16 September 2008

BACALAH

Bacalah, bacalah, bacalah…seru Saidina Jibril kepada bakal Rasul yang telah menjadi nabi pada umur 25 yakni Muhammad ibni Abdullah ibni Abdul Muthalib. Lafaz itu seiring dengan pelukan dari pesuruh kanan Allah itu, kegusaran dan ketakutan yang dirasai oleh Muhammad tidak tergambar lagi, dia hanya menjawab “aku tidak tahu membaca” kemudian disambung oleh Saidina Jibril “bacalah dengan nama tuhanmu yang menjadikan, yang menjadikan manusia daripada tanah” kemudian disebut pada Muhammad “aku adalah Jibril, pesuruh tuhanmu yang akan menyampaikan wahyu kepadamu, maka dengan itu engkau adalah utusanNya” seketika kemudian Muhammad yang ketika itu berusia 40 tahun berlari menuruni bukit An-Nur menuju ke rumah isteri tercinta Saidatina Khatijah binti Khuwailid dalam keadaan terketar-ketar kesejukan. Sesampainya di rumah baginda telah menyuruh isteri tercintanya untuk menyelimutinya. Arakian ketibaan wahyu kedua terus menyusul.

Begitulah rentetan peristiwa agung penyampaian wahyu pertama dari Allah kepada Muhammad yang mengiktirafkan baginda sebagai Rasulullah, utusan akhir zaman. Pengajaran yang dapat kita huraikan di sini amatlat banyak. Banyak ulama’ dari dahulu telah membahaskan tentang pengajaran dari ayat petama ini. Yang mana jelas Allah sendiri menyuruh manusia untuk membaca. Persoalannya apa yang perlu dibaca dan mengapa perlunya membaca dan adakah cukup dengan sekadar membaca? Difahamkan pada zaman Rasulullah tiada wujud lagi Al-Quran berbentuk mushaf (buku) yang hanya dikumpul pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab dan dimushafkan pada era pemerintahan khalifah ketiga Usman Ibnu Affan kerana Abu Bakar pada zaman pemerintahannya beranggapan adalah perlu untuk mengekalkan cara pemerintahan dan cara hidup Islam sepertimana pada zaman Rasulullah tanpa perlu mengubah sekelian apapun.

Oleh yang demikian, rentetan daripada pembukuan Al-Quran (mushaf) inilah tercetusnya gelombang penyebaran ilmu-ilmu melalui pengumpulan,penulisan dan pembukuan yang dipanggil ‘kitab’ dalam bahasa arab. Pengumpulan Al-Quran juga kemudiannya telah membuka ruang kepada sahabat Rasulullah untuk melakukan pengumpulan dan pembukuan sumber rujukan kedua Islam yakni hadis Rasulullah. Hadis itu diertikan oleh ulamak-ulamak sebagai segala percakapan, perbuatan dan pengakuan Rasulullah secara senyap. Para sahabat yang sezaman dengan Rasulullah masing-masing telah berusaha untuk menyumbangkan tenaga, keringat dan pertolongan bagi menjayakan pengumpulan hadis-hadis Rasulullah sehingga terbarisnya gabungan pengumpulan hadis yang muktabar yang digelar “sunan sittah” yang membawa maksud ahli sunnah enam. Sumber kedua selepas Al-Quran yang disepakati tiada khilaf antara semua ulamak. Mereka terdiri daripada Imam Bukhari, Imam Muslim, An-nasai, Ibnu Majjah, Abu Daud dan Tarmizi.

Adapun pembukuan hadis-hadis Rasulullah itu telah dikumpulkan pada zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz khalifah era tahun 100 hijriah, antara khalifah yang paling “Rasyid” selepas zaman pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin yang empat itu. Antara karya tertua dalam sejarah pembukuan hadis hadis ialah kitab yangt berjudul Al-Muwatta dari Imam Malik dan Al-Umm dari Imam As-Shafie Rahimahullah. Pembukuan hadis Rasulullah telah diperkemaskan pada zaman pemerintah Khalifah Al-Mansur (136 hijrah). Maka bermulalah penguasaan keilmuam Islam secara alamiyyah kerana keilmuan yang hebat inilah umat Islam pada masa itu telah hampir berjaya menakluki hampir ¾ dari muka bumi Allah ini.

Hasil pecahan 2 sumber mutlak yakni al-Quran dan hadis maka pengembangan dalam ilmu fiqh, tauhid, akidah, akhlak, muamalat, perundangan malah keilmuan sains dan teknologi, falsafah, perubatan, pelayaran, kimia dan biologi, matematik, pengurusan dan sebagainya wujud hari ini adalah rentetan dari hanya dua sumber itu. Sumber yang haq itu adalah rujukan mutlak bagi apa jua hal sekalipun. Golongan yang mendakwa tidak mempercayai hadis adalah dianggap tidak sempurna akidah.

“Fakta ialah ilmu dan ilmu ialah kuasa”, betapa menyeluruhnya seungkap kata yang menggambarkan kepentingan keilmuan pada manusia. Dari hal ini jugalah yang memberikan penulis hemburan dengus bara. Penulis yang pernah singgah di medan gagal berkali-kali cuba mencari titik hembur nafas gilang. Nyatalah akhirnya, selagi kita bernafas maka peluang dan ruang akan wujud. Begitulah lumrah alam yang begitu spontan sebenarnya. Yang mahu dinyatakan bahawa sebenarnya fakta yang Haq ada di dalam Islam sebenarnya. Rasulullah bersabda bemaksud : Ku tinggalkan kamu dua perkara, jika kamu berpegang akannya maka tiada sesat bagimu, ianya Quran dan Sunnahku. Nah, jelas fakta dalam Islam merujuk kepada dua sumber agung ini. Tidak mampu seorang pun untuk menafikan hak Al-Quran dan Sunnah untuk fakta sumber dan rujukan bersamaan dengan fakta. Betapa gemilangnya Islam kerana penguasaan ilmu yang melangkaui zaman. Para sarjana Islam bukan sahaja membuat kajian keduniaan tetapi adalah kerana mencari redha dan kasih Allah jualah mereka begitu, sehiggakan ketiggian ilmu merekalah menyebabkan mereka lebih beriman, bertaqwa malah mampu mencapai maqam yang tinggi disisi Allah ta’ala : ‘Sesungguhnya orang yang takut kepada Allah ialah para hambanya ulama’.

Pemilihan dalam mencari bahan rujukan adalah penting. Bukan semua bahan dapat boleh dibaca dan dijadikan panduan dan bukan semua buku adalah sahih dari sudut fakta dan maklumatnya. Perlu dirujuk siapakah penulisnya, penerbitnya, rujukan dan beberapa perkara ini adalah penting bagi memastikan apa yang dihasilkan berkualiti dan tidak bertujuan untuk menyimpangkan norma-norma insani ummah. Penulisan dalam Islam adalah amat penting kerana itulah punca asas penyebaran syiar Islam secara menyeluruh (alamiyyah). Sejarah telah membuktikan revolusi berlaku dengan penulisan memainkan peranan yang besar dalam penyampaian ideologi, kritikan, maklumat dan sebagai alat yang paling berkesan untuk mempengaruhi masyarakat. Setelah membuat beberapa penelitian kita sedar bahawa hampir keseluruhan mereka yang pernah mencipta nama di persada dunia dan negara pernah menulis dan menjadikan penulisan mereka sebagai hobi sekaligus sebagai alat penyampaian maklumat yang paling berkesan. Sebelum menulis perlulah terlebih dahulu membaca, sebab itulah mengapa wahyu Allah yang pertama kepada Rasulnya, Muhammad adalah ‘iqra”.yakni bermaksud baca, telaah dan kaji.

No comments: