29 April 2010

Kisah 10 – Arak adalah untuk kebaikan

Malaysia sebuah negara yang indah permai dan unik. Kapasiti penduduknya yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama sentiasa menjadi subjek pemerhatian masyarakat antarabangsa. Mereka hairan, bagaimana Malaysia boleh mengamalkan perkongsian ini dan mengatasi masalah-masalah yang berkaitan dengan sentimen ras dan agama dengan agak berjaya.
Itulah keunikan Malaysia.

Ada yang lebih unik, cerita yang terjadi antara seorang pelancong yang berasal dari Afrika Selatan dan seorang rakyat Malaysia.

Pemuda yang bernama Akil itu adalah tuan punya sebuah kedai barangan ala-ala askar di Bukit Bintang, memang menjadi kebiasaan kedainya dikunjungi oleh palancong-pelancong asiong dari luar negara. Sebut sahaja dari mana?

Semuanya ada.

Pada suatu hari kedainya dikunjungi oleh seorang pelancong. Setelah berbasa-basi, pelancong itu kemudian menceritakan kisahnya yang kehilangan beg duit dan pakaiannya malah telah ketinggalan penerbangan pulang ke Afrika Selatan.

“Pesawat seterusnya adalah seminggu dari sekarang?” Tanya Akil kepad Dawg, pelancong muda tersebut.

“Ya, nasih baik saya dapat menghubungi keluarga melalui internet dan mereka telah uruskan tiket dan wang saya.”

“Jadi kamu terpaksa berada di Kuala Lumpur untuk seminggu ini?”

“Begitulah nampaknya. Sekarang sudah 3 hari, tinggal 4 hari lagi, saya benar-benar buntu mahu ke mana lagi.” Kata Dawg bagaikan meluahkan perasaannya.

“Jika begitu, kamu adalah tetamu saya. Datanglah ke kedai saya bila-bila masa yang kamu suka.”

“Saya amat menghargainya.”

“Jemputlah datang malam ini, boleh kita makan dan lepak bersama-sama di kedai mamak hujung sana.”

“Baik sungguh hati kamu. Bailah, saya akan datang nanti.”

Pada malam itu mereka duduk dan lepak bersama di kedai mamak di hujung selekoh berdekatan dekat Low Yat.

Pada mulanya mereka hanya bersembang tentang hal peribadi dan negara masing-masing, Akil banyak bertanyakan tentang Afrika Selatan, manakala Dawg pula bertanyakan tentang budaya Malaysia.

Tiba-tiba Dawg bertanya kepada Akil.

“Kamu orang Melayu bukan?”

“Ya.”

“Maka kamu adalah seorang muslim.”

“Ya.”

“Adakah seorang Melayu mesti menjadi seorang muslim?”

“Secara teknikalnya di Malaysia, ya. Anak kepada ibu bapa Melayu Islam akan menjadi Islam secara automatik.”

Dawg diam seketika seakan memikirkan sesuatu.

“Dalam Islam, arak diharamkan bukan?”

“Sudah tentu, saya tidak pernah minum arak walaupun di sini penuh dengan pub dan kelab malam serta disko yang menghidangkan arak.”

“Tapi....”

Akil mengangguk meminta Dawg menyudahkan bicaranya.

“Tapi saya lihat orang Melayu yang ramai di sana, kalau kamu kata bahawa orang Melayu adalah orang Islam, maka mereka sedang melakukan dosa.”

“Benar sekali, bahkan dosa meminum arak termasuk dalam kategori dosa besar. Mereka sebenarnya orang Islam yang tidak mengikuti ajaran Islam yang sebenar, mereka hanya Islam pada nama sahaja.”

Akil terus menyambung bicaranya dengan mempersoal Dawg kembali.

“Bagaimana kamu? Adakah agama kamu membenarkan arak untuk diminum?”

“Saya minum ketika perlu sahaja, untuk kesihatan. Kalau mengikut suruhan agama kami sebenar-benarnya memang juga mengharamkan arak. Dan saya tidak faham kenapa agama-agama yang ada di dunia mengharamkan arak sedangkan ianya amat bermanfaat kepada manusia dari sudut kesihatan. Sains sudah membuktikannya.”

Akil pula yang tepana seketika. Memikirkan jawapan yang paling bagus dan tepat untuk menyangkal teman baharunya itu. Dalam masa yang sama, mahu menegakkan kebenaran Islam itu sendiri.

“Saya setuju dengan pendapat kamu, arak sememangnya punyai beberapa kebaikan. Namun jika dibandingkan dengan keburukannya, ternyata keburukan arak adalah lebih banyak daripada kebaikannya. Kalau ikut kaedah majoriti”

Akil tersenyum, hatinya terus memohon petunjuk dari Allah.

“Benar juga. Maknanya jika siapa yang dapat mengehadkan peminuman arak dan bertujuan untuk kebaikan sahaja, maka sepatutnya ia dihalalkan.”

Dawg tersenyum seakan kesimpulan mengikut perkiraannya sendiri itu adalah yang terbaik.

Akil tidak berputus asa. Dia terus menujahkan soalan, dengan lembut, demi sebuah ketegasan.

“Kamu agak apakah sebab utama agama-agama di dunia ini terutamanya Islam mengharamkan arak?”

“Kerana ia memabukkan?”

“Benar, tapi yang lebih tepat adalah kerana arak menghilangkan fungsi akal fikiran manusia. Apabila fungsi akal sudah hilang walaupun sementara, manusia hanya bagaikan binatang. Sebenarnya bukan sahaja arak, apa sahaja yang memabukkan.”

“Itulah sebabnya saya kata, kita boleh minum, Cuma hadkannya.”

“Baiklah, berapa orang yang kamu kenal minum arak secara suka-suka pada peringkat awalnya dan tidak jadi peminum tegar? Jika tidak jadi peminum tegar pun tidak pernah mereka mabuk walau sekali sepanjang diri mereka menjadi peminum arak?”

Belumpun sempat Dawg menjawab Akil memanah lagi dari busur soalan padanya.

“Bagaimana kamu? Adakah kamu tidak pernah mabuk sepanjang kamu menjadi peminum arak?”

Lambat sahaja Dawg membalas, ada bayangan serba salah di wajahnya. Soalan tersebut terkena padanya.

“Pernah, yang benar-benar mabuk hanya sekali sahaja. Lepas itu tidak pernah lagi, saya hanya minum apabila mahu menghangatkan badan sahaja.”

Tiba-tiba pula Akil mendapat ilham, dari mana entah. Terpancul dari mulutnya.

“Maafkan saya sahabat, boleh saya bertanya?”

“Silakan....”

“Apakah agamamu membenarkan seks bebas atau seks tanpa ikatan perkahwinan? Maksud saya di dalam kitab agama kamu tidak melarang perbuatan itu?”

“Tentu sekali perbuatan itu adalah salah, agama kami secara jelas dalam kitabnya melarang penganutnya daripada bersekedudukan tanpa perkahwinan yang sah, jika tidak mereka yang melakukannya adalah berdosa besar.”

“Jika begitu...bilakah kali pertama kamu melakukan hubungan seks?”

Tanpa berlapik Dawg menjawab dengan jelas dan terang.

“Pada waktu saya mula-mula mabuk....”

Dawg tiba-tiba terdiam, dia sedar yang dirinya sudah terperangkap.

“Jadi tidak salah jika saya katakana araklah yang menyebabkan kamu mengerjakan dosa besar yang juga dilarang oleh agama kamu, ianya terjadi kerana kamu di luar kawalan diri akibat mabuk setelah meminum arak!”

Dawg hanya tersenyum kelat.
_________________________________________

Zahiruddin Zabidi
htttp://kalamkhalifah.blogspot.com/

1 comment:

Rafi Harumin said...

Subhanallah... Akhi.. saya naik semangat baca crita ini..