25 February 2010

Catatan dari kuliah Universiti PTS - Kenapa karya sastera mesti dalam Bahasa Melayu Tinggi.

PTS merupakan syarikat penerbitan 100% milikan bumiputra yang berorientasikan falsafah perjuangan dan syariah yang jelas lagi jitu, mengharamkan rasuah walaupun berbentuk hadiah malah tidak membenarkan sama sekali para editornya dibelanja oleh penulis dan bakal penulis. Telus dalam urusan jual beli pemasaran dan lain-lain nilai dan etika Islamiyyah.

Ini juga terbukti melalui penampilan mereka yang meletakkan syarat-syarat yang ideal bagi sesebuah karya itu diterbitkan. Karya penulis yang tidak faham dan tidak menepati cirri-ciri yang ditetapkan tidak akan diterima walaupun mereka adalah sasterawan negara sekalipun, itulah ketegasan dasar yang ditunjangi oleh warga kerja PTS. Dan sememangnya mereka dikenali begitu.

Antara kriteria yang diperlukan dalam seseuah karya ialah menggunakan Bahasa Melayu Tinggi sahaja selain karya penulis berorientasikan syariah, menggunakan teknik penulisan surah Yusuf bagi karya kreatif. Timbul persoalan, mengapa hanya Bahasa Melayu Tinggi? Adalah mustahil jika watak kanak-kanak atau orang kampung bercakap menggunakan Bahasa Melayu Tinggi. Apatah lagi watak-watak yang berlatarkan perkampungan khususnya Pantai Timur, Utara dan Selatan yang mempunyai dialek masing-masing.

Apakah mungkin seorang anak yang berusia 5 tahun meminta maaf dari emaknya dengan dialog berbunyi: “Saya minta maaf, ibu. Sesungguhnya saya amat menyesal kerana tidak mendengar nasihat ibu dahulu. Kini saya berazam untuk menebus kesalahan saya itu.”

Dialog ini amat mustahil dilafazkan oleh kanak-kanak berusia 5 tahun dalam dunia nyata, makanya penggunaan Bahasa Melayu Tinggi semata-mata dianggap tidak relevan oleh sasterawan dan karyawan bahkan penulis konvensional yang berorientasikan aliran realisme.

PTS sudah bersiap sedia dengan hujah ilmiahnya bagi menegakkan doktrin ataupun mazhab yang sangat melintangi arus perdana ini. Dalam bengkel yang disediakan secara gratis itu, Puan Ainon Abdullah akan menerangkan secara ditir sebab dan musabab PTS berpegang kepada doktrin-doktrin tersebut.

Pertama dalam penulisan novel semestinya ada dua cara penulisan yang mendominasi iaitu dialog dan naratif. Kebanyakan penulis tidak ada masalah jika penulisan naratif menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, namun dalam penulisan dialog mereka akan cenderung menggunakan kaedah ‘realisme’ dengan mendatangkan gaya bercakap, bahasa mengikut kesesuaian watak. Jika watak kanak-kanak maka dikanak-kanakkan, jika watak adalah seorang apek Cina yang tua maka akan dicinakan dialog watak tersebut.

Ini amat memberi kesan dari sudut psikologi pembacaan. Contohnya dalam filem-filem karyawan agung Tan Sri P.Ramlee. Filem-filem yang dibikin di Jalan Ampas, Singapura, lebih memberi kesan, dijiwai dan evergreen berbanding filem-filem yang dibuat di Jalan Gurney selepas beliau berpindah ke Kuala Lumpur. Antara sebabnya adalah penggunaan bahasa dalam dialog.

Jika kita perasan bahasa yang digunakan dalam dialog filem-filem di Singapura adalah semata-mata Bahasa Melayu Tinggi manakala bahasa dialog yang digunakan di Kuala Lumpur sudah bercampur aduk dan menggunakan bahasa rojak antara Bahasa Melayu dan Inggeris, malah ada dakwaan yang mengatakan bahawa Tan Sri P. Ramlee adalah orang yang bertanggungjawab menyebarkan Bahasa Melayu dan Inggeris rojak yang kemudiannya menjadi ikutan orang Melayu. Dialog-dialog sebegitu bermula dari filem Masam-Masam Manis. Sejauh mana kebenarannya akan terbukti dengan kajian yang lebih terperinci, molek benar jika ada cendekiawan bahasa dan cendikiawan sutradara sudi bergandingan untuk membuat kajian tersebut.

Tujuan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi

1.Hayat buku

Berdasarkan contoh di atas dapat kita faham bahawa, antara sebab mengapa sesebuah karya itu sepatutnya menggunakan hanya Bahasa Melayu Tinggi adalah untuk mengekalkan atau paling kurang memanjangkan hayat relevansi sesebuah buku terutamanya karya-karya kreatif.

Bayangkan jika sebuah buku yang menggunakan dialek yang semasa bersifat fesyen, perkataan sebegitu akan lapuk dan pembaca akan dikuasai rasa bosan untuk mengulangi bahan bacaan tesebut. Makanya untuk beberapan tahun mendatang, karya tersebut tidak akan menjadi bahan bacaan pilihan kerana bahasanya. Sebagai contoh hikayat-hikayat Melayu klasik yang masih menggunakan laras bahasa asalnya, adakah karya-karya ini menjadi bahan bacaan umum yang diminati kecuali kepada para pengkaji dan kelompok peminat yang sangat terhad sahaja.

2.Wilayah pemasaran

Hakikatnya pasaran produk di Malaysia adalag amat terhadi terutama dalam industri buku. Data menunjukkan bahawa peratusan rakyat Malaysia yang suka membaca amat sedikit dan ini akan member kesan kepada penerbit sekaligus penulis. Pernah dilaporkan daripada 5 ribu cetakan buku seorang penulis mapan yang diterbitkan oleh DBP, hanya sebuah sahaja yang terjual, boleh kita bayangkan implikasinya.

Apakah kita tidak sedar komuniti Melayu yang merupakan rumpun serantau yang dinamakan Nusantara adalah komuniti Melayu yang bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Pasaran pembaca yang sangat luas dan besar di Indonesia, Selatan Thailand, sedikit di Filiphina perlu diambil kira. Dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dengan mudah buku-buku ini dapat diadaptasi dalam bahasa dan dialek mereka kerana Bahasa Melayu Tinggi adalah umum dan mudah difahami. Ini sudah terbukti, buku penulis dan pendakwah tersohor saudara Ann Wan Seng bertajuk ‘Rahsia Perniagaan Orang Cina’ terjual sebanyak 20 ribu naskah di Indonesia berbanding hanya 5 ribu naskah di Malaysia dalam jangka masa yang sama.

3.Kelompok peminat

Jangan terkejut jika melihat novel kanak-kanak terbitan PTS juga dibaca oleh emak, abang, kakak, nenek bahkan datuk dalam sebuah keluarga. Pernah dilaporkan seorang emak terpaksa menunggu anaknya ke sekolah dahulu sebelum dapat membaca novel PTS yang baharu dibeli hari sebelumnya.

Penggunaan Bahasa Melayu Tinggi adalah menepati norma pembacaan semua lapisan umur walaupun tema dan jenis cerita dalam novel tersebut adalah bersifat keanak-anakan atau keremajaan. Bahasa yang terlalu bias kepada remaja akan membataskan pembacaan hanya kepada golongan sasar itu sahaja, begitu juga bahasa yang terlalu klasik dan banyak meminjam istilah bahasa lain contohnya daripada bahasa Arab atau Inggeris akan menyebabkan karya tersebut menjadi seperti karya yang ekslusif untuk golongan tertentu sahaja.

Bahasa Melayu Tinggi juga akan lebih mudah mesra untuk dibaca oleh bangsa lain seperti Cina, India dan kaum pribumi semenanjung tanah air dan lepualauan Borneo. Ini adalah kerana mereka wajib mempelajari Bahasa Melayu Tinggi di sekolah masing-masing tapi tidak pada dialek dan bahasa-bahasa rojak yang menjadi kegemaran sesetengah pihak.

Adaptasi sunnah al-Quran

Al-Quran adalah mukjizat dari Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan antara ciri-ciri al-Quran ialah Allah SWT menggunakan Bahasa Arab Tinggi sebagai bahasa kalam-Nya itu. Makanya sehingga kini al-Quran masih diulang baca oleh orang Islam tanpa rasa bosan walaupun sudah lebih 1400 tahun selepas penurunannya. Seluruh umat Islam daripada pelbagai bangsa dan negara juga selesa membaca al-Quran dalam Bahasa Arab Tinggi malah tidak kurang yang mampu menghafal keseluruhan isinya walaupun bukan berbangsa Arab.

Begitu juga proses perekodan hadith oleh para ulama hadith muktabar, proses ini menjadi sedikit mudah kerana Nabi Muhammad SAW banyak bersabda menggunakan Bahasa Arab Tinggi. Pengelasan hadith-hadith tersebut juga boleh dikaji berdasarkan bahasa atau perkataan yang digunakan oleh para perawinya.

Pernahkah kita tertanya bagaimana karya-karya muktabar ulama muktabar dahulu kala boleh bertahan sehingga ke hari ini tanpa ada perubahan struktur bahasanya. Contohnya dalam periwayatan hadith, kitab al-Muwatta’ karangan al-Imam Malik, Tafsir al-Tabari yang dikarang oleh ibnu Jarir al-Tabari sekitar abad pertama hijrah boleh bertahan sehingga ke hari ini. Bagaimana setiap ajaran imam mazhab yang empat masih lagi dipraktiskan pada hari ini dalam kalangan masyarakat Islam mengikut pegangan masyarakat masing-masing?

Antara sebabnya adalah kerana tulisan imam-imam ini yang masih wujud mengikut versi asal sehingga hari ini kerana menggunakan Bahasa Arab Tinggi, walaupun dengan versi kulit dan bentuk yang berbeza-beza setelah lebih 1300 tahun. Karya-karya mereka juga telah diterjemahkan ke dalam semua bahasa dunia lain. Adapun imam-imam mazhab yang tidak menukilkan pemikiran mereka di atas lembaran kertas sudah luput dari pengamalan umat Islam kerana tiada sumber rujukan. Mazhab al-Imam Daud al-Zahiri, Imam al-Awza’ie sebagai contoh, sudah pupus kerana tiada sumber rujukan yang asli akibat beliau tidak mencatatkan pemikirannya itu untuk dibukukan.

Selain penggunaan Bahasa Arab Tinggi telah menghasilkan kesan yang hebat malah berpanjangan merentasi abad dan zaman. Selain daripada penggunaan Bahasa Arab Tinggi, al-Quran tidak dikesan mempunyai walaupun satu kesalahan tatabahasa. Begitu juga hadith-hadith soheh yang diriwayatkan oleh imam hadith yang muktabar adalah selamat daripada kesalahan-kesalahan tatabahasa Arab. Inilah sunnah yang diteruskan oleh ulama-ulama dan imam-imam selepasnya sehingga sekarang, mereka amat teliti dan prihatin dalam penulisan mereka. Menggunakan Bahasa Arab Tinggi selain sentiasa memastikan tulisan mereka selamat dari kesilapan tatabahasa.

Antara ciri sastera Bahasa Melayu Tinggi

Antara ciri penulisan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi ialah setiap struktur ayat mesti mempunyai subjek dan prediket, jumlah perkataan dalam satu ayat juga hanya sekitar 12-16 patah perkataan sahaja. Ayat yang terlalu panjang dalam satu perenggan akan meningkatkan lagi indeks kabus sesebuah karya. Sedangkan pembaca membaca untuk mendapatkan maklumat dalam masa yang sama mereka cuba mencari jawapan kepada persoalan0-persoalan yang timbul.

Tanda-tanda bacaan yang melambangkan jeda nafas sepeti koma (,), noktah (.), pembuka dan penutup ikatan kata (“….”) mestilah betul dan setiap ayat perlulah tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek. Ini akan memudahkan pembaca untuk memahami dan menghayati karya kita.

Ciri bahasa rendah adalah dilarang sama sekali dalam penulisan sastera Bahasa Melayu Tinggi. Sebagai contoh penggunaan perkataan “oh, ah, wow, jom, syok, ok” dan sebagainya.

Penggunaan morfologi dan sintaksis perlu dibanyakkan bagi mencantikkan dan menambahkan variasi penggunaan penambahan suku kata terbabit. Penggunaan sendi kata yang terbatas juga akan menyuramkan hasil karya tersebut, penulis perlu menggunakan penyambung atau sendi kata yang pelbagai dalam penyampaian idea dan fakta dalam penulisan tersebut.

Kesimpulan

Sebagai penulis kita seharusnya faham bahawa proses menulis dan membaca adalah proses yang berperanan besar dalam agenda memandai dan menentukan kejayaan agama, bangsa dan negara. Menulis dengan kadar melepas batuk di tangga dikhuatiri akan memberikan impak yang negatif kepada masyarakat.

Menggunakan Bahasa Melayu Tinggi adalah suatu bentuk laras pendidikan yang berpanjangan dan berkesan dalam proses memandaikan bangsa, penyataan ini juga sudah diakui ramai cendekiawan tanah air dan antarabangsa.

Justeru menjadi kewajipan kepada para penulis untuk menyediakan santapan yang padu lagi jitu kepada anak bangsa, agar kelak melalui pembacaan tersebut mereka ini terdidik dan menyerap roh penulisan itu lalu menterjemahkan ke dalam kehidupan hakiki. Ini adalah kerana menulis merupakan ibadah yang mempunyai talian yang berkesinambungan sehingga saat amalan kita ditimbang di atas al-Mizan.

_____________________________

Dilaporkan oleh:

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: