26 February 2010

Program Dakwah Melalui Kesenian: Pemuda PUM.

Tanggal 7 bulan Februari 2010 melakarkan sejarah baharu dalam kelompok Pemuda Persatuan Ulama Malaysia. Pemuda PUM dengan kerjasama tiga agensi bukan kerajaan lain seperti Yayasan Amal Malaysia, Nisa’ Lembah Pantai dan Persatuan Penduduk Blok 20 telah menjayakan satu-satunya program kesenian yang dinamakan ‘Malam Nur Kasih’ di Dataran Sri Angkasa, Lembah Pantai, berhadapan pangsapuri blok 20.

Program yang sepatutnya berlangsung pada 30 haribulan Januari itu telah dirancang bermula hujung lewat tahun sudah. Menggunakan platform kesenian dalam menyampaikan mesej dakwah di samping menolak kecelaruan doktrin politik kotor dalam berdakwah ternyata sangat membuahkan hasil. Pihak DBKL berbesar hati meluluskan tapak seliaan mereka untuk digunakan walaupun timbul sedikit isu pada awalnya, namun dapat diatasi dengan profesional oleh para penganjur yang terlibat.

Kami tegaskan bahawa ini adalah program kesenian Islam yang bersifat non-politikal metod. Tiada ucapan politik, tiada jemputan khas politik melainkan YB Nurul Izzah sahaja, itupun atas nama Ahli Perlimen Lembah Pantai khusus untuk majlis penyampaian hadiah kepada anak-anak yatim. Beliau pun tidak lama pada malam tersebut kerana beransur meminta diri awal untuk membuat persediaan perbicaraan makhamah ayahnya keesokan hari.

Pada asalnya pihak Pemuda PUM melalui Ketua Pemudanya, Ustaz Dzulkhairi Md Noor telah menjemput kumpulan teater ‘Menunggu Kata dari Tuhan’ yang dikelola oleh sutradara drama pentas tersohor, Dinsman untuk beraksi. Namun di hujung perbincangan AJK bertindak program, kami terpaksa menukar plan asal yang akhirnya menampilkan kumpulan drama pentas Purnama LB yang dianggotai anak jati Lembah Pantai. Perkataan LB itu sendiri merujuk kepada kampung halaman mereka. Begitu juga nama program yang beberapa kali ditukar sehingga merasakan ‘Malam Nur Kasih’ paling cocok memandangkan populariti semasa aksara tersebut. Tujuannya mudah, untuk menarik seramai mungkin penonton pada malam program itu.

Dengan dana bajet sederhana yang terkumpul hasil inisiatif empat penganjur bersama ini, program dilansungkan dengan penuh kesederhanaan dan iltizam untuk menyampaikan dakwah, sekaligus menyedarkan umat ‘1Malaysia’ di Lembah Pantai khususnya bahawa Islam tidak pernah mengharamkan hiburan, bahkan Islam menghalalkan hiburan yang berlandaskan syarak. Haramnya adalah apabila hiburan itu melalaikan dan berorientasikan kenikmatan dan kepuasan nafsu semata, terkinja-kinja, terlompat-lompat, terangguk-angguk, tergeleng-geleng, tiada batasan aurat dan pergaulan serta segala macam fiil yang tidak wajar kerana menghayati keseronokan batil yang bersifat sementara.

Rujuklah buku tulisan Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya yang sudah dialih bahasa ke dalam Bahasa Melayu bertajuk ‘Hiburan Dalam Islam’ terbitan Al-Hidayah Publication Sdn. Bhd. Kalau tidak bersetuju juga, kita mohon tengok dahulu kemudian nilai dan bincangkanlah dengan dada yang lapang untuk mencari solusi terbaik. Bukan terus menghukum, kerana pendakwah bukan penjatuh hukuman. Pendakwah adalah pemberi harapan, begitu juga kesenian dan kesusasteraab sepatutnya menjadi wasilah yang member harapan kepada insan.

Program yang dimulakan dengan persembahan nasyid dari anak-anak penduduk yang belajar di taski sekitar mampu menarik perhatian penonton sehingga kerusi yang disediakan menjadi padat. Ditambah pula dengan penonton tidak rasmi yang sedang melepak di kedai-kedai makan di sekeliling pentas program. Penonton kemudiannya digamitkan dengan nasyid dari saudara Azhan Hattan, juara Akademi Nasyid musim pertama. Usai mendendangkan dua lagu, acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak yatim oleh YB Nurul Izzah dan diteruskan lagi dengan acara persembahan kugiran lagu keTuhanan juga daripada anak tempatan yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat setempat, vokalis yang juga pemain gitar utama muncul dengan kostum jubah putih beserban merah sambil menggalaskan gitar, sememangnya mampu menarik perhatian umum kerana pandangan itu bukan pandangan lazim.

Muzik melankolik bersalut irama glamrock itu akhirnya memukau penonton dengan bait-bait lirik yang tidak lekang dari nasihat dan peringatan, begitu juga pujian dan pengagungan kepada Allah semata. Sungguh mengujakan apabila mendapat tahu lagu-lagu tersebut adalah ciptaan mereka sendiri yang diberi nama kumpulan ‘Man John’. Alhamdulillah, doa kami semoga remaja-remaja yang sedang melepak di sekeliling medan tersebut terkesan dengan bait-bait yang indah itu, jika diperhatikan sememangnya mereka memaku perhatian dan ralit sekali diulit seni.

Seterusnya acara utama mengambil alih pentas, drama bertema dadah durjana begitu mengujakan. Mereka memulakan dengan babak suara latar perkelahian pasangan suami isteri akibat suami yang haprak kerana seorang pemabuk. Di sini timbul kerisauan, adakah ada pelakon perempuan yang akan beraksi? Nyata jangkaan saya meleset kerana suara perempuan yang memegang watak emak dan isteri itu hanya beraksi dari belakang tabir sahaja. Sekali lagi perbahasan ulama dan kias digunakan.

Drama yang memakan masa hampir 45 minit ini amat terkesan kepada penonton menurut pemerhatian terhadap para penonton. Ada pasangan suami isteri berkaca mata menahan sebak dan tumpuan penuh dihadirkan dari para penonton rasmi dan tidak rasmi menggambarkan segalanya. Kisah Karim, seorang remaja yang akhirnya musnah kerana dadah. Berpunca dari pergolakan rumah tangga antara kedua ibu bapanya, menyebabkan diri Karim mencari ketenangan dengan dadah setelah mencubanya secara tidak sengaja. Namun akhirnya, Karim dan ayahnya insaf dan bertaubat serta keluarga mereka kembali harmoni.

Nah, inilah yang dimaksudkan dengan sastera itu memberi harapan. Mereka bukan sahaja membangkitkan isu gejala sosial yang nyata dan tepat dengan masyarakat di sana dengan babak dan adegan Karim menghisap dadah dan mencuri kerana perlukan duit untuk melempiaskan ketagihan dadah, malah diakhirkan persembahan mereka juga mendatangkan solusi kepada masalah itu. Taubat kepada Allah, ya! kembali kepada Allah.

Babak akhir yang diiringi dengan alunan nasyid ‘iktirof’ sangat berkesan pada hemat saya, penonton tidak berganjak sekalipun pementasan agak lama. Walaupun tiada kedengaran esak tangis dari penonton, namun merah mata dan tepukan gemuruh sudah cukup menafsirkan segalanya. Tahniah kepada kumpulan teater Purnama LB, amat sukar dipercayai apabila mereka memberitahu pementasan itu adalah pementasan sulung mereka dan selepas ini mereka akan terus bergiat aktif dan sudi dijemput untuk mana-mana persembahan.

Selesai pementasan teater, Azhan Atan kembali ke pentas dengan 3 buah lagu baharu bersama 2 orang pendikir dari Kelantan yang kini bernasyid dengan beliau. Kumpulan kugiran Abang Man John mengakhiri babak dakwah seni malam itu dengan gemilangnya. Program yang bermula sekitar pukul 9 malam itu berakhir sejurus sebelum pukul 12 tengah malam. Kami dapat rasakan, paling kurang ada mereka yang kini baharu sedar bahawa berhibur dengan kesenian tidak pernah diharamkan dalam Islam. Yang menyebabkan hiburan dan seni menjadi haram adalah manusia yang tidak mengenal erti halal dan haram, dosa dan pahala.

Kini Pemuda PUM dan rakan-rakan penganjur sudah buktikan bahawa program kesenian merupakan platform yang sangat efektif dalam berdakwah. Kami sudah mulakan dan mengharapkan kesinambungannya dari generasi pendakwah yang baharu dan lama. Keterlibatan para ulama amat kami dambakan, dalam memberi teguran, nasihat dan idea, bukannya menghentam tanpa periksa.

Mungkin sahaja majlis membaca sajak dan puisi boleh diketengahkan, dengan menghadirkan para ulama sebagai pendeklamasi. Wacana, ceramah, forum, seminar dan segala macam kaedah sudah dilakukan. Kini tibanya era dakwah cara kreatif, berlunaskan kesenian dan kesusasteraan. Menghembuskan roh Islam ke dalam jatidiri anak muda, agar mereka dipujuk belai dan akhirnya tertancap Islam atas roh keimanan.

___________________

Dilaporkan oleh:

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: