09 May 2010

Kisah 15 – Solat jenazah dari Makkah

Menjadi kebiasaan, mereka yang lama menuntut di bumi Arab akan disanjung dan dianggap sebagai ustaz serta alim dalam urusan agama.

Namun dalam beberapa keadaan, tetap ada segelintir mereka ke sana bukan belajar namun bagi memulakan perniagaan. Kerana asyik dengan kesibukan perniagaan, mereka akhirnya lupa tujuan asal mereka ialah menuntut ilmu.

Setelah beberapa tahun.

“Nampaknya, sudah tiba masa untuk saya pulang ke tanah air,” getus Mahmud dalam hati.

“Bagaimana pula dengan perniagaan di sini?” termanggu seketika memikirkan hal tersebut, “Jual sahaja kepada Pak Arab dan mulakan perniagaan baru di kampung.”

Setelah berkira semasak-masak mungkin, keputusan dibuat. Dia akan kembali ke kampung jua. Bisnes dijual kepada salah seorang kenalan Arabnya.

Di kampung halaman Mahmud, sudah ada cakap-cakap tentang kepulangan Mahmud.

“Ustaz muda kita sudah pulang nampaknya,” kata Pak Samad.

“Ya, lama dia di Makkah. Seingat saya sudah lebih lima tahun rasanya,” jawab Pak Saleh pula.

“Baguslah, tuntut ilmu tidak mengapa lama-lama, sebab menutut ilmu adatnya ialah semakin banyak kita belajar semakin banyak yang kita tidak tahu,” Pak Imam yang turut bersama mereka bersuara.

Perbualan semakin rancak, Pak Samad pula berkata, “Nampaknya selepas ini ringan sikitlah tugas Pak Imam, jarang-jarang boleh minta ustaz muda kita tolong-tolongkan.”

Pak Imam senyum.

“Ya, semestinya. Kita perlu ada pelapis untuk meneruskan kesinambungan pengurusan masjid kita ini,” tingkah Pak Saleh pula.

Sekali lagi Pak Imam tersenyum.

Sebenarnya Pak Imam sudah punyai rancangannya yang tersendiri. Dia amat berminat untuk menjadikan Mahmud sebagai menantunya. Anak gadisnya yang sudah dewasa itu juga tiada halangan.

“Jika begitu, nanti ayah bincang dengan Mahmud sendiri. Benar kamu tidak kisah jika ayah jodohkan kamu dengannya?” tanya Pak Imam kepada Melati, anak dara suntinya itu.

Melati menjawab lembut, “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa, ayah. Saya yakin dengan pilihan ayah dan menganggapnya adalah pilihan Allah untuk diri saya.”

“Jika begitu baguslah, lega hati ayah. Bagimana pendapat awak?” Pak Imam bertanyakan isterinya pula.

“Saya pun setuju sahaja. Lagipun ustaz Mahmud itu baik budi bahasanya, lama pula belajar di Makkah.”

“Jika begitu kita segerakan sahaja perkahwinan ini. Seenarnya saya sudah bertanyakan tuan empunya diri dan dia bersetuju.”

Emak Melati dan Melati sendiri terkejut. Wajahnya merah merona, bingkas bangun masuk ke dalam bilik.

“Tidak sangka, saya akan berkahwin dengan seorang ustaz yang lama menuntut di Makkah. Semoga terbina sebuah keluarga yang dirahmati Allah.”

Segala persiapan diuruskan, perkahwinan antara ustaz Mahmud dan Melati dilangsungkan dengan serba sederhana.

“Bertuah Mak Jah, dapat menantu ustaz,” seloroh Mak Mah kepada ibu Melati, “Alhamdulillah, kira rezeki juga.”

“Lepas ini bolehlah ustaz Mahmud bantu-bantu Pak Imam di masjid ya, lagipun bacaan dan suara ustaz Mahmud sedap, maklumkan lama belajar di Makkah,” sambung Mak Mah lagi.

“Begitulah hendaknya. Lagipun suami saya bukannya sihat sangat sekarang ini, maklumlah bila sudah lewat usia 60-an.”

“Muda lagi, dapat diberi keizinan boleh sahaja ditambah seorang lagi...,” usik Mak Mah lagi.

“Ke situ pula awak....”

Tanpa disangka-sangka, Pak Imam telah menemui ajal setelah sebulan ustaz Mahmud dan Melati dikahwinkannya.

Ada yang berkata, “Patutlah Pak Imam mahu segerakan perkahwinan anaknya tempoh hari.”

“Paling kurang beliau pergi setelah urusannya selesai,” kata seorang pula.

“Ayuh, kiat ke rumah Pak Imam, sembahyang jenazah akan dijalankan sekejap lagi,” laung Pak Saleh yang kebetulah lalu di situ.

Mereka pun ramai-ramai pergi menziarahi dan menguruskan jenazah Pak Imam sebagai penghormatan yang terakhir. Kematian Pak Imam yang yang dikenali sebagai orang yang baik dan bermurah hati serta tidak sombong dan sentiasa ringan tulang itu memberikan kesan yang mendalam kepada penduduk kampung terutama jemaah masjid.

Kini jenazah Pak Imam sudah diletakkan di ruang tamu, sedia untuk disembahyangkan. Hampir semua orang kampung hadir.

Setelah semua sudah berada dalam saf. Masing-masing menunggu siapa yang akan menjadi imam solat jenazah, biasanya Pak Imamlah yang menjadi imam kepada solat jenazah penduduk kampung yang lainnya.

“Silakan, tuan bilal,” kata seorang penduduk.

“Rasanya kurang tepat jika saya yang imamkan. Apa kata ustaz Mahmud? Beliau adalah menantu kepada arwah. Lebih afdal.”

Tatkala itu, hati Ustaz Mahmud berdebar-debar. Dia sudah tidak ingat bagaimana caranya bagi sembahyang jenazah. Bila kali terakhir dia lakukannya pun tidak diingati.

Namun, atas desakan orang ramai dia terpaksa juga untuk menjadi imam solat jenazah arwah ayah mertuanya itu.

Setelah takbir, surah al-Fatihah dibaca sehingga habis, Ustaz Mahmud kemudian bertakbir seraya rukuk. Orang kampung terkejut lantas hanya memerhati sahaja ustaz Mahmud dengan kehairanan.

Sesudah habis empat rakaat. Ustaz Mahmud berpaling dan terkejut melihat orang ramai sedang memerhatikannya.

“Ustaz, setahu kami sembahyang jenazah hanya pelu empat takbir dua salam tanpa rukuk dan sujud. Kenapa ustaz sembahyang lain?”

Muka ustaz Mahmud merah padam. Dia akhirnya menjawab ringkas, “Tuan-tuan sekalian tidak mengapalah, saya tidak boleh, bukankah yang meninggal ini bapa mertua saya...”

Hadirin terkedu.
_________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: