“Ustaz, ustaz dah dapat berita?” tanya Amir, cemas sahaja riak wajahnya diselangi dengan suara yang seakan tersekat di kerongkong.
“Ada apa Amir, ana tak dapat apa-apa berita lagi melainkan Zionis laknatullah telah menghujani kita dengan bom semalam.” Ustaz Abdul Kadir menjelaskan.
“Ha..itulah, Ustaz tahu berapa orang yang terkorban? Hampir 100 orang termasuk orang tua dan kanak-kanak, kerana yang mereka serang adalah hospital awam di Ghaza.Allah...zalim sungguh mereka ini ustaz,” Amir menerangkan dengan panjang lebar sambil mukanya menunjukkan ammarah seraya tangannya dikepal dan menumbuk-numbuk ke tanah.
“Dan...” sambung Amir, Ustaz Abdul Kadir yang menunduk bertafakur sebentar tadi mengangkat kepala tepat memaku matanya ke muka Amir.
“Syuaibah..ustaz, dia juga sudah mendahului kita untuk berjumpa kakinya di syurga.” Mereka berdua berpelukan. Menenangkan diri dan hati masing-masing. Anak gadis manis yang mereka kenali telah mendahului mereka untuk syahid, suatu kerinduan kepada para mukminin dan mukminat.
“Bertuahnya engkau hai adikku, kau menghadap Allah dengan syahid. Tanpa ada noktah dosa, di saat tanah air dan agamamu dicela. Doakan ammu juga menyusurimu, semoga Allah merahmatimu dan kami di sini, bergembiralah adikku dengan segala nikmat syurga yang Allah janjikan kepadamu, amin.” Tanpa sedar air mata hangat membasahi pipi ustaz muda itu.
Doanya di dalam hati dan benak fikirannya, sambil terngiang-ngiang ingatannya bersama adik kecil bernama Syuaibah.
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
“Ustaz, saya ada baca buku Prof Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi yang bertajuk “Iman dan Kehidupan” dan beliau menjelaskan Iman dan kehidupan adalah elemen yang saling memerlukan. Mana mungkin seseorang yang mengaku Islam namun tidak beriman. Dan Iman jugalah yang menjadi panduan akhlak seorang mukmin dalam erti kata keimananlah yang menjadi dasar dan panduan kehidupan kita ini.”
“Apakah dengan Islam, seseorang itu tidak mampu untuk membina akhlak yang baik ustaz?” tanya Kauthar, salah seorang murid Ustaz Abdul Kadir yang aktif dalam jemaah.
“Bukankah semua yang Islam itu sudah dijamin syurga, ustaz?” belum pun sempat Ustaz Abdul Kadir menjawab soalan kedua menyusul sudah.
“Baiklah, sebelum kita lebih jauh membicarakan tentang Islam, Iman dan Ihsan ini. Ustaz nak tanyakan dahulu satu persoalan. Apa itu akidah?” Ustaz Abdul Kadir akhirnya memulakan bicara dengan persoalan.
Soalan dijawab dengan soalan. Kaget murid-murid sekaliannya.
“Rauf..anta, sila kongsikan,” tunding Ustaz Abdul Kadir pada muridnya yang seorang itu. Agak cerdik budaknya tapi sedikit perlukan dorongan dan motivasi kerana ada padanya gejala-gejala penyakit malas.
“Err..akidah ni ustaz, setahu ana kalau ikut perkataan asalnya iaitu akad yang bermaksud perjanjian atau ikatan. Sebab tu kalau nak kahwin kita kena akad nikah dulu ustaz kan...hehe,” berderai tawa sekalian rakan kelasnya.
“Anta ni duk fikir nak kahwin je ye? Patutla Ustaz Hassan puji anta, katanya markah subjek Fiqh Munaqahat anta yang champion.” Sindir Ustaz Abdul Kadir dalam gurau.
Rauf hanya tersenyum kelat malu diiringi hilai tawa rakan-rakannya. Muslimah hanya tertunduk menahan tawa, ada yang tidak mampu menahan sehingga terlihat di wajah masing-masing barisan gigi-gigi yang menggambarkan kelucuan Rauf tadi.
Ustaz Abdul Kadir segera menenangkan keadaan.
“Syukran Rauf,” sambungnya lagi.
“Benar seperti yang dikatakan Rauf, akidah ialah ikatan atau perjanjian yang menjadi tunjang dan asas kepercayaan seseorang mengaku muslim. Dengan itu, asas utama bagi Akidah Islamiyyah ialah 3 i yang telah kita pelajari iaitu...”
“Islam, Iman dan Ihsan...” hampir serentak dijawab oleh siding kelas.
“Akidah Islam itu dari Nabi Adam a.s lagi tidak akan berubah sehinggalah ke akhirat kelak yakni mengesakan Allah. Malah orang-orang yang secara zahirnya tidak berakidahkan Islam secara tidak langsung sebenarnya mengakui tentang kewujudan Allah.”
“Dalam erti kata mudahnya, mereka ini semua percaya perlunya kepada satu kuasa yang mengatasi segala kekuasaan yang ada yakni Allah. Yang menciptakan bumi, yang mengawal dan mentadbir alam semesta, langit, bintang , matahari, seluruh ekosistem alam, diri mereka malah tuhan-tuhan mereka itu sendiri. Namun mereka tersesat kerana menyekutukan Allah. Menyamakan Allah dengan selain-Nya.”
“Hal ini direkod dalam al-Quran, apabila ditanya kepada orang-orang kafir siapakah yang menjadikan langit dan bumi maka mereka akan menjawab, Allah. Bahkan apabila ditanya siapa yang menjadikan mereka nescaya mereka juga akan mejawab, Allah.”
“Adakah mereka dikira Islam dan beriman kepada Allah Ustaz?” Jamil mencelah, tidak sabar mahukan jawapan.
“Ya..adakah mereka dikira Islam dan beriman? Kita tengok dulu beberapa fakta dari Sirah Nabawi.”
“Siapa nama ayah Baginda Rasulullah?”
“Abdullah bin Abdul Muthalib.”
“Apa maksud Abdullah? Bukan ke hamba Allah?”
“Siapa pula Abdullah bin Salam?”
“Seorang Yahudi yang akhirnya memeluk Islam dengan Rasulullah,”
“Abdullah bin Ubai bin Salul dan Abdullah bin Saba’?”
Ustaz Abdul Kadir memanjangkan lagi dialog mereka.
“Dalam perjanjian Aqabah, perjanjian yang ingin ditulis dengan kalimah Basmallah tidak disetujui oleh pihak kafir Quraish kerana mereka mengatakan itu buka kebiasaan mereka. Lalu ditukar dengan kalimah Bismika-Allahumma yang bermaksud Dengan nama-Mu yang Allah.”
“Satu lagi kisah yang bersejarah berlaku ialah semasa tentera Abrahah menyerang Kota Mekah. Tentera Abrahah telah merampas unta-unta dan kambing-kambing milik penduduk Mekah dan antara unta yang dirampas adalah milik Abdul Muthalib.”
“Apa yang berlaku ialah, Abdul Muthalib dating bersemuka dengan Abrahah dan meminta untuk dipulangkan kembali unta-untanya. Ini menimbulkan kehairanan Abrahah apabila mendapati Abdul Muthalib selaku penjaga Kaabah tidak sedikit pun risau berkenaan dengan serangannya yang ingin meruntuhkan Kaabah sebaliknya lebih risau tentang unta-unta yang dirampa. Abdul Muthalib berkata, unta-unta itu adalah miliknya manakala Kaabah ada pemiliknya yang akan mejaganya sendiri yakni Allah.”
Kelas senyap sunyi tanpa suara dan bahasa kerana segala mata dan telinga kini tertumpu kepada Ustaz Abdul Kadir seorang sahaja.
“ Kita ambik contoh moden, apabila seorang pemain bola sepak dalam pasukan-pasukan bertaraf dunia yang biasa kita tengok secara langsung dalam televisyen. Apakah reaksi mereka setelah menjaringkan gol? Seolahnya kita melihat mereka mengekpresikan rasa syukur dan gembira, namun kepada siapa sebenarnya? Dengan aksi sujud, mengdongak ke langit dan macam-macam lagi. Bagaimana pula dengan seorang yang mengaku Atheis namun apabila melatah perkataan ‘oh my god’ yang terkeluar dari bibir mereka.”
“Maknanya di sini orang-orang bukan Islam juga sebenarnya mengakui tentang kewujudan Allah ye ustaz? Jika begitu apa bezanya akidah kita sebagai orang muslim dengan orang yang malah digelar kafir ustaz?” Tanya pula Azman, sedikit keliru.
Ah, harus dijelaskan seditirnya kepada bakal Ustaz dan Ustazah di sini. Salah faham mengundang sesat.
Ustaz Abdul Kadir cuba menyusun kata, ditariknya nafas dalam-dalam lantas memulakan semula bicaranya: “Pembahagian Akidah mengikut jumhur ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah sekurang-kurangnya terbahagi kepada tiga bahagian, yang pertama Tauhid Rububiyyah, yang kedua Tauhid Uluhiyyat dan yang ketiga Tauhid Asma’ Wa Sifat. Ada sesetengah Ulama’ memasukkan Tauhid Hakimiyyah sebagai salah satu cabang Tauhid namun ianya tidak secara jumhur.”
Pantas masa berlalu dan waktu kelas mereka juga tamat.
“Oklah, insya-Allah kita sambung selepas kelas seterusnya iaitu....?” soal Ustaz Abdul Kadir, menjadi kebiasaan Ustaz-ustaz lama untuk tidak begitu teliti mengenai jadula hariannya, banyak maslahah lain yang perlu diingatkan agaknya.
“Esok petang Ustaz, pukul 2.30 petang.” Jawab sebahagian dari murid-murid.
“Alhamdulillah, saya sebenarnya dah tahu.Saja nak test market,” sambil tersenyum Ustaz Abdul Kadir memalingkan muka.
“Insya-Allah esok kita habiskan bab Islam, Iman dan Ihsan sekaligus dengan pembahagian Akidah Islamiyyah tersebut. Apabila antum semua dah faham apa itu Akidah Islamiyyah makanya insya-Allah tiada masalah untuk antum semua nak faham Islam, Iman dan Ihsan...Wallahu a’lam,wassalam.”
“Wa’alaikumusslam...” Hampir serentak murid-murid menjawab.
Zahiruddin Zabidi
1 comment:
Assalamualaikum ustaz..
tak sabar tunggu sambungannya lagi.. insyaALLAH.. :D
Post a Comment