17 May 2010

Ceritera Bermotivasi Seorang Penulis Best-seller

Seorang penulis best-seller didadatangi oleh pengurus bahagian pemasaran syarikat penerbitan karya-karyanya.

Si pengurus berkata, “Tahniah tuan, kerana telah menjadi salah seorang penulis yang membuktikan dunia penulisan adalah kerjaya yang berprestij.”

Sambil tersenyum dia menjawab, “Alhamdulillah, terima kasih kepada anda semua juga. Mana mungkin penulis seperti saya mampu berjaya tanpa pertolongan dan kerjasama daripada pihak tuan juga.”

“Tahukah tuan bahawa royalti tuan bagi tahun lepas sudah mencecah sehingga RM100 ribu lebih?”

Si penulis terkejut besar.

“Benarkah begitu, masyaAllah, tidak saya sangka. Terima kasih... terima kasih.”

“Nampaknya teori kami berjaya dan menjadi kenyataan.”

“Maksud tuan?”

“Sudah berapa buah buku tuan yang kami terbitkan?”

“Hampir tujuh buah.”

Si pengurus diam sejenak, mengatur bicara. “Sebenarnya enam buah buku tulisan tuan yang terdahulu amat perlahan jualannya. Kami menghadapi masalah dari segi kos dan hampir-hampir sahaja tidak mahu lagi menerbikan karya tuan. Lambakannya di dalam stor merisaukan kami.”

“Benarkah begitu, saya juga perasan. Sejak akhir-akhir ini sahaja buku-buku saya diterima baik oleh pembaca.”

“Ya, benar. Rezeki daripada Allah, buku ketujuh tuan telah menjadi fenomena dan sudah diulang cetak dalam masa sebulan. Ini secara tidak langsung menyebabkan pembaca yang sudah membaca buku ketujuh tuan kemudiannya mencari karya-karya lama tuan. Dan tahukah apa yang terjadi?”

“Tidak, khabarkanlah kepada saya?”

“Enam buku lama tuan juga sudah diulang cetak sekarang.”

“MasyaAllah, Alhamdulillah. Tetapi mengapa pihak tuan tidak memberitahu bahawa buku-buku terawal saya tidak boleh jual?”

“Kerana kami tahu, andai tuan diberitahu mengenai hal itu maka semangat tuan bagi berkarya akan luntur dan menyebabkan tidak akan mampu menyiapkan buku-buku seterusnya sehingga tertulisnya buku yang ketujuh itu, penulisan mungkin akan terhenti di situ sahaja. Ketekunan tuan menulis meyakinkan kami, dalam tempoh dua tahun tuan mampu siapkan tujuh buah buku. Ini adalah asset bagi kami.”

“MasyaAllah, tidak saya sangka begitu sekali pihak tuan mempercayai saya.”

“Kami membacanya dari sudut bisnes penerbitan, biasanya penulis yang mempunyai empat buah karya dan ke atas akan mendapat kedudukan yang selesa sebagai penulis, tambahan pula jika penulis itu sememangnya fokus dan dikenali dalam genre yang tertentu dan khusus. Ini memudahkan penulis tersebut dikenali dan dipromosi oleh kami.”

“Terima kasih, terima kasih kepada semua,” penulis tersebut rasa terharu dan sebak.

“Jika begitu, bila pula manuskrip baharu akan dihantar? Kami sangat memerlukannya sekarang,” kata si pengurus sambil tersenyum berseloroh.

“Ya, sejurus selepas tuan balik saya akan terus menulis...!”
____________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: