Tajuk : Srikandi Islam - Rabiatul Adawiyah
Genre : Novel sejarah Islam
Penerbit : PTS Litera, PTS Publication & Distribution
Tahun : Mac 2010
Penulis : Zahiruddin Zabidi
___________________________________________________
Sedari memang saya minat menulis dari dahulu lagi, namun masih kabur apakah yang mahu ditulis. Dalam kerabaan tercari-cari landasan untuk menuju ke arah itu, saya berusaha untuk mencari di manakah titik mula. Setelah datang kembali bekerja di Kuala Lumpur pada bulan Januari 2008, saya mula mengatur langkah.
Antara yang saya lakukan ialah, sentiasa melawat rangkaian kedai-kedai buku besar seperti MPH, Popular dan beberapa rangkaian kedai Islami seperti Sarjana Media di Carefour Wangsa Maju. Pertama kerana ingin membeli buku yang saya peruntukkan jumlah RM yang tertentu setiap bulan dari gaji. Keduanya untuk membaca aliran pasaran semasa, menganalisis dan membuat pemerhatian jenis buku yang menjadi bahan bacaan evergreen pilihan pembaca.
Internet pula menjadi medan mencari maklumat, jika ada kursus latihan yang menawarkan kursus-kursus penulisan. Saya terserempak dengan ‘Kursus Penulisan Buku Best-Seller’ anjuran Tuan Fauzul Naim Ishak, walaupun bayaran yang dikenakan agak tinggi namun saya bertekad untuk menghadiri kursus tersebut. Semangat untuk menjadi penulis dan melihat nama sendiri tercetak di hadapan naskah buku menjadi dorongan. Namun saya tiada jodoh dengan kursus tersebut walaupun hanya dilangsungkan di sekitar ibu kota sahaja.
Saya teruskan membaca, dan cuba membaca sebanyak mungkin. Kemudian saya mula berblog secara suka-suka. Salah satu wadah untuk saya menulis dan memaparkan kepada sesiapa sahaja yang ingin membaca tulisan saya. Peringkat awalnya, saya hanya menulis esei dalam apa jua cabang yang saya rasa patut, tidak kurang juga puisi dan sajak yang dikarang saban hari. Takdir menemukan saya dengan www.iluvislam.com sebuah laman web interaksi Islamik yang sangat kreatif dan efektif, kebanyakan pengunjung laman web tersebut ialah remaja atau mahasiswa. Malah dinyatakan di situ bahawa mereka mempersilakan sesiapa yang ingin menyumbang artikel untuk disiarkan.
Saya tidak melepaskan peluang lantas menghantar salah satu esei yang saya tulis bertajuk ‘Jodoh’, tanpa disangka artikel itu mendapat hit yang agak memberangsangkan dan sehingga kini setelah setahun berlalu hitnya telah mencapai hampir 25 ribu klik. Kemudian saya telah memohon utuk menjadi krew iluvislam dan diterima, setelah berjumpa dan berbincang dengan presiden laman web tersebut, saya dilantik sebagai penasihat mereka (setelah rombakan semula carta organisasi dan jawatan penasihat dimansuhkan, saya memohon untuk berehat dan hanya menjadi ahli biasa bagi mengfokus kepada bidang penulisan). Alhamdulillah, salah satu perkongsian dan cabang dakwah yang berkesinambungan. Saya juga mula menjadi pembaca tetap saifulislam.com, zaharuddin.net, drmaza.com dan banyak lagi blog-blog yang memberi maklumat yang pelbagai itu.
Di awal tahun 2009 secara tidak sengaja saya terjumpa dengan laman web universitipts.com kelolaan Puan Ainon bt Abdullah yang juga pengerusi eksekutif syarikat penerbitan ulung bumiputra berpengkalan di Batu Caves, PTS Publication & Distribution Sdn. Bhd. Web itu menjadi santapan wajib saya saban hari, ini adalah kerana semua pengisiannya berkisarkan perihal buku. Penerbitan, pengkaryaan, hak milik, harta intelek, dan yang paling menarik adalah penyediaan bengkel untuk bakal penulis PTS secara percuma. Kursus juga diadakan berdekatan dengan rumah saya dan saya berazam untuk tidak melepaskan peluang tersebut.
Alhamdulillah, akhirnya saya menghadiri bengkel tersebut lewat Oktober dan November tahun sudah. Dari bengkel Teknik Penulisan Surah Yusuf, KJ Method dan Adaptasi, terjemahan dan Bahasa Melayu tinggi semuanya sudah saya khatamkan. Sebenarnya dalam diam hati saya mula jatuh cinta dengan teknik Penulisan Surah Yusuf dan kagum dengan novelis sejarah Islam tunggal PTS iaitu Abdul Latip Talib atau Pak Latip. Setelah berkira-kira saya mengambil keputusan untuk menulis dalam genre yang sama namun dengan fokus yang berbeza.
Sebenarnya lapangan sastera tidak asing dari saya sekalipun tidak pernah belajar secara rasmi cara untuk bersastera. Alhamdulillah, Allah kurniakan saya sedikit kebolehan untuk bermain dengan bahasa dan kata-kata, pernah ketika berlangsungnya satu program semasa masih menuntut di Pusat Matrikulasi UIA Petaling Jaya, di akhir program setiap kumpulan perlu membuat perbentangan. Sehingga giliran kumpulan kami, selesai sahaja perbentangan utama saya memohon kepada penyelaras program untuk membuat sedikit penambahan, kami akan membaca sajak.
Permintaan saya disambut baik, saya sudah merancang dan meminta kepada dua lagi ahli kumpulan saya untuk sama mengalunkan sajak ciptaan saya sendiri. Sajak pertama dibaca ahli kumpulan yang juga seorang siswi, gayanya agak gopoh. Usai sahaja bacaan siswi itu kawan saya terus menyambung untuk sajak kedua. Tidak tahu apakah sebabnya, samada para pendengar terpegun dengan bait-bait sajak yang dibaca atau terkesan dengan intonasi dan penghayatan hasil daripada bacaan sahabat saya sehingga seluruh dewan seakan terkesima dan terpana untuk sejenak. Saya sendiri tidak mengjangkakan reaksi yang sebegitu rupa dari para peserta. Sahabat saya itu mendeklamasi sajak bertajuk ‘Dosa Ilmuku’.
Dan akhirnya, tiba giliran saya. Saya gagal memberi penghayatan kerana berasa agak janggal membaca sajak sendiri, ada rasa malu di situ dan hampir sahaja saya tergelak. Selesai sahaja upacara itu kami bertiga menerima tepukan yang begitu gemuruh lantas diajukan soalan yang bertalu-talu. Ada yang bertanya dari mana sajak ini diambil, ada yang mahukan salinannya dan macam-macam. Setelah mereka tahu sajak tersebut adalah nukilan saya, maka ramailah yang datang berjumpa ingin berkawan, minta alamat emel, minta no telefon dan tidak kurang juga yang beriinteraksi melalui Friendster, semua perbincangan berkisarkan sajak dan puisi. Bahkan buku catatan sajak-sajak itu akhirnya hilang begitu sahaja setelah dipinjam oleh seorang siswi. Begitu juga sajak-sajak tersebut yang kini hilang dalam kenangan itu.
Tidak cukup di situ, setelah peristiwa tersebut saya perasan jika saya hadir ke pejabat HEP maka ada sahaja staf dan pensyarah yang menegur saya, mereka bertanya sesama mereka adakah ini pelajar yang mencipta sajak-sajak tempoh hari. Saya hairan bagaimana mereka tahu sedangkan mereka tidak terlibat sekalipun dalam program tersebut. Baharu saya ingat bahawa setiap detik dalam program itu telah direkod dengan kamera video bagi tujuan laporan dan hampir kesemua mereka telah menyaksikan episod bacaan sajak tersebut. Saya juga diminta untuk menyalinkan sajak-sajak itu untuk simpanan pihak pentadbiran. Baharu saya sedar, sastera sangat memberi kesan kepada manusia. Maka terjawablah bagaimana Umar al-Khattab yang sangat memusuhi Islam akhirnya dilembutkan hatinya yang mendapat hidayah daripada Allah ta’ala setelah mendengar bait-bait surah Thoo Haa yang dibacakan oleh adiknya.
Menghantar proposal
Uniknya di PTS, sesiapa yang ingin menjadi penulis bersama mereka harus mengajukan terlebih dahulu kertas cadangan (proposal) penulisan yang bakal dihasilkan. Setelah idea yang dilakarkan dalam kertas cadangan itu dinilai oleh pihak editor PTS dan dirasakan relevan, persetujuan akan diberikan dan penulis boleh mula menulis. Tujuannya cukup mudah, PTS adalah syarikat penerbitan yang mempunyai piaiwaian tersendiri yang mesti diikuti, makanya penulis yang cara penulisannya tidak menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dan cerita yang tidak berorientasikan Syariah akan ditolak.
Setelah mengikuti hampir kesemua bengkel gratis yang dianjurkan PTS kelolaan Puan Ainon Abdullah selaku penegerusi eksekutif PTS. Setelah itu saya memberanikan diri untuk menghantar dua proposal kepada pihak editor PTS. Saya datang terus ke pejabat mereka di Melawati pada waktu itu dan berjumpa dengan editor yang terlibat. Alhamdulillah, proposal novel sejarah Islam yang saya lampirkan bersama dua bab contoh mendapat respon positif hanya selang beberapa hari kemudian. Bukan kepalang gembiranya saya, manakala proposal penulisan Islam berkenaan persoalan dan jawapan terhadap orang bukan Islam tidak berjaya menarik perhatian editor PTS Islamika. Saya berlapang dada, satu diterima dan satu ditolak tidak mengapa. Lebih baik dari kedua-duanya ditolak. Kemudian saya majukan proposal penulisan agama tersebut kepada Galeri Ilmu Sdn Bhd dan alhamdulillah mereka berminat untuk menerbitkannya, namun hingga kini ianya masih tergendala dan tidak mampu diteruskan kerana halangan-halangan yang sentiasa muncul.
Sebelum mendapat idea untuk menulis tokoh mana yang paling sesuai saya banyak berfikir dan membuat penilain serta kajian sendirian. Figura-figura sejarah Islam yang hebat-hebat sudah ditulis oleh Pak Latip, adalah agak kurang sopan kalau saya juga mengambil jalur yang sama. Saya berfikir untuk berkarya dalam lapangan yang sama namun fokus yang berbeza, saya harus kreatif. Antara yang saya lakukan ialah saban hari saya akan ke toko buku terdekat untuk memerhati, membelek dan membaca buku-buku yang berada di rak mereka. Antaranya ialah MPH Alpha Angle.
Saya juga membeli hampir kesemua buku-buku novel sejarah Islam Pak Latip (tidak termasuk yang terbaharu) sekaligus sebagai bahan tela’ah untuk memahami teknik penulisan yang digunakan untuk menghasilkan novel-novel sejarah Islam. Facebook benar-benar memudahkan proses komunikasi dan penerimaan maklumat dan saya manfaatkannya sebaik mungkin. Kemudian saya perasan satu fakta yang menarik, rupanya semua tokoh yang ditulis oleh Pak Latip adalah lelaki, tiada satu buku pun yang membicarakan tentang srikandi-srikandi Islam yang tidak kurang hebat dan jasanya dalam memperjuangkan Islam.
Untuk kesekian kalinya saya ke MPH dan kali ini secara kebetulan saya terpandang buku bertajuk Rabiatul Adawiyah, dan tumpahlah ilham dari Allah untuk memilih figura tersebut sebagai tokoh pertama yang akan saya tulis sejarahnya untuk dibukukan sebagai novel sejarah Islam dan akan diterbitkan oleh PTS dengan menggunakan teknik penulisan Surah Yusuf.
Di samping novel yang bakal terbit tidak lama lagi itu, alhamdulillah juga karya-karya saya dalam genre puisi, sajak, cerpen, artikel mahupun esei mula mendapat tempat dalam media cetak. Bermula tahun lepas, antara puisi-puisi yang sudah tersiar dalam ruangan Sanggar Kreatif Berita Minggu, antaranya bertajuk ‘Ya’ dan 'Ada apa…’. Puisi ‘Taman Ilmu Sang Pemuda’ dan ‘Di Hujung Gading’ pula telah disiarkan dalam ruangan Karya Kreatif Berita Harian Varsiti.
Cerpen sulung saya yang telah tersiar dalam tabloid Siasah pula bertajuk ‘Wardatul Iman’ manakala artikel yang bertajuk ‘Sastera Islam: Ceritanya atau Tekniknya’ dan ‘Penggunaan Hadis Mawdu’ Dalam Karya Sastera’ pernah disiarkan oleh Harakah. Kebanyakan karya-karya lain saya paparkan dalam blog peribadi saya di alamat http://kalamkhalifah.blogspot.com/ atau di laman www.iluvislam.com.
Sehingga kini, dua projek penulisan sedang menanti insya-Allah akan saya usahakan seberapa cepat yang mungkin. Salah satunya berjudul ‘Tanyalah…Kami jawab’ dengan Galeri Ilmu Sdn Bhd dan juga proposal novel sejarah Islam yang baharu diluluskan oleh PTS berkisarkan tokoh ‘Ulama Sasterawan Islam Tanah Melayu: Tok Kenali’.
Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/
5 comments:
SubhanALLAH...Perjalanan yang sungguh menarik.
Salam ustaz..
Tahniah atas kelahiran buku pertama, moga jadi mangkin dan pembuka jalan utk hasilkan lebih banyak karya selepas ini..amin..
Wassalam, terima kasih pada kalian berdua. Insya-Allah akan terus mengetuk papan kekunci untuk berkarya setelah 'lap-top' yang dipesan sampai.
+ moga bertambah maju.. insyaallah..
Terima kasih Tuan Fitri. Sama-sama kita insya-Allah.
Post a Comment