Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani
Hari minggu yang begitu berwarna-warni tona cahayanya berlalu. Ada suka dan juga duka. Wajarnya yang gembira, suka itu disyukuri dan duka, sedih dan pilu itu diambil iktibar.
Allah tidak akan menguji hambanya melainkan hambanya itu mampu untuk menanggungnya.
Sepatutnya pada hari Sabtu sudah saya ke Galeri Ilmu, sebuah syarikat penerbitan untuk bengkel penulisan novel Islami. Namun perkara yang takuti akhirnya berlaku jua. Saya sesat, akhirnya pulang sahaja ke rumah dengan hati dan jiwa yang kosong amat.
Mungkin ada hikmahnya.
Esoknya alhamdulillah saya dapat menebus hampa di kelas Puan Ainon, dan siri kali ini ialah 'Aplikasi KJ Method dalam penulisan fiksyen'. Panjang jika saya mahu kongsikan di sini, cuma yang menarik minat saya ialah sudut psikologi pemikiran dalam 'solving problem' yang dibicarakan oleh Puan Ainon di dalam kelas semalam.
Asasnya, kebolehan berfikir itu adalah anugerah Allah. Namun cara kita berfikir bergantung kepada diri kita sendiri. Dalam erti kata kitalah yang mencorak cara kita berfikir. Dan sedar atau tidak, oleh kerana kita di Malaysia adalah bekas jajahan takluk Eropah terutama Inggeris sejak dari tahun 1511 hinggalah 1957, makanya sudut corong fikir kita memang dipengaruhi mereka.
Ini adalah kerana sistem pendidikan, undang-undang, kebudayaan, teknologi dan banyak lagi elemen yang digunakan oleh kita adalah daripada mereka. Pemikiran jenis 'linear' inilah yang menyebabkan kita hanya membuntuti mereka.
Setelah dikaji, didapati bahawa kita sebagai orang Islam sememangnya tidak diajar dengan pemikiran dan pengamalan 'linear' ini. Buktinya pembahagian hukum-hakam dalam Islam sendiri.
Kita tahu hukum dalam Islam ialah:
1. Wajib
2. Haram
3. Sunat
4. Makruh
5. Harus
Dalam satu keadaan atau kes kesemua hukum ini berfungsi. Contohnya dalam masalah kahwin, hukum asalnya adalah harus. Namun jika seserang lelaki itu sudah cukup kriterianya malah dikhuatiri dia ini jenis yang mudah cenderung kearah perlakuan maksiat maka nikah baginya adalah wajib.
Jika mampu tapi tidak mahu dan yakin tidak akan terjeremus ke dalam maksiat maka hukumnya sunat. Jika tidak mampu tetapi berkeinginan dan masih mampu memelihara diri dari maksiat hukumnya makruh.
Begitu sekali Islam itu syumul, merangkumi segala kesesuaian, tepat dengan fitrah kemanusiaan kita semua. Sebab itu, mazhab-mazhab di dalam Islam merupakan rahmat. Hanya mereka yang jahil sahaja beranggapan sebaliknya.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah berkata, "Aku lebih suka jika ada khilaf antara para sahabat Baginda Rasulullah terhadap sesuatu perkara kerana ia memberi peluang kepada umat Islam untuk membuat pilihan."
Islam telah merintis pemikiran 'non-linear' yang membangunkan individu-individu lagenda yang hebat seperti Rasulullah SAW sendiri, para sahabat Baginda dan ulamak-ulamak seterusnya. Tidak menjadi pelik jika seorang alim ulamak juga seorang doktor, arkitek, jurutera dan sebagainya.
Tunggu lagi kita mahu praktikkan atau tidak. Saya mencabar diri saya, selain kerja hakiki di Pusat Pentadbiran Zon 4, saya juga bertugas sebagai bilal rawatib masjid yang sama. Saya juga menyambung kembali pengajian sarjana muda secara PJJ, di samping itu saya ada juga mengajar al-Quran kepada anak-anak di sekitar ini selain kuliah Maghrib di beberapa tempat.
Terbaru saya akan bersama Pemuda Persatuan Ulamak Malaysia dalam merencahkan lagi arena dakwah tanah air dan insya-Allah akan menulis dan menerbitkan karya saya sendiri tidak lama lagi.
Terima kasih kepada Allah dan Baginda Nabi Muhammad SAW serta sahabat serta keluarga mereka. Para ulamak salafussoleh, tani'in, tabi-tabi'in dan semua ulamak mutaqaddimin dan mutaakhirin.
Tidak lupa juga kepada isteri tercinta serta ibnu Zahiruddin yang bakal dilahirkan, keluarga saya dan semua yang mengenali diri saya.
Saya perlukan anda semua, terima kasih.
Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
No comments:
Post a Comment