27 April 2010

Kisah 9 – Saya tidak mabuk

Di dalam kuliah di sebuah universiti telah berlaku satu perbahasan tentang arak. Pensyarah pada ketika itu sedang berkuliah tentang subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Mata pelajaran terbabit wajib diambil oleh semua peringkat pelajar universiti. Maka apabilan pengajian berjalan, pelajar yang beragama selain daripada Islam juga wajib ikut serta.

“Arak adalah satu minuman yang diharamkan dalam Islam. Meminumnnya akan menyebabkan dosa dan jika tertangkap di sebuah negara Islam akan dihukum dengan sebatan.” Kata Ustaz Mahadi lantang.

Sambung beliau lagi, “Ini adalah suruhan Tuhan sepertimana yang termaktub dalam al-Quran. Kita sudah belajar sebelum ini bahawa al-Quran ialah sumber rujukan utama dalam Islam dan merupakan wahyu atau kata-kata Tuhan yang diturunkan kepada utusannya Nabi Muhammad SAW.”

Tiba-tiba Joseph mengangkat tangan ingin bertanyakan soalan.

“Silakan Joseph.”

“Ustaz, boleh saya tahu mengapakan Islam mengharamkan arak?” Joseph adalah pelajar Cina beragama Kristian.

“Ianya sangat jelas, bukankah arak itu memabukkan. Dan saya yakin kamu semua tahu apakah implikasinya kepada orang sekeliling jika seseorang itu mabuk.” Jawab Ustaz Mahadi berhemah.

“Kalau begitu, kenapa agama lain termasuk Kristian tidak mengharamkan arak juga?”

Perbahasan semakin mendalam.

“Joseph, awak punyai Bible?”

“Ada ustaz.”

“Jika begitu, awak balik dan tengok ungkapan ini dalamnya, ‘Wine is a mocker, strong drink is raging; and whosover is deceived thereby is not wise.’ Awak boleh rujuk Proverb, 20:1. Seterusnya saya terjumpa kata-kata ini: ‘And be not drunk with wine.’ Yang itu dalam Ephenesians, 5:18.”

Seisi kelas terpana, tidak menyangka ustaz Mahadi juga fasih mengenai bible.

Joseph diam seakan berpuas hati.

“Islam adalah agama yang memelihara kesejahteraan penganutnya dan masyarakat di sekelilingnya. Mabuk kerana meminum arak adalah suatu jenayah yang boleh menyebabkan kacau bilau dalam masyarakat. Lihat sahaja kes kemalangan yang mengakibatkan kematian mereka yang tidak berdosa kerana pemandunya yang mabuk. Kes rogol, zina, haruan makan anak, bunuh dan segala macam jenayah lagi yang berlaku akibat mabuk setelah meminum arak.”

“Jika mabuk kerana minum atau makan benda lain, ustaz. Contohnya pengambilan dadah secara haram?” Tanya Salmah pula.

“Ya, hukumnya tetap sama. Asalkan ianya memabukkan dan meletakkan manusia di bawah tahap kewarasan maka haramlah ia.” Jawab Ustaz Mahadi pula.

“Tapi ustaz, bukankah arak juga banyak kebaikannya? Kami sekeluarga menggunakan dalam masakan untuk mengenakkan makanan, di waktu sejuk kami gunakannya untuk menghangatkan badan dan ianya juga baik untuk kesihatan badan, contohnya ibu yang baharu lepas bersalin, sangat digalakkan meminum arak untuk kehangatan badan mereka selain mengeluarkan darah-darah kotor di dalam badan.”

Panjang sekali hujah Bala, pelajar India beragama Hindu.

“Dari sudut saintifik, ya, ada kebaikannya. Namun dalam Islam kita melihat antara kebaikan dan keburukan arak, yang mana lebih mendominasi. Ternyata jawapannya ialah keburukan arak adalah lebih banyak daripada kebaikan. Islam agama pencegahan, bukankah pencegahan lebih baik daripada merawat?”

“Bagaimana pula jika seseorang yang minum arak tapi tidak mabuk, saya punyai seorang kawan yang boleh meminum 10 botol arak tanpa mabuk!” Bala masih meneruskan hujahnya.

Tiba-tiba jam menunjukkan waktu sudah tamat.

Ustaz Mahadi masih menahan pelajarnya, untuk member penjelasan tentang arak.

“Baiklah Bala, saya minta awak balik hari ini cuba minum 10 botol air kosong dan esok saya hendak dengar keputusannya daripada awak?”

Bala mengangguk sambil tersenyum.

Kelas bubar.

Keesokannya kelas Titas kembali, Ustaz Mahadi mengambil tempat dan sedia melanjutkan perbincangan tentang arak.

“Baiklah, Bala…apakah keputusan yang awak dapati apabila cuba meminum 10 botol air kosong sekaligus?” Tanya Ustaz Mahadi kepada Bala.

“Mana mungkin ustaz, masuk botol keempat, perut saya sudah tidak dapat menampung lagi air yang mahu diminum.”

“Jadi, kamu semua faham maksud saya?”

Semua pelajar di dalam kelas hanya menggelengkan kepala.

“Apabila seseorang yang normal ingin meminum 10 botol air kosong namun gagal bagaimana seseorang yang dikatakan tidak mabuk mampu meminum 10 botol arak serentak! Hanya mereka yang mabuk sahaja dapat berbuta demikian. Maka adalah mustahil orang yang boleh meminum 10 botol arak secara serentak adalah mereka yang tidak mabuk.”

Akhirnya, baharulah seisi kelas faham analogi yang digunakan oleh ustaz mereka itu, sungguh berhikmah. Walaupun masih ada yang tidak berpuas hati, namun ramai daripada mereka paling kurang sudah tahu kenapa Islam mengharamkan arak!

Bagi orang Islam sendiri tidak menjadi masalah kerana arak adalah sejenis minuman yang jelas akan keharamannya sepertimana yang termaktub dalam al-Quran. Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 219 yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu tentang khamar] dan judi. Katakanlah: ‘Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.’ Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ‘Yang lebih dari keperluan.’ Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir.”

Khamar itu bermaksud segala jenis minuman yang memabukkan, tidak kira diminum banyak ataupun sedikit dan hukumnya tetap haram di sisi Allah dan syarak. Dan lagi Allah berfirman dalam surah al-Maiaidah ayat 90 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”

Dalam surah yang sama pada ayat yang seterusnya iaitu ayat yang ke 91, Allah sekali lagi mengulangi firmannya mengenai keburukan dan pengharaman arak: “Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).”

Begitu juga dalam surah an-Nahl ayat 67, Allah telah berfirman yang bermaksud: “Dan dari buah kurma dan anggur, kamu buat minimuman yang memabukkan dan rezki yang baik. Sesunggguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang memikirkan.”
___________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

5 comments:

ikhlaskahaku? said...

penjlasan yang amat jelas .. :P

anzur anuar said...

story yang best!

Zahiruddin Zabidi said...

Terima kasih,semoga bermanfaat kepada ummah,insya-Allah....

Unknown said...

Analogi yang sungguh menarik sekali ya!

Zahiruddin Zabidi said...

Terima kasih, semoga bermanfaat kepada semua...insya-Allah.