Entah kenapa, saban hari membentak jurus sanubari ini. Aku sangka hanya dalam ibadah sahaja berlaku khilaf, ada yang dituduh bidaah dan ada ada yang dituduh sesat. Yang menuduh orang selain kumpulan mereka bidaah, mengaku ittiba manakala yang menuduh orang sesat pula mengaku diri mereka penganut akidah yang haq kerana mereka mengaji sifat 20, akidah aliran Asyaariah dan Maturidiyah.
Berbalah. Ya, aku lihat mereka berbalah sakan. Tidak suntuk di masjid dan surau, meleret ke dalam laman sesawang. Sebut sahaja apa dia dan di mana? Blog, Facebook, Twitter, forum-forum dan pelbagai lagi jadi medan balahan, cacian, debatan dan makian.
Balah, mereka terus berbalah. Gahar, mereka terus menggahar sehingga haus nilai akhlak dan adab lewat diri mereka sebagai ilmuan agamawan yang faqih lagi tersohor. Terbungkam segala hikmah, yang dampak hanya kebatilan diri mereka sendiri sahaja.
Dan aku, selaku hamba yang baru mahu pulang ke gagang, gagang agama yang diredai Allah. Sentiasa celaru dengan isian bersulam hasut di sana sini. Tatkala hadir ke majlis ilmu dek pesona dan pengaruh insan yang menyampaikan, jauh ke Putrajaya, Bangi, Seremban dan Kuala Lumpur. Aku jejaki, kelih dan dengar dengan sepenuh hati.
Kecewa, kadang majlis jadi acara caci maki. Tiada hikmah selain ucap cerca belaka. Al-Quran dan hadis dilafaz fasih menghiasi silat lidah namun akhirnya menimbulkan mual para pendengar.
Aku perlukan pemurnian, masyarakat juga, dan aku tahu. Hanya ilmu, hanya ilmu yang akan menjadi pedoman kami dalam menjadi indikator penilai.
Suatu hari, aku hadir ke satu majlis ilmu. Dianjurkan oleh mahasiswa di Universiti Putra Malaysia atau UPM. Aku pergi kerana aku tertarik akan tajuk yang bakal diwacanakan. Ianya adalah anjuran Persatuan Mahasiswa Islam UPM atau singkatannya PMIUPM.
Tajuknya adalah: 1 Akidah 1 Ummah.
Aku teruja. Ya, aku teruja. Aku ajak semua kawan-kawanku, kebetulan pula hari itu adalah hari cuti kerana Hari Kemerdekaan di Malaysia. Buat kali keduanya aku dipagut bangga, hatiku tulus menghulurkan pujian kepada mereka. “Subhana Allah, hebat betul kepimpinan PMIUPM yang baharu ini. Hari cuti kemerdekaan pun diisi dengan program yang penuh gizi batiniah. Ada program diskusi dan wacana agama, bahkan tajuknya juga adalah tajuk yang berat walaupun kelihatan asas. Kalaulah semua mahasiswa sefikrah mereka, tidak mustahil generasi Salahuddin al-Ayyubi akan bangkit semula.”
Dek kerana teruja, aku sampai awal ke bangunan Fakulti Pendidikan. Program yang sebetulnya bermula jam 10.00 pagi, jam 9.30 pagi aku sudah terpacak di sana. Aku naik ke aras dua yang menempatkan dewan kuliah tersebut. Ada sekumpulan ahli jawatankuasa program yang sedang menyiapkan apa yang patut.
Aku jengah ke dalam dewan. Kerusi sedang disusun, sekilas pandang ada lebih dua ratus kerusi yang disediakan.
Benakku terjentik, “Adakah yang mahu hadir? Sudahlah pada hari cuti umum, mula jam sepuluh pula. Kalau benar penuh, benarlah ini generasi pelapis pejuang yang cintakan ilmu.”
Aku ambil tempat duduk nun di belakang sana. Bukan apa, mahu bagi peluang kepada orang muda supaya duduk dihadapan. Lagipun aku ada bawa sebuah novel yang mahu dibaca. Memang menjadi perangai aku, buku mesti ada di tangan walau ke mana diriku pergi. Masa bagiku adalah musuh jika ia tidak dimanfaatkan sebaiknya. Kecuali ke jamban, walaupun ada sesetengah yang berpendapat waktu yang paling baik membaca adalah waktu mengcangkung tatkala hajat diqada.
Tidak masuk akal. Rasulullah lagi menyuruh kepala ditutup paling kurang dengan kain selain membaca doa khusus memohon perlindungan daripada iblis dan syaitan. Kerana syaitan dan iblis itu girang metah dapat berak dan kencing di atas kepala kita.
Patutlah ada yang jadi dungu. Ada yang lembap. Ada yang hatinya gelap. Adab dalam Islam tidak betah mereka amalkan meskipun tidaklah sulit sangat jika mahu dilaksanakan.
Mahasiswa dan mahasiswi sudah ada yang masuk ke dewan kuliah. Ada yang berseorang, ada yang berkumpulan. Sedikit demi sedikit, beberapa minit sahaja lagi jam sepuluh dewan sudah hampir sesak. Ada yang terpaksa berdiri, ada yang ambil pilihan bersila dan ada yang pergi memunggah kerusi dari bilik sebelah.
Tidak ada yang menegur aku dan aku tidak kisah.
Aku diam. Membaca naskhah di tanganku lebih enak daripada memerhati gelagat umat manusia di dalam dewan itu bagiku. Kadang-kadang si kopiah dan si tudung labuh, onar juga.
Penghawa dingin semakin kalis habanya. Barangkali kerana ramainya orang dalam dewan kuliah itu menyedut hawa dinginnya. Namun keadaan masih terkawal. Sekarang siswa dan siswi sudah benar-benar padat.
Aku segera teringat amaran keras Allah dalam Surah at-Tahrim ayat enam yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar dan keras. Mereka tidak pernah menderhakai Allah terhadap apa yang diperintah oleh Nya dan sentiasa mengerjakan apa yang selalu diperintahkan kepada mereka.
Kalbuku mendesir, romanya tegak tercacak.
Sedang aku melayan ripuh kendiri, tiba-tiba seorang siswa yang berseluar slack berbaju kemeja tengkuk bulat, mengenakan jaket berlogo PMIUPM, kopiah Haji Abdul yang sedikit senget mula merapati rostrum dan mengumumkan. “Ketibaan al-Fadhil Ustaz Muhammad Zuhri el-Mawari, penceramah kita pada hari ini.”
Seiring itu kelihatan sekumpulan pelajar masuk mengiringi satu sosok yang begitu berwibawa, tatkala aku memandangnya semacam ada satu rasa yang sukar digambarkan lahir dari dalam diri.
Lampai sasa susuk tubuh, berwajah bujur lengkung bermisai tipis bertangkup janggut sederhana lebat. Begitu kemas. Beliau tidak begitu cerah, namun ada cahaya yang menyerikan wajah wibawanya, senyuman U tidak lekang dari wajahnya yang sedia manis itu. Ustaz Muhammad Zuhri el-Mawari mengenakan satu set sut Cina berwarna hitam, dampak kemas dan profesional.
Tempat di atas pentas diambil, penegerusi segera memulakan majlis dan sedikit kata alu-aluan. Ustaz Muhammad Zuhri El-Mawari aku lihat duduk dengan tenang, seketika sebelum namanya dipanggil dia aku lihat memejam erat matanya. Aku hanya memerhatikan wajahnya, galau tadi sirna. Tenang menjengah sudah.
Tiba-tiba, beliau membuka mata dan anak mata kami bertembung. Wajahnya kelihatan serius seakan dapat mengesan sesuatu. Sebenarnya jarak kami tidak terlalu jauh. Beberapa detik kemudian kami berdua seakan-akan berada dalam dunia kami sendiri sahaja. Ya, hanya kami berdua.
Satu mesej telepati singgah di basyirah. “Kita jumpa selepas ini, insya-Allah. Saya tahu maksud kehadiran kamu.”
Aku tersenyum dan mengangguk. Anggukan saya dibalas serentak itu dia sudah dipanggil supaya mampir ke rostrum bagi memulakan kuliahnya.
Aku segera menadah telinga, tangan pula tekap dengan sebatang pen dan sebuah buku nota. Mustahil memori banyak dosa ini mampu ingat semua butir ilmu, lagipun aku bukan al-Imam as-Syafie yang sangat ajaib daya ingatannya.
Ustaz Zuhri el-Mawari melangkah kemas menuju ke rostrum, tiada sebarang nota aku lihat dia bawa. Ah, mungkin segalanya sudah lekap dalam dada. Aku harapkan sesuatu daripada beliau. Harapan, makna dan hikmah. Itulah ulam kepada ilmu dan akhlak.
Syarahan dimula dengan basmallah dan puji-pujian kepada Allah dan Rasulullah, diiringi dengan pujian kepada ahlul bait dan keturunannya serta para sahabat dan ulama-ulama.
Aku tekapkan sahaja telingaku dan matanya bagi mengelihnya dan mendengar butir ucap beliau. Tona suaranya sahaja sudah mampu memikat sekalian yang hadir bagi menumpukan perhatian dan gesit senyap.
Selesai sahaja mukadimah bicara, beliau terus masuk ke isi tajuk. “Tuan-tuan, akidah itu adalah satu ketetapan, ikatan dan perjanjian. Dalam Islam akidahnya adalah tertancap tetap pada satu satu kalimah iaitu La ilaha illa Allah yang bermaksud tiada Tuhan selain Allah. Jelas termaktub, akidah Islam yakni mengesakan Allah adalah tidak berubah bermula dari zaman Nabi Adam hingga ke Nabi Muhammad SAW.”
Jeda dimanfaatkan, nafas bertukar ganti. Kemudian dia menyambung lagi, “Tuan-tuan, ada satu cerita yang ingin saya kongsikan, ianya berlaku kepada diri saya sendiri…,” Aku perasan tatkala beliau berkata ingin bercerita, siswa dan siswi semakin memberikan perhatian, ianya jelas terlarik di wajah mereka.
Ustaz Zuhri el-Mawari mulakan ceritanya, “Saya pernah didatangi seseorang dan bertanya kepada saya, ‘Di manakah Allah? Tunjukkan kepada saya jika kamu tahu?’
“Saya jawab kepada dia dengan bertanya kembali, ‘Mengapa tuan bertanya begitu? Apakah tuan seorang Islam?’
“Dia menjawab, ‘Ya, saya seorang muslim.’
“Saya katakan kepadanya kembali, ‘Jika tuan benar seorang muslim, tuan tidak akan bertanya soalan sedemikian. Ini adalah kerana, apabila tuan bertanyakan soalan di mana Allah, bagaimana rupanya, apakah pekerjaannya… tuan seolah masih lagi tidak berakidahkan dengan akidah Islam. Ataupun saya berani katakan tuan adalah seorang yang masih tidak percayakan tentang kewujudan Allah.’
Aku lihat ramai yang tersentak sedikit dengan penyataan itu. Mungkin jarang kenyataan itu dilontarkan ke khalayak sedemikian rupa.
“Dia terdiam, melihat dia terdiam saya meneruskan kata-kata saya, ‘Adalah tidak patut kita sebagai orang Islam yang sudah mengucap dua kalimah syahadah, sudah sembahyang, puasa di bulan Ramadan, bayar zakat dan melakukan segala amalan lain namun dalam masa yang sama masih bertanyakan soalan-soalan yang sedemikian. Namun, jika mahu berdakwah kepada orang bukan Islam tidak mengapa, kalau mahu dibahas dan digaduhkan dengan sesama Islam tiada gunanya. Justeru saya berani berkata, samada anda seorang penganut akidah tiga iaitu Rububiyah, Uluhiyah dan Asma wa as-Sifat atau akidah aliran Asyaariah dan Maturidiyah yang sinonim dengan Sifat 20, keduanya adalah manhaj yang benar berteraskan al-Quran dan hadis, sekadar manhaj dan zamannya yang berbeza. Akidah kita bukankah tetap sama iaitu bertunjangkan kalimah tauhid La ilaha illa Allah?’”
Kali ini siswa dan siswi seakan tenggelam dalam hakikat akidah Islam itu, aku dapat rasakan kelegaan pada wajah mereka. Anggukan mereka membuktikan. Ustaz Zuhri el-Mawari meneruskan pidatonya.
Hampir cukup satu jam, Ustaz Zuhri el-Mawari mula menunjukkan tanda-tanda bahawa pidatonya akan ditamatkan. Walaupun saat itu, laras lantangnya benar-benar masih memikat yang mendengar. Sehinggakan aku perasan tiada yang melelapkan mata seperti biasa majlis ilmu lain. Nampaknya celak sang iblis tidak menjadi dalam majlis yang penuh barakah ini.
Aku yakin para siswa dan siswi dapat mengambil poin-poin penting dalam penyampaian Ustaz Zuhri el-Mawari tadi. Hujah-hujah yang disandarkan kepada al-Quran dan hadis, misalan-misalan yang mudah difahami dan perbandingan yang jelas rapat dengan para siswa dan siswi semuanya.
Sedang menunggu majlis tamat, sekali lagi Ustaz Zuhri el-Mawari menujahkan pandangan kepada aku. Aku sedikit kaget, malu pun ada. Selepas majlis selesai dia menuruni pentas dan menuju ke arahku, beberapa orang siswa mengekorinya dengan kepelikan yang amat.
Kami kemudian bersalaman dan bertegur sapa, dia lantas bertanya kepada saya, “Wahai saudara, mengapa saudara ada di sini? Bukankah di sini amat asing dengan dunia saudara?”
Aku tersenyum, menjelaskan. “Ustaz, saya datang semata-mata mahu mencari pemurnian akidah Islam. Kecelaruan di dunia manusia sudah juga menyusup masuk ke dunia kami. Jadi saya selaku mereka yang dipertanggungjawabkan di sana datang mencari sebarang ilmu di dunia manusia bagi dijadikan buah kilas persediaan apabila berhadapan dengan masalah sebegini di sana.”
Aku perasan para siswa yang ada di samping Ustaz Zuhri el-Mawari menjadi lebih pelik dan gelisah. Sudah ada yang berbisikan sesama mereka. Aku segera sedar dan meminta diri malah menyatakan kepada Ustaz Zuhri el-Mawari akan mendatanginya lagi kelak, beliau bersetuju.
Aku meminta diri. “Baiklah, ustaz. Saya minta diri terlebih dahulu, terima kasih yang tidak terhingga atas ilmu yang diberikan pada hari ini, paling kurang saya sudah jelas apakah jalan yang perlu saya piliih apabila ada khilaf sebegini kelak.”
“Alhamdulillah, semoga Allah merahmatimu dan duniamu, sahabatku.”
Jelas, kata-kata ustaz mengundang tegun para siswa yang terpaku kacip mulut lidah masing-masing. Mungkin jika dipasang telinga elok-elok saat itu, boleh didengar kencang debar bersahut-sahutan.
Aku kemudian berpaling dan melangkah mahu keluar.
Tatkala itu juga ada seorang mahasiswa bertanya kepada Ustaz Zuhri el-Mawari. “Maaf ustaz, boleh kami tahu dengan siapa ustaz berinteraksi sebentar tadi? Kerana kami tidak langsung nampak kelibatnya.”
Beliau tersenyum manis. “Kawan… kawan saya yang sedang melaksanakan amanah Allah bagi berdakwah di alam sana….”
Dan mereka semua gamam.
----------------------------------------------------------------------------------------------------
Nota: Naskhah yang sudah diedit cerpen ini diterbitkan oleh Tunas Cipta, Februari 2011