25 April 2010

Kisah 8 – Apa pendapatmu tentang poligami

Walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, namun ianya bukan suatu amalan yang digalakkan. Ianya hanya sebagai saranan bagi menyelesaikan salah satu masalah sosial. Hanya mereka yang benar-benar mampu memenuhi syarat yang ditetapkan sahaja yang layak untuk berpoligami.

Dalam surah an-Nisa, ayat yang ke-3, Allah berfirman yang bermaksud, “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”

Berlaku adil ialah perlakuan yang adil dalam meladeni isteri seperti pakaian, tempat, giliran dan lain-lain yang bersifat lahiriyah. Islam memperbolehkan poligami dengan syarat-syarat tertentu. Sebelum turun ayat ini poligami sudah ada, dan pernah pula dijalankan oleh para Nabi sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Ayat ini membatasi poligami sampai empat orang sahaja.

Menjadi kebiasaan kepada muda-mudi yang akan mendirikan rumah tangga akan mempersoalkan tentang keihklasan pasangan masing-masing. Soalan poligami akan menjadi soalan cepumas pihak perempuan kepada pihak lelaki.

Ada satu pasangan yang dijodohkan oleh keluarga masing-masing, kedua mereka adalah kelulusan agama daripada luar negara. Keduanya bersikap terbuka dan menerima jodoh daripada keluarga mereka sebagai takdir daripada Allah ta’ala.

Pada suatu hari, Amir menerima satu emel daripada Sufiah. Pada awalnya dia tidak dapat mengecam siapa yang menghantarkan emel kepadanya.

Assalamualaikum,

Kehadapan Ustaz Amir, semoga berada dalam lindungan dan rahmat Allah ta’ala sentiasa.

Saya adalah Sufiah binti Ahmad, tunangan Ustaz Amir. Kini sedang belajar di UIAM, kuliyyah Ilmu Wahyu.

Tidak banyak yang saya mahu bicarakan di sini, sekadar sebagai mukadimah perhubungan kita yang bakal berakhir dengan lafaz akad yang sah pada tarikh yang ditetapkan. Walaubagaimanapun, ana rasa kita perlu juga berbincang berkenaan dengan hal-hal yang melibatkan kita bersama.

Saya tahu bahawa Ustaz sekarang sedang di tahun akhir Kuliyyah Usuluddin, Universiti Yarmouk, Jordan. Saya ingin utarakan beberapa persoalan seputar hal munakahat.

Untuk kali ini, bolehkah Ustaz berikan pendapat ustaz tentang poligami? Ana jelas bahawa agama Islam membenarkan poligami, bahkan ianya merupakan sunnah nabi Muhammad SAW.

Cuma, sebagai seorang wanita yang bakal menyerahkan seluruh kehidupannya kepada seorang lelaki atas nama syarak, ana rasa perlu untuk ana mendapatkan pendapat ustaz dalam hal ini.

Salam kejauhan dari saya,

Sufiah.

“Allahuakbar!”

Kuat sekali lafaz takbir itu bergema. Kesemua sahabat yang serumah dengan Amir terkejut. Mereka semua datang mendapatkan Amir.

“Apa yang berlaku syeikh?” Tanya Fathi.

Amir hanya diam.

“Ceritalah syeikh, mana tahu kami boleh bantu. Ini gunakan saudara dalam Islam.” Mahmud cuba memujuk.

Amir masih diam.

“Kalau begitu, kamu tidak payah berkawan dengan kami lagi.” Fathi seakan mahu merajuk. Kelihatan benar-benar mahu merajuk sambil mencuit lengan Mahmud, mengisyaratkan untuk keluar dari bilik Amir.

“Baiklah, baiklah....”

Amir akhirnya mengalah.

“Ana ada terima satu emel tadi….” Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya. Fathi sudah menyampuk.

“Dari tunang anta?”

“Mana anta tahu?”

“Tengok muka anta pun kami berdua sudah tahu apa masalahnya. Bukan kami tidak tahu anta ini jenis penakut dengan perempuan, kalau berkuliah dan bersyarah bukan main, kalau hendak bercakap dengan pelajar perempuan, bagai hendak gugur langit jadinya.”

Fathi dengan Mahmud seraya ketawa, berdekah-dekah.

Mahmud kemudian cuba meredakan keadaan setelah melihat wajah Amir benar-benar mencuka. “Fathi, sudahlah. Kita dengar masalah sahabat kita sampai habis dahulu, kalau tidak macamana kita ingin menolongnya, bukan?”

Fathi mengangguk.

“Tunang ana tanyakan pendapat ana mengenai poligami.”

“Apa?” Hampir serentak Mahmud dan Fathi bersuara.

“Untuk apa?” Tanya Mahmud pula.

“Mana ana tahu. Kalau ana tahu tidak payah ana susah hati begini.”

“Anta kena jawab dengan hikmah dan bukannya emosi.” Tingkah Fathi pula.

“Kalau begitu, antuma ada cadangan? Jawapan yang paling tepat untuk menjawab persoalan itu. Semestinya jawapan tersebut tidak boleh mengeruhkan perhubungan ana dengan bakal zaujah ana itu.”

Ketiga-tiga sahabat itu berbincang sehingga lewat malam untuk mencari jawapan yang paling tuntas terhadap persoalan yang diajukan kepada Amir.

Akhirnya, kata sepakat dicapai.

Emel balas diutuskan.

Wa’alaikumussalam warahmatullah,

Kehadapan ukhti Sufiah, semoga berada dalam lindungan dan kerahmatan Allah jua.

Ana sebenarnya sudah maklum mengenai pertunangan kita. Atas dasar percaya bahawa ketetapan dari ibu bapa merupakan anugerah daripada Allah dan keredhaan Allah juga adalah keredhaan ibu bapa, ana terima sahaja perngaturan jodoh ana oleh mereka. Tanpa disangka anti adalah orangnya.

Walauapapun, pertunangan bukanlah hubungan sah yang menghalalkan yang haram, ianya hanya sebagai tanda agar nanti bunga di taman itu tidak dirisik orang lagi buat sementara waktu. Namun tidak bermaksud ikatan itu tidak boleh terlerai jika salah seorang merasakan ia perlu terlerai, ana harap anti faham maksud ana.

Sekali lagi ana tegaskan bahawa, ana amat yakin dengan jodoh yang bertemu atas asbab daripada ibu bapa kita sendiri, tidak pula ana tahu bagaimana pendapat anti.

Dan mengenai poligami pula, ana tahu anti juga tahu hakikat berpoligami dalam Islam, ianya bukan satu galakan namun hanya sekadar sebagai satu pilihan bagi yang mampu dan memenuhi syaratnya terlebih dahulu.

Pelaksanaannya adalah dihalalkan oleh syarak (merujuk kepada ayat 3 surah an-Nisa) dan mengatakan bahawa ia tidak patut wujud ataupun tidak adil bermakna kita kufur kepada Allah.

Dari sudut pandangan ana, untuk berpoligami ana minta berlindung daripadanya kerana ana yakin tidak mampu untuk berlaku adil kepada isteri-isteri. Ana tidak mahu dibangkitkan dalam keadaan senget sebelah badan akibat tidak dapat berlaku adil pada isteri-isteri. Dalam masa yang sama, untuk berjanji bahawa ana tidak akan berpoligami juga ana tidak mampu kerana masa depan bukan ketentuan kita.

Jika ana berjanji pada anti sekarang bahawa ana tidak akan berpoligami selepas kita berkahwin dan tiba-tiba ianya terjadi, bermakna ana akan berhadapan dengan dua dosa.

Yang pertama, dosa tidak dapat berlaku adil. Yang kedua, dosa berbohong pada kata-kata janji untuk tidak berpoligami.

Itu sahaja jawapan yang dapat ana kongsikan dengan anti, selebihnya terpulang pada penilaian anti.
Sampai jumpa lagi, jagalah diri sepertimana Allah berkehendakkan kita menjaga diri kita.

Wassalam warahmatullah.

Yang benar,

Amir.
___________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

3 comments:

Rafi Harumin said...

Assalamu'alaikum...

kisah benar enta kah ini ya ustaz?

Zahiruddin Zabidi said...

Wa'alaimussalam akhi Ashrafi.

Mungkin juga =).

Zahiruddin Zabidi

Rafi Harumin said...

faham... :)