07 May 2010

Kisah 14 – Haji dan Lebai

Hidayah adalah hak Allah. Hanya Allah yang boleh memberikan hidayah kepada siapa sahaja yang dikehendakinya, namun kita sebagai manusia perlu sentiasa berusaha untuk nmendapatkannya.

Ada orang menyalahkan Allah kerana tidak memberikan hidayah kepadanya. Berubah atau tidak adalah pilihan kita sebagai manusia yang diberi akal oleh Allah. Hanya akal yang membezakan kita dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lainnya.

Allah berfirman dalam surah ar-Raadu, ayat 13 yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”

Di dalam sebuah rumah tinggal sebuah keluarga yang besar. Ianya terdiri daripada sepasang warga emas berserta anak perempuan dan menantu mereka serta tiga orang cucu. Sekilas pandang tiada yang kurang daripada keluarga besar ini. Makan, minum, tempat tinggal dan pakaian tidak pernah kurang walaupun tidak mewah.

Namun tinggal sebumbung dengan mentua punya cabarannya yang tersendiri. Walaupun sudah berkahwin dengan anak mereka, kita tetap orang luar dalam beberapa perkara. Ini amat memerlukan kebijaksaan komunikasi dan akhlak dalam menjamin kesejahteraan berterusan.

Suatu ketika, si bapa mertua berkata kepada isterinya, “Saya sudah tidak tahan, nampaknya menantu awak tidak ada ura-ura mahu bekerja walaupun sudah sekian lama menganggur.”

Isterinya hanya tersenyum, tiada kata yang terucap. Dia tahu jika dia bercakap lebih teruk marah suaminya nanti.

“Awak dengarkah apa yang saya cakapkan?” suaranya dikeraskan sedikit, mungkin terasa hati kerana isterinya tidak memberikan respon.

Akhirnya isterinya mengalah, setelah hampir 40 tahun hidup bersama, apa lagi yang dia tidak faham tentang suaminya itu.

Dia mula bersuara, “Tidak ada gunanya kita marah-marah di belakangnya, tidak memberikan apa-apa kesan pun. Dapat dosa mengumpat sahaja nanti.”

“Habis, apa yang patut kita lakukan? Saya buka apa, kasihan kepada anak kita dan cucu-cucu kita, sementara kita masih hidup bolehlah bergantung harap kepada kita, entah esok atau lusa bila kita sudah mati, apalah nasib mereka?”

“Kalau begitu, awak nasihatkanlah dia. Saya rasa kalau awak cakap elok-elok dia akan dengar.”

“Saya bukan apa, awak tahu bukan, kalau baran saya datang lain pula jadinya nanti. Itu yang saya buat tidak tahu sahaja.”

“Itulah masalah awak, hendak cakap elok-elok dengan anak menantu pun susah. Menantu kita itu, walaupun kurang suka bekerja tapi dia rajin ke masjid, tolong jaga-jagakan masjid, solat berjemaah, awak....”

“Awak menyebelahi siapa sekarang sebenarnya!?” jerkah orang tua itu pada isterinya.

Isterinya buat tidak endah. Dia mengangkat kain yang dilipat masuk ke dalam bilik. Tinggal orang tua itu menggerutu sendirian.

Sementara itu, di dalam bilik menantu dan anak mereka juga sedang berbicara. Apa yang menarik ialah, mereka sedang bincangkan tentang ayah mereka itu.

Si suami, menantu kepada orang tua tadi sedang berbicara kepada isterinya.

“Awak rasa ayah akan berubah?”

“Maksud awak?”

“Yalah, usia ayah awak sudah lanjut. Haji pun sudah, namun saya hairan kenapa dia masih culas dalam urusan solat?”

Isterinya amat mirip emak mertuanya. Tidak mahu membicarakan hal itu kerana ianya hanya mengundang pergaduhan antara mereka.

“Solat itu tiang agama, jika seseorang itu tidak bersolat runtuhlah imannya. Bagaimana jika ayah mati sebelum sempat bertaubat, walaupun dia seorang haji, itu tidak menjamin dia akan masuk ke syurga.”

“Abang, jika abang kasihankan ayah. Abang nasihatkanlah dia. Saya yakin jika abang cakap elok-elok padanya, lama-lama dia akan berubah dengan keizinan Allah.”

“Nanti apabila ada masa yang sesuai abang akan berbincang dengan ayah.”

Pada suatu petang, sewaktu si menantu pulang dari masjid selepas solat asar, dia melalui warung kopi yang terletak tidak jauh dari masjid. Dia perasan mertuanya ada di sana sedang mengatur letak buah-buah dam aji yang menjadi kegemarannya. Kebetulan pula tidak ada orang yang bermain dengannya. Si menantu berfikir inilah waktu yang sesuai.

Dia lantas pergi mendapatkan ayah mertuanya itu, “Seorang sahaja, ayah?” tanya si menantu selepas memberikan salam.

“Boleh saya main dengan ayah?” kata si menantu mahu mengambil hati ayah mertuanya itu.

“Betul, kamu ingin main dam aji bersama ayah?”

“Ya, apa salahnya.”

Si mertua berfikir di dalam hati, “Bagus juga, inilah masanya jika aku ingin berbincang dengannya mengenai kerja.”

“Kalau begitu, mulakanlah.”

Mereka pun bermain dengan tekun sekali.

Tiba-tiba si menantu membuat kesilapan sehinggakan perluang terbuka luas kepada ayah mertuanya.

“Kamu tidak menyesal?” gertak ayah mertuanya. Ada senyum sinis terukir di wajah.

“Ya.”

“Kalau begitu,” kata si mertua sambil tangannya mengangkat buah miliknya dan terus ‘naik aji’.

“Aji,” laung mertuanya kegirangan, “Teruklah kamu nanti.”

Si mertua ketawa terbahak-bahak.

Si menantu yang agak meluat dengan kata-kata mertuanya itu tiba-tiba berkata, “Kalau sudah naik haji banyak kalipun, jika tidak solat tiada gunanya juga.”

Si mertua terdengar, dia sedikit tersentak. Hatinya membara, “Cis!”

Permainan diteruskan, kini giliran si ayah pula membuat silap, si menantu boleh makan tiga buah berturut-turut dengan satu gerakan sahaja.

Sambil dia mengangkat buah dam aji, dia berkata, “Makan... makan... makan...”

Ayah mertuanya cekap menangkap peluang itu seraya berkata, “Kalau sudah tahu selera itu besar, makan mahu banyak, janganlah malas bekerja.”

Jantung si menantu berhenti berdengup sekejap.

Kini mereka seri!
________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: