23 April 2010

Kisah 7 – Apabila kamu terlupa

Lupa itu sifat azali manusia. Perkataan insan sendiri berasal daripada perkataan ‘nasaya’ yang bermaksud lupa. Itu adalah hakikat kejadian manusia yang penuh dengan khilaf.

Nabi Adam sendiri sewaktu berada di dalam syurga bersama Siti Hawa terlupa bahawa Allah telah melarang mereka untuk mendekati pohon buah khuldi. Namun kerana termakan dengan hasutan Iblis laknatullah, mereka akhirnya terlupa dengan larangan Allah.

Pada suatu ketika, ada seorang pemuda yang baik. Patuh kepada perintah Allah dan meninggalkan segala yang dilarangNya. Kerjanya hanya memungut kayu-kayan di hutan untuk dijual sebagai kayu api.

Pada hari itu seperti biasa dia masuk ke hutan untuk mencari dan meungut kayu api untuk dijual di pasar. Apabila sudah cukup muatannya, dia sudah ingin pulang. Ketika langkah melaju melalui sebuah tunggul kayu, dia perasan ada kilauan yang sangat terang terpancar dari situ.

“Masya-Allah, dari manakah puncanya kilauan ini?” Bisik hatinya. Masih ada ragu-ragu, “Kalau hendak dikatakan kilauan dari mata binatang buas, bukan, ini waktu siang dan bukannya malam.”

Setelah berkira-kira, “Aku mesti memberanikan diriku!” Katanya di dalam hati.

Dia lantas mendekati tunggul itu dan mencari punca kilauan yang dia perasan tadi, rupanya di pangkal tunggul itu ada sebuah lubang yang sederhana besar, semuat batang tubuh manusia kurus sahaja.

“Apakah aku akan masuk ke lubang ini?” Ada risau di dalam hati pemuda itu.

Sekali lagi dirinya berkira-kira, rupa anak dan isterinya terbayang-bayang di depan mata. “Jika aku masuk dan diriku ditimpa kecelakaan, bagaimanakah nasib mereka semua agaknya?”

Lama menghitung, sekali lagi keputusan nekad dibuat. Pemuda itu masuk ke dalam lubang tersebut.

Setelah masuk ke dalam lubang terbabit, dia sangat terkejut dan bersyukur kerana di dalam lubang itu terdapat sejumlah harta karun yang terdiri daripada syiling-syiling emas. Baharulah dia tahu apakah punca kilauan yang memancar sebentar tadi.

“Aku tidak akan berdaya memikul harta-harta ini berseorangan. Bantuan daripada kenderaan juga akan diperlukan. Jika begitu, aku tinggalkan dan sorokkan terlebih dahulu harta-harta ini dan kemudian kembali semula untuk mengambilnya.”

Dia lantas kembali ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Isterinya kehairanan.

“Awal balik hari ini?”

“Tidak, saya tidak ke pasar.”

“Kenapa? Bagaimana kita hendak dapat duit untuk belanja hari ini? Dapur kita perlu diasapkan, anak-anak perlu diberi makan.” Isterinya mula susah hati melihat gelagat suaminya, tidak pernah semenjak kahwin, suaminya buat perangai begitu.

Pemuda tersebut mendapatkan isterinya dan berkata, “Kamu percaya kepadaku?”

“Sudah pasti, bukankah atas dasar itu kita berkahwin?”

“Bagus jika begitu.”

Dia kemudian menceritakan peristiwa terjumpa dengan harta karun di tunggul pokok. Isterinya sangat teruja. Mereka berdua segera ke sana untuk mendapatkan harta tersebut. Tanpa disangka-sangka, si pemuda tadi sudah terlupa di manakah letaknya harta yang sudah disorokkan itu.

“Masya-Allah, saya sudah terlupa di manakah saya sorokkan harta karun itu,” kata si pemuda kepada isterinya.

“Mana mungkin, benda yang begitu berharga pun kamu boleh lupa di mana letaknya?”

“Daripada terus bercakap, baik kita terus mencari.”

Mereka mencari sehingga beberapa jam, namun tidak ditemui juga.

“Nampaknya harapan kita semakin tipis jika begini keadaannya,” isterinya mula merungut.

“Saya yakin harta karun itu masih ada, cuma saya yang lupa tempat simpanannya.”

“Apa kata kita minta bantuan daripada tuan guru di hujung kampung.” Isterinya member cadangan.

“Bagus juga cadanganmu itu, mungkin kita boleh meminta pertolongannya untuk mencari di mana harta itu berada.”

“Jika begitu, ayuh kita kesana.”

Mereka berdua pun terus ke rumah tuan guru di hujung kampung, tuan guru itu memang terkenal dengan kealiman dan keilmuannya.

Sampai di rumah tuan guru tersebut, dia meminta izin untuk masuk. Setelah duduk mengadap tuan guru tersebut mereka berdua menyampaikan hajat dan tujuan mereka.

“Tuan guru, kami berdua datang kerana ingin meminta pertolongan daripada tuan guru.” Pemuda itu mula bersuara.

“Khabarkanlah, jika diizinkan Allah, aku akan mampu membantu kalian.” Kata tuan guru itu merendah diri. Terpancar daripada wajahnya nur hikmah yang sangat jernih.

“Kisahnya begini, saya telah menjumpai sejumlah harta karun sewaktu pulang daripada mengutip kayu api di hutan, setelah meyakini bahawa harta itu tiada yang punya. Saya telah mengambilnya dan menyorokkannya di satu tempat yang lebih selamat. Namun apabila saya dan isteri saya kembali untuk mengambil harta tersebut, sehingga kini kami masih lagi tidak menjumpainya. Pada firasat kami, tuan gurulah yang dapat membantu kami.”

Tuan guru itu diam sejenak, bertafakur mungkin. Lama juga dia membantukan diri.

“Pertamanya….” Dia mula bersuara. “Bukan saya yang dapat membantu kamu, hanya Allah. Saya hanya boleh memberikan caranya, selebihnya terserah kepada kamu.”

“Baiklah tuan guru, kami faham.” Kata pasangan mengangguk-angguk.

“Kamu berdua balik dan kerjakan solat sunat kala dinihari (tahajud), dengan izin Allah yakinlah kamu akan ingat kembali di mana letaknya harta karun yang kamu sorokkan itu.”

Mereka berdua kembali dengan hati yang penuh dengan pengharapan. Pada malam itu, mereka tidur awal sepertimana yang dipesan oleh tuan guru. Tepat pukul 3 pagi mereka berdua sudah bangun untuk menunaikan solat tahajud.

Tiba-tiba, belumpun keduanya menghabiskan rakaat kedua solat tahajud mereka itu. Si pemuda sudah dapat mengingati dengan jelas di mana dia meletakkan harta karun yang dijumpainya beberapa hari lalu.

Keesokannya setelah mendapatkan harta tersebut, dia bersegera menuju ke rumah tuan guru yang alim untuk mengucapkan terima kasih.

“Syukur kepada Tuhan tuan guru, dengan tunjuk ajar daripada tuan guru kami sudah menjumpai harta tersebut. Kami juga ingin berterima kasih kepada tuan guru. Terimalah sedikit hadiah daripada kami.”

“Harta ini kamu sedekahkanlah kepada orang yang memerlukan, kerana saya bukan dari kalangan orang-orang yang memerlukan wang atau harta tersebut.”

Pasangan muda itu akur dengn kehendak tuan guru, si suami kemudian bertanya kembali, “Boleh saya tanyakan satu perkara, tuan guru?”

“Silakan.”

“Bagaimana tuan guru pasti bahawa saya akan mengingati tempat penyimpanan harta itu hanya dengan menunaikan solat?”

“Sesungguhnya aku mengetahui bahawa syaitan dan iblis akan menganggu kamu dengan mengingatkan kepada kamu kepada perkara yang kamu lupa dalam solat agar kamu lupa tentang urusan solatmu.”

Baharulah pasangan muda tersebut faham, bahkan mereka juga teringat bahawa tatkala si suami sudah mengingati di manakah letaknya harta yang disoroknya, hampir sahaja dia tidak dapat meneruskan solat mereka.

Tambah tuan guru lagi, “Maka jika kamu lupa, maka ingatlah kepada Allah dengan berzikir kepadaNya. Nescaya dia lebih mengetahui apa yang nyata dan apa yang tersembunyi.”

Pasangan muda itu akhirnya mendapat pengajaran yang sangat bermakna, mereka lantas mnejadi orang kaya yang soleh dan taat kepada suruhan agama.
__________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: