22 February 2010

Catatan dari kuliah Universiti PTS – Teori Long Tail VS Short Tail

Salah satu bengkel wajib yang perlu dihadiri oleh penulis baharu yang ingin bernaung di bawah PTS Publication & Distribution Sdn. Bhd. ialah bengkel Bahasa Melayu Tinggi. Pada sesi lepas (sekitar Oktober-November 2009), saya terlepas sesi tersebut kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan.

Alhamdulillah, peluang untuk menqada’ bengkel tersebut bagi melengkapkan pakej bengkel-bengkel gratis anjuran Puan Ainon Abdullah, pengerusi eksekutif PTS akhirnya dilangsaikan juga pada 31 Januari 2010 yang lepas. Walaupun sebenarnya pada ketika itu, saya sudah menyiapkan novel sejarah pertama saya dan hanya sedang menunggu proses pelestarian pihak editorial tim PTS Litera Utama untuk diterbitkan.

Menjadi kebiasaan sesiapa yang tiba awal, sekitar 9.30 hingga 10.00 akan mendapat maklumat tambahan yang tidak dibincangkan di dalam kelas. Pada hari tersebut Puan Ainon telah mendatangkan teori yang dipanggil ‘Long Tail Theory’ dan ‘Short Tail Theory’.

Yang dimaksudkan dengan teori ekor panjang dan teori ekor pendek ini adalah juga berkaitan dengan bidang penulisan dan penerbitan buku. Teori ekor panjang membawa maksud jangka hayat yang berpanjangan selain juga sangat fleksibel manakala teori ekor pendek adalah sebaliknya.

Makanya, bagi seorang penulis dan penerbit adalah rugi jika mereka berkarya dan menerbit namun bahan atau buku tersebut hanya mampu bertahan sementara sahaja dalam pasaran kerana mungkin produk tersebut bersifat fesyen semata-semata.

Sepatutnya kita mengeluarkan (produce) produk yang mampu kekal lama dan boleh dianggap evergreen di kalangan pengguna, dalam konteks industri buku bermaksud buku yang akan diterbitkan sentiasa relevan dibaca oleh pembaca sepanjang zaman.

Teori ini juga berkaitan dengan amalan ‘broadcasting’ yang hanya tertumpu pada satu sumber sahaja. Di awal kemerdekaan tanah air dan sebelumnya, sumber maklumat yang terhad ini menjadikan sumber yang tunggal itu amat berkuasa dan berpengaruh. Namun pada hari ini, dengan kemajuan yang pesat dalam segenap bidang malah ditambah pula dengan doktrin globalisasi makanya amalan media telah berpindah secara automatis kepada ‘narrowcasting’ yang menjanjikan pelbagai sumber maklumat sehingga terjadinya isu lambakan maklumat.

Bagi penerbit dan penulis, mereka seharusnya memanfaatkan segala lambakan sumber untuk dikreatifkan, diolah dan dilestarikan agar menjadi hidangan santapan minda bagi memandaikan bangsa serta memanfaatkannya sekaligus jua untuk agama.

Setiap karya yang ditulis tidak boleh hanya bersifat fesyen yang sementara bahkan perlu berjangka panjang hayatnya dan mempunyai tahap fleksibiliti yang tinggi sehingga boleh dilesenkan untuk difilemkan, didramakan, dikomikkan, dijadikan perisian permainan video dan segala macam bentuk adaptasi yang lebih jauh dan luas.

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: