Alhamdulillah, puisi ini telah tersiar dalam ruangan Karya Kreatif Berita Harian Varsiti bertarikh 18 Februari 2010. Terima kasih tidak terhingga kepada pihak editorial BH Varsiti. Insya-Allah, ini akan lebih memotivasikan saya untuk terus berkarya.
______________________________________
Di hujung gading
Universiti,
dirimu ladang semai
benih-benih yang menjadi nadi negara,
yang mencambahkan hamparan jaguh
agama, bangsa dan negara.
Menggunung harapan nusa jaya
kerana dari semaian bendang ilmumu
mereka menjadi gedung ilmu kerawakan
untuk ilmu dan para ilmuan,
untuk sarjana dan kesarjanaan.
Universiti,
Jeda ini kadang hanya tiga sanah
kadang pula hingga lima
namun itu bukan noktah padu,
kerana pintu dan jendela intelekmu
sentiasa berkebar melambai-lambai
memanggil kepada yang kehendak
tanpa malu
untuk terus menjarah dan menggembur
tanah suburmu,
kerana dirimu tidak pernah kontang
memberi apa yang mereka perlu,
tanpa ngerti apa penat apa lelah
sukma azimat wahana ilmu.
Kerana kau tahu ilmu itu satu yang perlu
terhenti hanya bersama lipatan kafan,
ternoktah hanya di dinding liang.
Zahiruddin Zabidi
Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pengurusan Awam,
Universiti Utara Malaysia, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment