mata kerana duit, orientasinya duit! Bila tidak dibayar dengan duit terus mereka mengundurkan diri.

Contohnya seorang ustaz yang dipanggil berkuliah di sebuah masjid, sepanjang berkuliah di sana beliau dibayar dengan jumlah yang tertentu. Namun pada suatu hari, kerana sedikit masalah teknikal pihak masjid telah mengurangkan bayarannya atau terlupa untuk menyampaikan sampul berisi wang itu, lantas beliau tidak lagi hadir dan berputus arang dengan pihak masjid.

Inilah yang tidak wajar, duit telah membeli keikhlasannya dalam menyampaikan ilmu melalui kuliah atau ceramah. Begitu juga bagi seorang penulis, kalau duit yang menjadi imbangan semata-semata, maka salahlah. Apa yang penting bagi penulis ialah tulisannya diterbitkan lantas dibaca oleh ummah dan mereka mendapat manfaat dan berkongsi pula dengan orang lain, masya-Allah. Bayangkan sahaja rantaian pahalanya saudaraku.

Sepatutnya para penceramah dan penulis mengambil contoh baginda Rasulullah SAW dalam berdakwah. Baginda tidak pernah meminta atau menerima sedekah, namun jika dihadiahkan dengan ikhlas akan diambil. Erti katanya seorang penulis atau penceramah khususnya dalam bidang agama mesti membetulkan niat untuk berkongsi semata-mata kerana Allah, jika ada rezeki adalah bayarannya dan jika tiada sekalipun tidak mengapa.

Sejak bulan Disember tahun sudah, hampir setiap bulan tulisan saya samada puisi, sajak, esei, artikel mahupun cerpen tersiar di akhbar. Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak Berita Harian, Harakah dan Siasah kerana menyiarkannya. Bulan alang gembiranya saya sebagai seorang penulis yang pucuk ini. Soal duit tidak timbul kerana saya pun punya kerja dan gaji tetap di tempat lain, menulis hanya kerana saya mahu menulis dan mahu jadi penulis. Saya hanya berharap tulisan saya memberi manfaat kepada para pembacanya dan menjadi saham pahala untuk saya di akhirat kelak.

Kini saya sudah bertekad untuk terjun ke dalam dunia penulisan secara menyeluruh. Maksudnya sumber rezeki saya kelak pun adalah daripada aktiviti penulisan. Saya telah memohon untuk menjadi editor fiksyen PTS setelah manuskrip pertama saya dalam genre novel sejarah Islam bakal terbit. Saya ingin makan rezeki daripada kreativiti dan usahasama pancaindera yang Allah kurniakan ini.

Saya juga mendapat tahu bahawa PTS menyediakan pakej yang menarik selain daripada banyak kelebihan lain apabila bersama dengan mereka. Dasar perjuangan bahasa Melayu tinggi, orientasi syariah, bebas rasuah dan lain-lain kriteria yang begitu dekat di hati ini menyebabkan saya berani melucutkan diri daripada jawatan di sektor awam untuk bersama PTS. Saya yakin di sini punya ruangan untuk saya menulis, berdakwah melalui penulisan dan dalam masa yang sama menjana pendapatan dari segi gaji dan royalti.

Insya-Allah jika rezeki penulisan saya cemerlang dan mendapat royalti yang baik setiap tahun, sudah saya rencanakan apa yang sepatutnya saya lakukan. Cuma doa saya agar nanti tidak dibolak-balikkan hati ini, risau jua tatkala memegang cek berangka lain pula jadinya. Wal’iazubillah.

Antara yang saya akan buat selepas menyelesaikan perkara-perkara wajib yang lain ialah membayar yuran menyambung pengajian hingga peringkat yang tertinggi insya-Allah. Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian sarjana dan seterusnya peringkat doktor falsafah dengan izin Allah.

Makanya saya akan terus menulis dan membahagikannya dengan professional. Bekerja sebagai editor dan menulis novel sejarah Islam dengan PTS tentu dengan tujuan akhir menjana pendapatan yang mapan. Namun saya terus menulis puisi, sajak, cerpen, esei mahupun artikel untuk akhbar-akhbar dengan tujuan untuk berkongsi semata. Dibayar, Alhamdulillah. Jika tidak dibayar, tidak mengapa.
_________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

08 March 2010

Kita perlu terpaksa

Salah seorang pensyarah saya yang berjaya mendapat sarjana doktor falsafah sebelum usia hanya 30 tahun ialah Dr Afendi bin Mat Rani, sekarang bertugas di Pusat Islam UiTM Shah Alam.

Beliau pernah berkongsi dengan kami di dalam kelas, menurutnya setelah pulang dari Jordan dengan mendapat ijazah sarjana muda dia menyambung pengajian ijazah sarjananya di Universiti Malaya. dalam masa yang sama dia terpaksa berpisah dengan isteri dan anak-anak yang masih tinggal di kampung.

Isterinya telah menyambung kepada bidang kepakaran kedoktoran di USM Kubang Kerian. Katanya dia agak tertekan dengan keadaan itu yakni berjauhan dengan isteri dan anak-anaknya. Keletihan yang memerah tenaga dan wang ringgit juga menjadi isu. Dalam tekanan menyiapkan tesis sarjananya, dia sering hilang tumpuan kerana teringatkan orang yang tersayang jauh dari mata itu.

Isterinya didesak untuk menyudahkan pengajian pakarnya. Dan hanya dalam masa 2 tahun ianya telah selesai dengan lancar. Dari 5 calon yang bersama isterinya, hanya 2 yang lulus. Kedua-duanya adalah calon yang sudah berkeluarga.

Kini mereka sudah bersama, Dr Afendi juga sudah menyiapkan ijazah sarjananya. Kini dia menyambung ijazah doktor falsafahnya. Dengan harapan, apabila anak dan isteri di sisi, pasti pengajiannya akan bertambah kancar berbanding ketika pengajian sarjana.

Namun lain jadinya, kini tumpuannya sekali lagi tidak dapat difokuskan dengan baik kerana ada sahaja gangguan daripada anak dan isterinya. Bila sahaja mahu menaip dan membaca, maka dalam masa yang sama juga anak-anak yang sentiasa mahukan perhatian ayah mereka akan datang menuntut hak mereka itu.

Isterinya juga akan menuntut hak yang sama, waktu bersama. Seperti keluarga yang lain. Isterinya pernah berkata bahawa dahulu ketika kami jauh, diminta untuk tinggal bersama kerana tidak boleh fokus kerana kami tiada di sisi. Kini apabila kami sudah di sisi, lain pula jadinya.

Akibat daripada tekanan itu, dia menyiapkan tesis doktor falsafahnya dalam masa kurang 2 tahun. Beliau rumuskan bahawa, akhirnya sekarang baharulah dia sedar antara sebab dirinya agak cepat berjaya menghabiskan pengajian sarjana dan doktor falsafah itu ialah kerana tekanan.

Tekanan yang terhasil daripada tanggungjawab yang diwajibkan dalam sebuah keluarga, dan dia berterima kasih kepada tekanan itu. Mungkin tanpa tekanan itu dirinya masih belum mendapat ijazah kedoktorannya.

Dia juga pernah berkata, pada masa pengajian ijazah sarjananya di UM, 200 daripada 500 calon adalah suami dan isteri orang. Dan ketika mereka graduasi, kebanyakannya adalah daripada mereka yang sudah bekerluarga. Begitu juga sewaktu pengajian ijazah kedoktorannya, daripada 150 orang calon, dalam 50 adalah mereka yang sudah berkahwin. Dan majoriti daripada mereka adalah yang graduasi paling awal.

Sebagai penulis dan pelajar

Tekanan kepada kehidupan kita sebagai manusia sejak azalinya sudah wujud. Samada kita sedar atau tidak bergantung kepada tahap kesedaran kita yang berpandukan ilmu dan pengalaman.

Kerana tekanan-tekanan inilah para Rasul dan nabi kita dijamin syurga, bahkan 5 orang daripadanya dianugerahkan dengan gelaran 'ulul azmi. Bahkan daripada tekanan yang pelbagai inilah munculnya pejuang-pejuang agung sepanjang zaman.

Begitu juga dengan karya-karya agung yang terhasil daripada inspirasi tekanan ini. Tekanan ekonomi, sosial dan agama adalah modal kepada karya-karya agung dunia.

Maka, kita perlukan tekanan. Tekanan yang positif yang akhirnya membuahkan kejayaan.
_____________________________

Dinukilkan oleh:
Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

05 March 2010

Laporan Pertemuan Penulis dan Editor PTS Litera

Pada tanggal 27 Februari bulan sudah, telah berlangsung satu pertemuan penting antara penulis-penulis PTS Litera khususnya bersama dengan pihak pengurusan dan editorial PTS Litera. Program dijadualkan bermula pada pukul 9 hingga 12 tengahari.

Kami disambut oleh Tuan Baharuddin Bekri dan Puan Asma Fadila serta dua orang lagi tenaga editorial PTS Litera. Puan Ainon bt Abdullah dan Tuan Fauzul Naim Ishak yang dijadualkan ada bersama tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tertentu. Majlis 100% dikendalikan oleh barisan editorial sastera yang muda-muda belaka.

Antara objektif pertemuan kali ini ialah untuk memperkenalkan secara lebih dekat penulis dengan para editor sekaligus penulis sesama penulis. Antara lain ialah memberi penerangan kepada penulis tentang kedudukan PTS Litera khususnya dan PTS umumnya, potensi, pasaran, produktiviti dan gerak kerja dalaman dan luaran.

Para penulis didedahkan dengan pelbagai informasi yang sangat berguna dan mampu memangkin semangat untuk terus berkarya. Pertemuan yang dihadiri lebih daripada 10 orang penulis daripada pelbagai latar pendidikan dan kerjaya itu amat mengujakan saya sebagai penulis baharu di PTS Litera.

Alhamdulillah, saya sempat berkenalan dengan kesemua editor dan juga penulis. Malah tidak disangka pertemuan itu juga dihadiri oleh seorang kosultant bebas dan anaknya selaku wartawan tabloid iluvislam keluaran Karangkraft. Cikpuan itu juga bekas wartawan untuk Majalah i syarikat yang sama.

Bersama kami juga seorang penulis, penyair dan cerpenis mapan bernama Ustaz Haji Azman bin Ahmad atau nama penanya ibnu Ahmad al-Kurauwi. Prof Madya Dr Umi Kalthum pula seorang pensyarah kanan jurusan kejuruteraan eletrik dan eletronik USM Pulau Pinang. Ada juga Puan Lily Haslina Nasir, generasi kedua peserta Minggu Penulis Remaja DBP, bila ditanya berapakah jumlah karyanya diterbitkan. Beliau hanya tersenyum tanpa menjawab.

Saya juga berkenalan dengan Tuan Ashadi Zain, penulis tegar PTS dalam pelbagai genre dan sudah menerbitkan 45 buah buku dengan PTS bermula tahun 2004. Beliau seorang eksekutif sebuah institut penyelidikan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia. Hadir bersama juga seorang guru bahasa Melayu datang nun jauh dari Melaka semata-mata untuk menghadiri majlis tersebut. Beliau sudah menerbitkan 6 buah karya bersama PTS. Saya juga mendapat tahu bahawa beliau adalah seorang pendeklamasi syair, orang yang dimaksudkan ialah Cikgu Abdul Razak.

Seronok melihat para novelis ini bertukar-tukar buah tangan karya masing-masing sambil mendapatkan tandatangan masing-masing. Saya hanya mampu tersenyum kerana karya sulung saya pun masih belum terbit lagi, sangat mengujakan perasaan itu. Hati ini berkata, “Insya-Allah, nanti engkau pula berpeluang bertukar buah tangan dengan mereka.”

Kebetulan pada hari itu juga saya menghantar kembali pruf manuskrip ‘Rabiatul Adawiyah’ bab 1 – 12 yang telah dimurnikan kembali sedikit sebanyak. Tatkala itu, Prof Madya Dr Umi Kalthom yang sangat peramah dan merendah diri itu terlihat manuskrip saya dan berkata kepada, “Seronok, bila sudah ada karya sendiri. Nanti kalau sudah tengok nama ditulis di kulit buku lagi seronok. Lepas itu pergi pula jengah-jengah ke kedai buku dan lihat reaksi orang ramai terhadap buku kita itu, dengar komen mereka.” katanya kepada saya sambil tersenyum ikhlas. Saya hanya memendam rasa. Insya-Allah.

Isi perbincangan

PTS Litera sebenarnya adalah perintis kepada beberapa genre baharu terutamanya novel sejarah Islam, ciklit dan i novella. Konsep khas ini ternyata masih luas pasarannya dan semakin diterima oleh para pembaca di Malaysia. Dengan itu dikatakan bahawa pengeluaran karya sastera PTS perlu diperderaskan lagi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Penulisan yang berkonsepkan dakwah dan berorientasikan syariah menjadi tunjang kekuatan karya-karya PTS. Agar nanti pembaca bukan sahaja terbuai indah dengan kata-kata dan ayat-ayat yang dilakarkan namun akhirnya mampu untuk menjadi lebih Islamik kerana terkesan jiwanya dengan pembacaan novel-novel yang banyak unsur dakwah yang diselitkan secara langsung mahupun tidak langsung itu. Hal ini ditekankan sepanjang perbincangan itu oleh Puan Asma Fadila.

Kekurangan penulis sastera sejarah Islam mahupun umum pula merupakan fenomena yang agak merunsingkan pihak PTS Litera. Melalui editornya Tuan Bahar, kami diberitahu bahawa setakat ini PTS merupakan syarikat penerbitan yang merintis genre novel sastera seperti itu. Bahkan penulisnya hanya seorang atau tunggal sahaja sehingga sekarang yakni sasterawan dari Rembau, Negeri Sembilan.

 Beliau ialah Abdul Latip Talib atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Latip. Mereka memerlukan pelapis untuk memenuhi kehendak pasaran yang semakin luas. Ibarat kata kek yang bulat itu masih belum dikongsi, makanya sesiapa yang menjadi penulis kedua atau ketiga novel sejarah Islam dengan PTS dikira sangat bertuah dan insya-Allah mudah diterima pembaca amnya. Sasaran bagi penerbitan novel sejarah Islam adalah sebuah sebulan.

Pun begitu, masih banyak lagi sejarah yang belum dinukilkan secara kreatif menggunakan teknik penulisan Surah Yusuf. Contohnya sejarah Perang Dunia Pertama dan Kedua, kisah-kisah penjajahan tanah air oleh Jepun dan British, tokoh-tokoh perjuangan tanah air dan banyak lagi sebenarnya. Fikir fikirkanlah, renungkan dan jangan tunggu lagi. Tempalah nama anda sebagai salah seorang novelis sejarah bersama PTS dan anda pasti tidak akan menyesal.

Perbincangan diteruskan dengan perbentangan mengenai aliran penterjemahan, yang mana karya terjemahan biasanya adalah dari bahasa Inggeris dan bahasa Indonesia kepada bahasa Melayu tinggi. Genre itu juga memperlihatkan perkembangan yang amat menarik walaupun perlahan berbanding dengan novel-vovel lain. Penterjemah-penterjemah yang berbakat dialu-alukan untuk bersama dengan tim ini.

Inovela merupakan novel umum, pop dan feminin yang sudah mempunyai peminatnya tersendiri. Bahkan boleh dikatakan bahawa pembaca-pembaca novel pop sudah agak berselera melapah novel genre ini selepas momentum Ayat-Ayat Cinta tempoh hari. PTS tidak melepaskan peluang untuk menjana novel-novel sebegitu melalui pengkarya tempatan mahupun terjemahan dari seberang. Alhamdulillah penerimaannya juga sangat memberangsangkan sehinggakan ada rangkaian kedai buku gergasi sudah memposisikan buku-buku tersebut di rak khas yang tertera tulisan ‘Novel-novel Islami’.

Matlamat yang paling penting adalah kesan kepada pembaca selepas menghadami karya-karya Islami ini, semoga ianya menjadi sumber harapan yang menunaskan perubahan dengan izin Allah. Bayangkan jika seorang gadis yang tidak pernah bertudung sepanjang hayatnya lantas secara sengaja atau tidak telah disogokkan dengan karya-karya Islami sebegini, akhirnya dirinya mendapat hidayah daripada Allah lantas mengenakan tudung tanpa membukanya lagi. Apakah ertinya kepada sang pengkarya dan penerbit novel-novel tersebut?

Rumusan

Peluang terbentang luas kepada para penulis dan bakal penulis. Cuma diri kita perlu memahami konsep perjuangan yang dibawa PTS lantas melaraskan ia dengan karya kita. Kita tidak akan menyesal sekiranya novel-novel ini bersifat begitu apabila faham falsafah perjuangan PTS.

Kehadiran ke kelas yang dianjurkan oleh puan Ainon bt Abdullah adalah pra-syarat untuk para penulis lebih mendalami kaedah dan skema piawaian yang ditetapkan PTS. Konsep dakwah dan orientasi syariahnya serta penggunaan bahasa Melayu tinggi secara maksimum antara contoh syarat yang ditetapkan.

Kesempatan itu juga digunakan untuk mengusulkan penubuhan kelab peminat Facebook para penulis PTS Litera untuk lebih memudahkan promosi dan interaksi dengan para peminat. Dengan adanya laman itu juga interaksi penulis sesama penulis dan penulis dengan editor akan lebih tertaut insya-Allah.

Akhirnya, kami dari kalangan para penulis sebenarnya sangat berharap jika program-program seperti ini diperkerapkan lagi agar kami dapat menetapkan dasar atau sasaran kerja kami selaras dengan dasar sasaran pihak PTS Litera khususnya dan PTS umumnya. Mungkin patut pertemuan sebegini diadakan dalam tempoh sebulan sekali.
___________________________________

Dilaporkan oleh:

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

Kenapa Tafsir Ibnu Kathir?

Akhirnya saya berjaya memiliki himpunan kitab tafsir yang sekian lama diidamkankan dengan membayar RM450 kepada teman yang telah bersusah payah untuk membawanya pulang dari Indonesia. Tafsir yang saya maksudkan ialah tafsir Ibnu Kathir keluaran Pustaka Al-Syafi’ie, sebuah syarikat penerbitan yang giat menerbit dan menterjemah karya-karya ulama agung aliran salaf.

Soalnya mengapa kitab tafsir 10 jilid itu menjadi pilihan saya, akan saya kongsikan di sini insya-Allah. Impian untuk memiliki tafsir Ibnu Kathir ini muncul sehabis pengajian subjek Usul al-Tafsir yang dikelola oleh Prof. Madya. Dr Mustafa Abdullah, Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Keinginan untuk memilikinya dalam Bahasa Arab terbantut kerana penguasaan lughah al-Quran saya yang lemah itu. Makanya saya tercari-cari versi bahasa Melayu, namun yang paling komprehensif. Dan saya temui jawapannya dari Indonesia.

Sepanjang pengajian subjek tersebut, kami telah didedahkan dengan banyak ilmu asas atau usul (fundamental) mengenai tafsir. Antara isu yang dibahaskan ialah sejarah pengajian Usul al-Tafsir, metod pentafsiran al-Quran oleh para mufassirin sepanjang zaman, pembahagian tafsir dan riwayat-riwayat ulama tafsir serta banyak lagi. Adalah mustahil jika kita ingin lebih mengusai pemahaman tentang ilmu-ilmu kitab tafsir tanpa kita memilikinya dan mengulitinya.

Dengan mengulangkaji pengajian Usul al-Tafsir, ditambah dengan rujukan kitab-kitab tafsir yang muktabar lantas berkongsi pula dengan orang-orang muslim yang lain ternyata ilmu itu akan lebih utuh dan kejap dalam sanubari kita dengan izin Allah.

Lewat penulisan saya yang dahulu, saya telah membincangkan tentang peri pentingnya ilmu-ilmu usul (lihat di sini), kali ini insya-Allah kita akan melihat kenapa tafsir Ibnu Kathir sentiasa menjadi rujukan terbaik sepanjang zaman tanpa menafikan keistimewaan tafsir-tafsir muktabar lain.

Biodata pengarang Tafsir Ibnu Kathir

Nama sebenar beliau ialah Imanuddin Ismail bin Amru bin Kathir al-Basri al-Dimisyqi. Beliau dilahirkan pada tahun 700H di Basrah, selatan Damsyiq. Membesar sebagai seorang yatim, mempunyai daya hafalan yang sangat istimewa dan sudah betah menuntut ilmu dari umurnya pucuk lagi.

Beliau kemudian berpindah ke Damsyiq pada umur 7 tahun dan mula berguru dengan guru-guru yang muktabar dalam bidang agama seperti hadith dan fiqh lantas menghasilkan banyak karya dalam bidang-bidang tersebut. Beliau ada mengarang karya besar mengenai hukum-hakam agama namun tidak sempat diselesaikan.

Ibnu Kathir sempat hidup di zaman Syeikhul al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyyah, kisah-kisah mereka banyak direkodkan dalam karya sejarah Ibnu Kathir berjudul al-Bidayah wa al-Nihayah, banyak pujian yang telah diberikan kepada gurunya itu.

Banyak pendapat Ibnu Kathir dipengaruhi oleh pandangan Ibnu Taimiyyah, beliau malah banyak disakiti dan diuji kerana keakrabannya dengan tokoh mujaddid kurun ke-7 hijrah itu. Selain rapat dengan Ibnu Taimiyyah beliau juga rapat dengan al-Hafiz al-Mizzi dan berkahwin dengan anak ulama besar itu.

Ibnu Kathir telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 774H dengan meninggalkan legasi keilmuan yang sangat berharga. Jasadnya telah dikebumikan di Maqbarah al-Sufiyyah di sisi gurunya, Syeikhul al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyyah. Beliau juga mati dalam keadaan mata yang buta.

Karya-karya Ibnu Kathir

1.Al-Bidayah wa al-Nihayah fi al-Tarikh (sebuah kitab sirah)

2.Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (atau lebih dikenali sebagai Tafsir Ibnu Kathir).

3.Al-Kawakib al-Darari fi al-Tarikh.

4.Intikhab min al-Bidayah wa al-Nihayah.

5.Tafsir al-Qur’an.

6.Al-Ijtihad fi Talab al-Jihad.

7.Jami’ al-Masanid.

8.Sunan al-Hadi li Aqwam al-Sunan.

9.Al-Wadih al-Nafis fi manaqib al-Imam Muhammad bin Idris

Metod pemulisan Tafsir al-Qur’an al-‘Azim

Antara cirri penting dalam petafsiran al-Quran ialah untuk menghuraikan maksud yang tidak difahami secara literal, yang mana ini memerlukan huraian tambahan dalam memahami ayat atau perkataan-perkataan terbabit. Tidak semua ayat al-Quran bersifat begitu, Allah mempunyai tujuannya yang tertentu dalam penggunaan perkataan atau ayat yang sebegitu.

Tafsir al-Quran al-‘Azim dianggap antara tafsir yang terbaik kerana sifatnya yang bersih daripada elemen-elemen tambahan dan sumber yang tidak sorih. Tafsir ini diklasifikasikan sebagai Tafsir bi al-Ma’thur yang membawa maksud metod tafsir yang paling hampir dengan penafsiran para sahabat dan tabi’in.

Ini adalah kerana, Ibnu Kathir telah mensyarahkan ayat-ayat al-Quran dengan kaedah:

1.Ayat al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain.

2.Ayat al-Quran dengan al-Hadith.

3.Ayat al-Quran dengan al-Athar (pendapat dan kata-kata para sahabat).

4.Ayat al-Quran dengan pendapat tabi’in (ijtihad yang disepakati atau ijma’).

Kelebihan Tafsir Ibnu Kathir

Ibnu Kathir sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadith-hadith yang mahu digunakan. Beliau akan menyatakan kedudukan hadith tersebut meskipun ianya soheh, da’if mahupun mawdu’. Bahkan unsur-unsur Israeiliyyat juga dinyatakan agar pembaca kita tafsirnya tidak terkeliru dengan periwayatannya.

Dengan elemen-elemen yang begitu ditir dan berdisiplin, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim telah dianggap sebagai tafsir yang sangat ulung yang dikira kedua muktabar selepas Tafsir Ibnu Jarir al-Tabari dalam kawanan Tafsir bi al-Ma’thur.

Tafsir ini juga antara tafsir yang paling banyak tercetak dan tersebar di kalangan umat Islam semejak dahulu sehingga ke hari ini. Selain daripada itu, cetakan terjemahnnya juga boleh didapati dalam pelbagai bahasa. Bahkan para ulama mutaakhirin ada yang mengambil peluang untuk meringkaskan (mukhtasar) karya Ibnu Kathir ini tanpa mengubah gaya bahasa dan konten-konten dalamannya. Antara yang pernah membuat ringkasan tersebut ialah Muhammad Nasib al-Rifa’i, Syeikh Muhammad Ali al-Syabuni dan ramai lagi.

Ibnu Hajar al-Asqalani pernah memberi pendapat dengan katanya, “Beliau (Ibnu Kathir) adalah ahli Hadith yang faqih. Karya-karyanya tersebar luas di pelbagai negeri semasa hidupnya dan dimanfaatkan oleh orang ramai setelah beliau meninggal dunia.”

Kesimpulan

Adalah tidak rugi jika kita berhabis sedikit modal untuk tujuan pelaburan saham akhirat ini. Semoga dengan memiliki Tafsir Ibnu Kathir menjadikan saya lebih rajin untuk memahami dan mendalami ilmu dan hikmah-hikmah al-Quran dalam masa yang sama dapat menggunakannya sebagai rujukan penulisan yang terbaik.

Kepada yang sudah memilikinya, adalah lebih afdhal jika anda dapat meluangkan masa untuk menghadiri kelas yang membicarakan tentang Ulum al-Quran dan Usul al-Tafsir. Diploma Eksekutif Usuluddin dan Sijil Pengajian al-Quran serta al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ada membicarakan tentang subjek-subjek ini.
_________________________________

Rujukan: Dr Fauzi Deraman, Mustafa Abdullah. 2006. Pengantar Usul Tafsir. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam UM, Intel Multimedia and Publication.

Disediakan oleh:

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi

04 March 2010

Tip Menjadi Penulis Bestseller Dari Habiburrahman El-Shirazy

Tempoh hari sepatutnya saya menghadiri bengkel penulisan novel Islami kendalian saudara Habiburrahman El-Shirazy, pengarang novel bestseller Indonesia Ayat-ayat Cinta di Hotel Residence, Kajang. Namun begitu di saat akhir terdapat perubahan perancangan kerana saya terpaksa ke Jakarta bagi lawatan bisnes di Pesta Buku Indonesia. Oleh sebab itu saya menghantarkan dua orang editor PTS yang menguruskan penerbitan novel Islami di sana.

Mereka membuat sedikit catatan yang menarik dan dikirimkan kepada saya sebagai laporan kehadiran bengkel. Terima kasih kepada mereka kerana di sini saya dapat kongsikan sedikit sebanyak input diperoleh daripada bengkel tersebut.
Tip Menjadi Penulis Bestseller Dari Pengarang Bestseller

Saudara Habiburrahman memberikan 5 ciri pengarang yang ingin karyanya menjadi bestseller dan hebat. 5 ciri tersebut adalah :

a) Niat yang Kuat

Seseorang penulis seharusnya meletakkan satu niat yang kuat dan kukuh dalam hati sanubari mereka sebelum dan semasa berkarya. Niat ini seharusnya positif bagi menjadikan segala tulisan dibuat menyumbang kepada masyarakat. Ia bersesuaian dengan hadis Nabi yang mengatakan bahawa setiap sesuatu dimulakan dengan niat. Niat yang baik membawa penghasilan baik dan dirahmati Allah. Yang buruk dikeji dan dibalas dengan balasan buruk di akhirat kelak

b) Keberanian untuk Menulis

Seseorang pengarang harus bersedia untuk karyanya dibaca oleh orang lain. Apabila begitu mereka perlu terbuka menerima pandangan pelbagai pihak mengenai karyanya. Sesuatu karya yang ditulis tidak akan mungkin boleh jadi paling sempurna kerana kita ini manusia. Hamba Allah. Maklum balas pasaran dan pembaca akan dapat mematangkan penulisan seseorang pengarang itu.

c) Idealisme yang Diperjuangkan dan Kekuatan Jiwa

Seorang pengarang perlu ada perjuangan dalam penulisan. Mereka perlu meletakkan perjuangan sebagai sebab utama dalam penulisan. Perjuangan yang murni dan suci. Penulis tanpa perjuangan, tulisannya tidak dari hati. Kata-kata digunakan tidak meresap masuk ke dalam jiwa pembaca.

d) Ilmu, Wawasan dan Penguasaan Teknik Menulis yang Baik

Teknik dan ilmu kepengarangan amat penting dalam menjadikan seseorang penulis itu matan dalam menulis. Ilmu ini dapat ditimba dengan menghadiri bengkel dan seminar berkaitan dunia penulisan.

e) Akhlak yang Mulia

Akhlak adalah cermin diri. Ia adalah perkara paling besar perlu ada pada manusia. Penulis berakhlak baik berbanding dengan tidak amat besar bezanya dari sudut penulisan. Akhlak amat tergambar dalam penulisan kesemua pengarang. Pengarang yang baik menulis dengan penuh berhikmah dan kata-kata berilmu.

Sedikit perkongsian buat semua. Terima kasih kepada saudari Ashikin dan Nor Hafizah yang sudi berkongsi ilmu ini dengan saya.

Hasil tulisan :
Fauzul Na'im Ishak
Pemilik Blog
fauzulnaim@fauzulnaim.com
________________________________________
Dilaporkan oleh:

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

02 March 2010

Sajak di Harakah

Alhamdulillah, sajak saya yang tersimpan sekian lama akhirnya diluluskan dan diterbitkan oleh Harakah edisi Isnin, 1-4 Mac 2010, bahagian Sastera Budaya, ms F17.

Terima kasih dan sekalung penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak editorial Harakah khususnya bahagian Sastera Budaya. Insya-Allah akan terus berkarya dengan bersemangat dan menyumbang untuk kemajuan lapangan penulisan tanah air.
__________________________________________

Kerajaan

Hari-hariku telah berlalu
bagai menonton episod palsu
kucuba cari yang pasti jitu
arakian juga hatiku pilu.

Hebat dan agung kerajaan Sulaiman
miliki limpah kurniaan Tuhan
lagikan semut mengaku tuan
bukti kebesaranNya tiada sempadan.

Iskandar Zulkarnain pemerintah ulung
hebat perkasa lagi tergolong
punyai nikmat kurniaan agung
Ya Malik! Ya Jabbar! Engkaulah penolong.

Islam pasti bangkit jua
sebelum dibunyi sangka-kala
janjji Allah pada hambanya
syurga dan neraka adalah nyata.

Sokong dan dukunglah naungan Islam
bawah seliaan ulama' yang salam
jangan jadikan hidupmu kelam
dipalit najis dosa silam.

Ayuh bagunlah wahai ummat
bangunkan tekad zahirkan niat
Islam itu rahmat dan berkat
berjaya kita dunia akhirat.

ZAHIR AL-MAWARI
Wangsa Maju
_________________________________________

Nota: Saya terguna nama diatas sebagai nama pena, ianya hanya gimik sementara. Insya-Allah selepas ini akan istiqamah menggunakan nama pena ZAHIRUDDIN ZABIDI.